Ringgit Ditutup Tinggi Berbanding Dolar AS, Dipacu Data Perdagangan Memberangsangkan
Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Ringgit ditutup tinggi bagi hari kedua berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan mata wang utama lain pada Selasa, disokong prestasi perdagangan Malaysia yang lebih kukuh daripada jangkaan, meskipun ketidaktentuan geopolitik berlarutan.
Pada 6 petang, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0870/0910 berbanding dolar AS daripada 4.0895/0950 semalam.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata kenaikan semula saham semikonduktor di seluruh Asia turut menambah sokongan, seterusnya mewujudkan situasi pasaran serantau yang lebih mesra untuk mata wang tempatan.
“Daya tahan itu lebih ketara memandangkan dolar AS kini diniagakan tinggi di negara G10 manakala ketidaktentuan geopolitik pula masih memuncak,” katanya kepada Bernama.
Beliau menjangkakan ringgit diniagakan stabil dengan sedikit kecenderungan positif bagi sepanjang minggu ini sekiranya risiko geopolitik tidak meningkat ketara.
“"Perkembangan makroekonomi AS agak perlahan minggu ini dan ketidaktentuan pertukaran mata wang asing pula berada pada paras amat rendah. Satu-satunya risiko adalah sekiranya berlaku peningkatan ketegangan yang ketara di Asia Barat dan satu lagi lonjakan harga minyak, namun itu bukan jangkaan asas pasaran buat masa ini.
“Dalam senario itu, dolar AS berkemungkinan mencatat peningkatan semula susulan permintaan terhadap mata wang selamat berikutan ketidaktentuan geopolitik,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walaupun ringgit merekodkan prestasi positif hari ini namun, peserta pasaran tetap berhati-hati terhadap ketegangan yang berterusan antara AS dan Iran, yang boleh menjejaskan aliran trafik kapal di Selat Hormuz.
“Susulan ketiadaan data penting, peserta pasaran akan memerhatikan risiko peristiwa berkaitan perang AS-Iran kerana mempunyai implikasi langsung terhadap harga minyak mentah,” katanya.
Pada akhir dagangan hari ini, ringgit tinggi berbanding kumpulan mata wang utama.
Unit domestik meningkat berbanding euro kepada 4.6682/6727 daripada 4.6743/6806 ketika ditutup semalam dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.5123/5148 daripada 2.5177/5212.
Mata wang tempatan juga naik berbanding pound British kepada 5.4868/4922 daripada 5.5049/5123.
Ringgit mencatat prestasi bercampur-campur berbanding mata wang negara serantau ASEAN.
Mata wang domestik turun berbanding dolar Singapura kepada 3.1682/1716 daripada 3.1677/1722 dan kurang stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 228.4/228.8 daripada 227.8/228.2 ketika ditutup pada Isnin.
Bagaimanapun, ringgit meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.1420/1579 daripada 12.1556/1759 dan lebih tinggi berbanding peso Filipina kepada 6.62/6.63 daripada 6.63/6.64.
-- BERNAMA