Melaka Sasar Pelaburan Semikonduktor Bernilai Tinggi Generasi Baharu

MELAKA, 16 Julai (Bernama) -- Melaka terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara hab semikonduktor dan pembuatan termaju terkemuka Malaysia dengan memanfaatkan ekosistem perindustrian yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran serta lokasi strategik bagi menarik pelaburan bernilai tinggi generasi baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata Pelan Strategik Semikonduktor Melaka 2026-2035, yang melengkapi Strategi Semikonduktor Nasional (NSS), akan memberi tumpuan kepada pengukuhan keupayaan industri, peningkatan daya tahan rantaian bekalan serta sokongan terhadap pelaburan bernilai tinggi bagi memacu fasa seterusnya pertumbuhan perindustrian negeri itu.

Beliau berkata Melaka, yang mempunyai lebih lima dekad pengalaman dalam pembuatan semikonduktor, berada pada kedudukan baik untuk memanfaatkan peningkatan permintaan global terhadap teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), mobiliti autonomi, pembuatan termaju, teknologi penjagaan kesihatan dan pusat data.

Ad Banner

Katanya, transformasi perindustrian negeri itu memerlukan kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, industri dan akademia, khususnya dalam pembangunan bakat menerusi pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), inovasi dan pembuatan mampan.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog dan Jaringan MSIA bersama Ketua Menteri Melaka di sini hari ini.

Program bertemakan “Mentransformasikan Melaka sebagai Hab Semikonduktor dan Pembuatan Termaju Sedia Masa Depan: Memacu Bakat, Kelestarian dan Kecemerlangan Industri” itu dianjurkan bersama oleh Malaysia Semiconductor Industry Association (MSIA), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Invest Melaka Bhd, Infineon Technologies (Malaysia) Sdn Bhd dan Maybank.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata Melaka telah membangunkan asas perindustrian, tenaga kerja berkemahiran dan rangkaian pembekal yang diperlukan untuk bersaing merebut pelaburan bernilai tinggi generasi baharu.

Beliau berkata industri elektrik dan elektronik (E&E) terus menjadi pemacu utama landskap pelaburan Malaysia dengan menarik pelaburan diluluskan bernilai RM6 bilion pada suku pertama 2026, tertinggi dalam kalangan semua industri pembuatan.

“Dengan ekosistem yang kukuh dan lokasi strategik, Melaka berada pada kedudukan baik untuk meraih bahagian lebih besar daripada peluang ini. Fasa pertumbuhan seterusnya memerlukan kerjasama rapat antara kerajaan, industri dan sektor kewangan bagi memperkukuh rantaian bekalan, mempercepat penerimagunaan teknologi serta membantu syarikat Malaysia meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai.

“Di MIDA, kami komited memudah cara pelaburan berkualiti yang membina keupayaan industri, memacu inovasi dan mewujudkan pekerjaan berkualiti untuk rakyat Malaysia. Kerangka Insentif Baharu (NIF) menyokong usaha ini dengan menggalakkan pelaburan dalam pembangunan bakat tempatan, pengukuhan perniagaan Malaysia serta penyampaian nilai jangka panjang kepada rakyat Melaka,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Invest Melaka Bhd Datuk Ginie Lim Siew Lin berkata libat urus berterusan dengan pemain industri membolehkan agensi itu memahami dengan lebih baik perkembangan trend pelaburan serta keperluan syarikat.

“Libat urus berterusan dengan pemain industri memberi kami pandangan berharga mengenai perubahan dalam keputusan pelaburan dan keperluan syarikat untuk berkembang dengan jayanya. Kekuatan semikonduktor Melaka dibina berasaskan kehadiran industri dan keyakinan pelabur selama beberapa dekad, dan fokus kami adalah untuk memperkukuh asas ini dengan menghubungkan peluang baharu dengan keupayaan serta kerjasama yang tepat.

“Melalui pendekatan ini, kami menyasarkan untuk mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai lokasi pilihan bagi fasa seterusnya pertumbuhan semikonduktor,” katanya.

Presiden MSIA Datuk Seri Wong Siew Hai berkata daya saing Malaysia pada masa depan bukan sahaja ditentukan oleh kapasiti pembuatan, tetapi turut bergantung pada kekuatan ekosistem semikonduktornya.

“Ketika kita beralih daripada ‘Buatan Malaysia’ kepada ‘Dihasilkan oleh Malaysia’, setiap negeri mempunyai peranan untuk dimainkan. Melaka telah membina asas yang kukuh dan berada pada kedudukan baik untuk menjadi pemacu utama teknologi termaju, pembangunan bakat dan inovasi yang akan memperkukuh kepimpinan global Malaysia dalam sektor semikonduktor,” katanya.

Beliau berkata industri semikonduktor kini berkembang melangkaui peranannya sebagai penggerak peranti elektronik dan menjadi asas kepada kecerdasan buatan, mobiliti autonomi, pembuatan termaju, teknologi penjagaan kesihatan, pusat data serta ekonomi digital masa depan.

Sementara itu, Pengarah Urusan bagi Kelestarian Ekonomi Baharu dan Perbankan Global Kumpulan Maybank Ranita Abdullah berkata bank itu kekal komited menyokong usaha Melaka menarik pelaburan domestik dan asing berkualiti dalam industri termaju dan berteknologi tinggi.

“Maybank komited menyokong aspirasi Melaka untuk menarik pelaburan domestik dan asing berkualiti dalam industri termaju dan berteknologi tinggi, di samping memperkukuh ekosistem syarikat multinasional dan perusahaan kecil dan sederhana tempatan ketika rantaian bekalan berkembang dan perniagaan meningkatkan daya tahan operasi.

“Kami juga berhasrat menyokong aspirasi kelestarian negeri serta agenda transformasi digital Bandar Pintar, selaras dengan strategi ROAR30 Maybank untuk menggerakkan pembiayaan mampan bernilai RM300 bilion dan RM100 bilion bagi ekonomi baharu di seluruh ASEAN,” katanya.

Program hari ini menarik hampir 150 pemimpin industri, pembuat dasar, agensi kerajaan, institusi kewangan dan rakan ekosistem, sekali gus menggariskan komitmen Melaka untuk menjadi hab semikonduktor dan pembuatan termaju yang sedia menghadapi masa depan.

-- BERNAMA