Widad Lantik Tengku Shaifuddin Sebagai Pengerusi, Nor Azlan Pengarah Urusan Kumpulan
KUALA LUMPUR, 15 Julai (Bernama) -- Widad Group Bhd mengumumkan pelantikan Datuk Tengku Shaifuddin Tengku Jamaluddin sebagai pengerusi baharunya dan Nor Azlan Zainal sebagai pengarah urusan kumpulan berkuat kuasa hari ini.
Penyedia perkhidmatan pembinaan dan pengurusan fasiliti bersepadu itu menyatakan Tengku Shaifuddin mempunyai lebih 30 tahun pengalaman kerja merangkumi sektor perlombongan, pelaburan, pengurusan korporat dan penyelidikan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Widad memaklumkan Tengku Shaifuddin memulakan kerjayanya sebagai eksekutif di Petronas Carigali Sdn Bhd dari 1993 hingga 1994 sebelum menyertai DRB-Hicom Bhd sebagai pengurus dari 1998 hingga 2001.
Selepas itu, beliau berkhidmat sebagai Pengerusi S.I. Design Sdn Bhd dari 2002 hingga 2006.
"Beliau juga berkhidmat sebagai Pengarah Widad International Ltd, London serta bekerjasama rapat dengan lembaga pengarah untuk menetapkan objektif korporat dan merangka hala tuju strategik,” jelas syarikat itu.
Sementara itu, syarikat berkenaan memaklumkan Nor Azlan pula memulakan kerjayanya di Ernst & Young dan kemudiannya diterima masuk sebagai ahli Institut Akauntan Malaysia (MIA).
“Seterusnya, beliau menyertai bahagian pembungkusan Guolene Paper Products Sdn Bhd (sebuah anak syarikat Hong Leong Group) pada 1997 sebagai akauntan sebelum berpindah ke Golden Pharos Bhd pada 1998 sebagai ketua pegawai kewangan (CFO),” menurut syarikat itu.
Pada 2018, beliau menyertai Widad Business Group Sdn Bhd sebagai CFO kumpulan.
“Pada masa ini, beliau merupakan pengarah bukan eksekutif bebas serta pengerusi jawatankuasa audit lembaga pengarah selain jawatankuasa pengurusan risiko dan kemampanan bagi Mikro MSC Bhd,” tambah syarikat itu.
Dalam pada itu, Isyraf Widad Muhammad Ikmal Opat, anak lelaki kepada pemegang saham utama syarikat, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat turut dilantik sebagai pengarah eksekutif berkuat kuasa hari ini.
“Beliau berkhidmat sebagai Pengarah Eksekutif Widad Skycore (M) Sdn Bhd sejak 2020 dan berperanan menyokong pengerusi dalam membangunkan dan memantau inisiatif strategik, keutamaan korporat serta kerjasama utama,” jelas syarikat berkenaan.
-- BERNAMA