BERITA TERKINI   Dewan Negara lulus Rang Undang-Undang Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2026 | Sweden, Poland, Romania dan Lithuania diterima menjadi anggota baharu Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (TAC) - Mohamad HasanĀ  | ASEAN terima United Kingdom sebagai negara anggota Forum Serantau ASEAN (ARF) yang baharu- Mohamad Hasan | ASEAN terima kemasukan Turkiye sebagai Rakan Dialog yang baharu - Mohamad Hasan | 63,475 pasport Malaysia versi baharu dikeluarkan setakat 17 Julai - KP Imigresen | 

Pos Malaysia Laksana Pelan Transformasi Bagi Kurangkan Kerugian

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- Pos Malaysia Bhd (Pos Malaysia) di bawah DRB-HICOM Bhd (DRB-HICOM) akan melaksanakan pelan transformasi bagi mengurangkan kerugiannya, antaranya dengan memberi tumpuan kepada rasionalisasi rangkaian, pengembangan saluran digital dan pengurusan berhemat. 

Menurut Kementerian Komunikasi, setakat ini Pos Malaysia telah mencatatkan peningkatan prestasi kewangan apabila merekodkan pengurangan kerugian bersih sebanyak RM19.5 juta bagi suku pertama 2026 berbanding RM41.5 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

“Pengurangan ini merupakan kerugian suku tahunan terendah dalam tempoh empat tahun, disokong oleh peningkatan hasil daripada perkhidmatan sijil digital dan percetakan, prestasi segmen penerbangan yang lebih kukuh serta pengurangan kerugian dalam segmen perkhidmatan pos," jelasnya dalam jawapan bertulis yang disiarkan dalam laman sesawang Parlimen hari ini.

Ad Banner

Kementerian Komunikasi berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai sama ada kerajaan akan memberikan bantuan kewangan kepada Pos Malaysia memandangkan rekod kerugian syarikat tersebut di bawah DRB-HICOM.

Pada masa sama, kementerian berkata kerajaan amat menggalakkan usaha transformasi dan pemodenan operasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia. 

"Sebarang bentuk sokongan kerajaan akan dipertimbangkan berdasarkan dasar semasa, kedudukan kewangan kerajaan, keperluan penyediaan perkhidmatan sejagat dan kerangka kawal selia yang berkuat kuasa," katanya. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain itu, tambahnya, kerajaan menganggap bantuan kewangan secara langsung kepada Pos Malaysia bukan satu langkah utama, sebaliknya akan mewujudkan mekanisme pembiayaan yang lebih mampan bagi menampung kos penyediaan perkhidmatan. 

Sehubungan itu, jelasnya, kerajaan sedang meneliti penubuhan Kumpulan Wang Perkhidmatan Pos sebagai mekanisme jangka panjang bagi menyokong penyediaan perkhidmatan pos di kawasan yang kurang berdaya maju secara komersial, tanpa menjejaskan kemampanan industri secara keseluruhan. 

--BERNAMA