BERITA TERKINI   Ahmad Irfan Che Mohd Ruzaidi dari Bernama Radio raih emas kategori Lintas Langsung Berita Radio Terbaik pada HKM MPI-Petronas 2025 | Siti Hashmarr Mohd Hashim, Nurul Shuhadah Armawan & Muhammad Arif Che Soh raih emas kategori Bicarawara Radio Terbaik pada HKM MPI-Petronas 2025 | Wartawan penyiaran Bernama Radio Nurliyana Farhah Ruslan raih emas kategori Laporan Radio Terbaik pada HKM MPI-Petronas 2025 | Bernama meraih 11 anugerah termasuk tiga emas Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2025 | PM Anwar hargai peranan wartawan pertahan kebebasan media dan sistem demokrasi negara | 

Nilai Transaksi Alipay+ Di Malaysia Melonjak Kepada RM824 Juta Pada 2025 - MOF

KUALA LUMPUR, 17 Julai (Bernama) -- Nilai transaksi pembayaran QR oleh pelancong asing melalui ekosistem Alipay+ di Malaysia mencatatkan lonjakan signifikan sebanyak 89.6 peratus kepada RM824 juta pada 2025 berbanding RM435 juta pada tahun sebelumnya. 

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan jumlah transaksi turut merekodkan peningkatan sebanyak 60.4 peratus kepada 10.5 juta transaksi bagi tempoh sama berbanding 6.6 juta transaksi pada 2024.

Momentum pertumbuhan tersebut berterusan pada suku pertama 2026 dengan nilai transaksi mencecah RM255 juta, meningkat daripada RM173 juta yang dicatatkan pada suku pertama 2025.

Ad Banner

“Bilangan transaksi bagi suku pertama 2026 pula sebanyak 3.5 juta berbanding 2.2 juta bagi tempoh sama tahun lepas.

“Perkembangan ini menunjukkan bagaimana pendigitalan sistem pembayaran menyokong pertumbuhan aktiviti pelancongan dan perdagangan bagi memacu ekonomi negara,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MOF menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (WARISAN-Semporna) mengenai sejauh mana kementerian memantau kos pengaliran keluar dana dan statistik unjuran perbelanjaan pelancong asing melalui ekosistem Alipay+.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

MOF menjelaskan kerjasama antara PayNet dan Alipay+ yang diperkenalkan pada 2024 menerusi integrasi DuitNow QR telah memudahkan pelancong, khususnya dari China, membuat pembayaran menggunakan aplikasi negara asal mereka di premis tempatan.

“Kemudahan pembayaran yang lancar dan selamat itu memperluas akses peniaga tempatan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada kuasa beli pelancong antarabangsa,” menurutr MoF.

Mengenai aspek pemantauan dan intervensi bagi mengekang ketirisan cukai serta pengaliran keluar dana, MOF memaklumkan Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mempergiat usaha bagi memastikan akses serta kepantasan pembayaran rentas sempadan kekal selamat dan mampu milik.

“Usaha ini akan turut menyokong integrasi ekonomi serantau dengan memudahkan urus niaga rentas sempadan oleh individu, perniagaan dan pengembara,” menurut MoF. 

Langkah itu juga bertujuan memastikan ekosistem pembayaran digital rentas sempadan negara kekal kompetitif tanpa mengabaikan aspek keselamatan kewangan dan kestabilan ekonomi domestik.

-- BERNAMA