BERITA TERKINI   Dewan Rakyat lulus RUU Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 | Malaysia tidak akan berkompromi dan akan mengusir mana-mana rakyat Israel yang dikesan memasuki negara ini - PM Anwar | 

Asas Ekonomi Kukuh, Ringgit Diunjur Kekal Berprestasi Tinggi -- Standard Chartered

KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Ringgit dijangka terus mengekalkan kedudukan sebagai antara mata wang berprestasi tinggi selain dolar Singapura bagi rantau ini, disokong oleh asas-asas ekonomi yang kukuh dan impak peningkatan harga minyak meskipun dalam senario pengukuhan dolar Amerika Syarikat (AS), menurut Standard Chartered Bank.

Ketua Bersama Penyelidikan Pertukaran Asing (FX) ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Divya Devesh berkata ringgit dan dolar Singapura berkemungkinan secara relatifnya kekal berdaya tahan, termasuk faktor kenaikan harga minyak yang memberi sokongan berikutan kedudukan Malaysia sebagai pengeksport bersih tenaga.

“Bagi saya, dolar Singapura dan ringgit akan terus mencatatkan prestasi baik walaupun dalam persekitaran dolar AS yang lebih kukuh," katanya pada sesi taklimat Tinjauan Global dan ASEAN Standard Chartered yang diadakan secara maya, hari ini.

Ad Banner

Namun, Devesh berkata mata wang ekonomi utama yang juga pengimport komoditi, terutama India, Filipina dan Thailand dijangka mencatatkan prestasi lebih lemah berikutan kedudukan sebagai pengimport bersih komoditi yang besar dan sebarang pengukuhan dolar AS berkemungkinan meningkatkan lagi tekanan terhadap mata wang negara berkenaan.

Menyentuh prospek serantau secara meluas, beliau berkata risiko aliran keluar dana asing yang besar daripada ASEAN kekal terhad berikutan ramai pelabur global yang masih kurang terdedah kepada rantau itu dari segi pasaran hutang dan ekuiti.

Devesh berkata ramai pelabur institusi misalnya mengekalkan kedudukan pelaburan yang berlebihan di Amerika Selatan dan pada masa mengehadkan kedudukan di ASEAN sejak beberapa tahun lepas dengan tidak banyak petunjuk membuktikan perubahan itu dalam masa terdekat.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Dari sudut positif, jika pelabur asing sememangnya pada kedudukan kurang pendedahan (pelaburan), risiko aliran keluar modal secara besar-besaran adalah terhad,” katanya.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi dan Ketua Pertukaran Asing ASEAN dan Asia Selatan Standard Chartered Edward Lee menjelaskan, ringgit secara asasnya kekal kukuh walaupun mengalami penurunan ketara.

Menurutnya, ini disebabkan terutamanya oleh kedudukan pasaran dan aliran keluar portfolio sementara yang berkaitan dengan pengimbangan semula indeks Morgan Stanley Capital International (MSCI) dan bukannya akibat kemerosotan asas ekonomi negara.

“Secara meluas, kami menganggap ringgit sebagai positif kerana asas-asasnya yang kukuh, imbangan pembayaran yang terus meningkat...satu aspek yang tidak dilihat ramai adalah imbangan perkhidmatan Malaysia.

“Dalam tempoh tiga suku lepas, Malaysia telah mencatat lebihan selepas mengalami defisit selama hampir 14 tahun,” katanya.

Lee menyifatkan perubahan itu didorong oleh peningkatan pendapatan pelancongan yang kukuh serta pengembangan eksport berkaitan perluasan industri pusat data yang menyuntik sokongan tambahan terhadap ekonomi Malaysia.

Pada masa sama, katanya, Malaysia juga secara relatifnya dapat mengharungi krisis tenaga global dengan baik, dibantu oleh subsidi bahan api yang menjadi penampan untuk pengguna dari segi lonjakan harga tenaga selain menyokong aktiviti ekonomi secara menyeluruh.

Walaupun subsidi itu menelan kos yang tinggi, beliau berkata Malaysia berada pada kedudukan untuk mampu mengekalkannya, sekali gus memberi kestabilan kepada perbelanjaan isi rumah dan ekonomi secara meluas.

Malaysia juga, katanya, adalah antara kelompok ekonomi yang masih mampu memberi kemudahan subsidi itu pada masa ini.

Lee berkata Malaysia juga dijangka mencatat pertumbuhan kira-kira 4.5 peratus pada 2026, disokong oleh permintaan domestik yang terus berdaya tahan, aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) berterusan, kekukuhan sektor pembuatan serta pertumbuhan berterusan industri pusat data meskipun berdepan ketidaktentuan global.

Di peringkat global, Ketua Penyelidikan Global dan Ketua Strategi Standard Chartered Eric Robertsen berkata bank itu telah menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonomi global bagi 2026 kepada 3.0 peratus daripada 3.4 peratus, terutama susulan semakan penurunan akibat konflik di Asia Barat.

"Sebahagian besar daripada semakan turun itu adalah paparan apa yang telah berlaku. Unjuran bagi separuh kedua tahun ini turut bergantung kepada beberapa faktor.

“Pertama, faktor penyumbang kepada daya tahan ekonomi global. Sebahagian besarnya akan dipacu oleh prestasi kukuh eksport berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) yang terbukti menyumbang kepada momentum pertumbuhan ekonomi di Asia serta daya tahan ekonomi AS," katanya.

-- BERNAMA