BERITA TERKINI   Empat lagi lapangan terbang Indonesia ditutup sementara kerana abu gunung berapi merebak, penutupan Soekarno-Hatta dilanjutkan - Kementerian Pengangkutan | Lebih 600 anak Orang Asli lanjut pengajian di universiti dan kolej seluruh negara, bukti kerajaan pentingkan pendidikan - TPM Ahmad Zahid | Operasi pembenihan awan di Sarawak diteruskan ikut nasihat MetMalaysia - TPM Ahmad Zahid | Perwakilan wanita dalam Parlimen masih terlalu rendah - Teo | Wanita DAP cadang dana insentif, undang-undang kesamarataan jantina untuk tingkat penyertaan wanita dalam politik - Teo | 
Ad Banner

Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang Laksana SOP Pengurusan Sisa Dijana Kapal

GEORGE TOWN, 16 Julai (Bernama) -- Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP) melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi pengurusan sisa dijana kapal di Pelabuhan Pulau Pinang.

Pengerusinya Datuk Yeoh Soon Hin berkata, ia sebagai sebahagian daripada usaha untuk memperkukuh perlindungan alam sekitar selain menyokong Dasar Pelabuhan Hijau pelabuhan berkenaan.

Yeoh memberitahu SOP sedemikian akan memastikan pengendalian semua sisa dijana kapal di terminal pelabuhan dilaksanakan secara seragam, selamat dan mematuhi undang-undang selain menyokong peralihan pelabuhan tersebut ke arah operasi rendah karbon dan lebih lestari.

Ad Banner

"Pekeliling pelabuhan ini dikeluarkan bagi menetapkan SOP berkenaan sekali gus memastikan keseragaman, pematuhan terhadap undang-undang berkaitan serta kelancaran operasi dalam mengendalikan sisa dijana kapal di Pelabuhan Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, semua syarikat pengurusan sisa yang berhasrat untuk beroperasi wajib memperoleh lesen yang sah daripada SPPP.

Selain itu, syarikat berkenaan perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan yang berkaitan sebelum memulakan operasi.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Yeoh menyatakan pengendali berlesen bertanggungjawab sepenuhnya bagi memastikan aktiviti pengendalian sisa dijalankan secara selamat, sistematik dan mengikut syarat-syarat yang ditetapkan di dalam pekeliling tersebut.

Beliau menjelaskan SOP berkenaan mengkategorikan sisa dijana kapal kepada tiga kumpulan iaitu sisa berjadual daripada kapal, sisa domestik (termasuk bahan pelapik kargo) dan sisa kumbahan daripada kapal.

Beliau berkata, setiap pengendali dikehendaki mengesahkan kuantiti sisa bersama kapal berkenaan serta mengemukakan dokumen pengisytiharan seperti nota pelupusan atau pelepasan kepada SPPP dan agensi berkaitan selepas selesai operasi.

Yeoh memberitahu inisiatif tersebut seiring dengan aspirasi Pelabuhan Hijau yang diperkenal oleh Menteri Pengangkutan Anthony Loke sekali gus memperkukuh kawalan terhadap pelupusan sisa, mengurangkan risiko pencemaran marin serta menggalakkan amalan pengurusan sisa dan kitar semula yang bertanggungjawab.

"Dengan mewajibkan pelesenan, pengesahan kuantiti sisa, pelaporan pasca operasi serta penggunaan kemudahan pelupusan yang diluluskan, SPPP memperkukuh mekanisme pencegahan pencemaran dan pemantauan alam sekitar secara berterusan," tambah beliau.

Yeoh berkata SPPP akan terus memantau pelaksanaan, mempertingkat pematuhan melalui pemeriksaan dan audit serta menggalakkan penggunaan teknologi selain amalan terbaik yang menyokong pengurangan sisa serta peningkatan kitar semula.

-- BERNAMA