Malakoff Manfaatkan Inovasi Perkukuh Keselamatan Tenaga, Kurangkan Pelepasan Karbon
KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Keselamatan tenaga kekal menjadi teras dalam peralihan Malaysia menuju masa depan rendah karbon, dengan inovasi memainkan peranan penting bagi memastikan bekalan elektrik yang dipercayai dan mampan untuk isi rumah, perniagaan dan industri.
Sebagai pengeluar tenaga bebas (IPP) terbesar di Malaysia, Malakoff Corporation Bhd memainkan peranan penting dalam mengekalkan kebolehpercayaan sistem tenaga nasional dan menyokong keperluan tenaga Malaysia yang terus berkembang dengan mengimbangi keselamatan, keterjangkauan dan kemampanan tenaga.
Selain itu, ia juga membekalkan kapasiti penjanaan yang dipercayai untuk memacu pertumbuhan negara.
"Bagi menunjukkan perkembangan pesat dalam strategi peralihan kami, portfolio tenaga boleh baharu (TBB) Malakoff telah berkembang lebih 26 kali ganda, meningkat dengan ketara daripada 29 megawatt (MW) pada 2019 kepada 766 MW setakat ini.
“Portfolio ini merangkumi projek solar berskala besar di Johor, Perak dan Sarawak, hidrokuasa kecil di Kelantan, sisa kepada tenaga di Melaka dan solar bumbung di seluruh negara,” menurutnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Malakoff juga sedang mengurangkan jejak karbonnya menerusi penambahbaikan operasi, inovasi teknologi dan penyelesaian rendah karbon yang meningkatkan kecekapan, kebolehpercayaan dan kemampanan merentasi kumpulan penjanaan dan aset-asetnya.
“Memandangkan Malaysia sedang melangkah ke arah masa depan rendah karbon, Malakoff sedang memperkembangkan portfolio penjanaannya menerusi pendekatan seimbang yang menggabungkan pengembangan TBB dengan pengoptimuman aset sedia ada,” tambahnya.
Bagi melengkapkan inisiatif TBB miliknya, Malakoff sedang memperkembangkan aset penjanaan konvensional bagi menyokong peralihan itu tanpa menjejaskan kestabilan bekalan.
Kenyataan itu menyebut syarikat berkenaan berjaya memperoleh pembangunan dua loji janakuasa berkuasa gas baharu dengan kapasiti gabungan sebanyak 2,800 MW di Negeri Sembilan dan Perak.
Di samping itu, syarikat turut meneruskan operasi loji janakuasa berkuasa gas sedia ada miliknya; satu di Pulau Pinang, dua lagi di Perak, yang membawa kepada jumlah kapasiti 2,082 MW, sehingga 2029 dan 2030; sekali gus memperkukuh keupayaannya memenuhi permintaan elektrik yang kian meningkat.
"Selain aset baharu, syarikat itu terus menilai penggunaan pembakaran bersama biojisim, iaitu projek utama di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), sebagai bahan api boleh baharu alternatif yang berpotensi.
“Langkah ini menyediakan campuran bahan api yang lebih bersih dan pelbagai untuk loji-lojinya di Kompleks Tanjung Bin, Johor, sekali gus menunjukkan bagaimana loji janakuasa beban asas sedia ada mampu menghasilkan tenaga yang lebih bersih sambil mengekalkan kapasiti yang boleh dipercayai," menurut kenyataan itu lagi.
Syarikat itu memaklumkan, usaha mencapai campuran tenaga rendah karbon memerlukan pengurusan yang teliti terhadap landskap tenaga yang terus berkembang, bagi memastikan objektif kemampanan dapat dimajukan tanpa menjejaskan kestabilan grid atau kebolehpercayaan dari segi bekalan.
Ia menyatakan kemampanan kewangan juga diiktiraf sebagai amat penting untuk keselamatan tenaga.
“Peningkatan kos modal dan ketidakpadanan tempoh pembiayaan berisiko menyebabkan aset TBB terbiar jika tidak ditangani dengan sewajarnya.
“Malakoff menekankan kepentingan struktur pembiayaan jangka panjang dan tarif yang berdaya maju untuk memastikan projek-projek kekal boleh dibiayai, sekali gus melindungi kebolehpercayaan bekalan di samping memajukan cita-cita tenaga boleh baharu,” jelas syarikat itu.
Malakoff juga turut menerajui usaha menghidupkan semula Penjanabebas, iaitu persatuan untuk industri yang mewakili suara para pemain sektor tenaga.
Ia memaklumkan persatuan itu komited untuk memperkukuh kerjasama dengan badan kerajaan dan pengawal selia, meningkatkan kecekapan industri, serta memastikan sektor tenaga Malaysia kekal berdaya tahan di tengah-tengah dinamik pasaran yang terus berkembang.
Selain itu, Penjanabebas menyatakan kesediaan untuk meneroka tenaga nuklear sebagai sebahagian daripada campuran bahan api yang pelbagai, sekali gus mencerminkan komitmennya untuk menyokong landskap keselamatan tenaga jangka panjang negara.
Melalui usaha bersama ini, Malakoff bukan sahaja memajukan portfolio miliknya sendiri, malah turut memainkan peranan penting dalam mencorakkan landskap tenaga Malaysia yang lebih luas.
“Dengan menyelaraskan kerjasama menyeluruh sektor melalui strategi pacuan inovasinya, kumpulan menekankan bagaimana inisiatif korporat dan perkongsian strategik adalah amat penting untuk melindungi keselamatan tenaga negara,” tambahnya.
Pada masa hadapan, pelaburan berterusan dan kepimpinan proaktif Malakoff mencerminkan tekadnya untuk memainkan peranan utama dalam mencorakkan masa depan tenaga Malaysia.
Dengan keselamatan tenaga sebagai teras misinya, kumpulan itu kekal komited untuk membekalkan tenaga yang boleh dipercayai di samping mempercepatkan peralihan negara ke arah ekonomi yang lebih mampan dan berdaya tahan.
-- BERNAMA