BERITA TERKINI   MB Johor hari ini umum pelantikan 10 Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Negeri | 

Jualan FDM 2026 By SIAL Dijangka Lepasi RM1.081 Bilion

Oleh Mikhail Raj Abdullah & Karina Imran

KUALA LUMPUR, 22 Julai (Bernama) -- Nilai jualan yang dijana sempena Food & Drinks Malaysia (FDM) by SIAL 2026 dijangka melepasi pencapaian tahun lepas sebanyak US$265 juta (RM1.081 bilion), didorong peningkatan permintaan terhadap produk makanan dan ramuan, penyertaan antarabangsa yang lebih kukuh serta aktiviti padanan perniagaan yang rancak, meskipun industri berdepan gangguan rantaian bekalan dan peningkatan kos.

Pengarah Urusan SIAL Network ASEAN dan India Henri Tan berkata keyakinan itu turut mencerminkan daya tahan serta prospek pertumbuhan positif industri makanan dan minuman (F&B) Malaysia walaupun berdepan kenaikan harga makanan susulan peningkatan kos logistik.

Ad Banner

Menurut beliau, ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menjejaskan laluan perdagangan melalui Selat Hormuz telah meningkatkan kos pengangkutan dan penghantaran, sekali gus menyumbang kepada kenaikan harga makanan.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam temu bual pada Selasa.

Pameran yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu dijangka menarik 18,000 pengunjung, meningkat 20 peratus berbanding 15,184 pengunjung tahun lepas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Tan berkata peningkatan itu didorong penyertaan antarabangsa yang lebih memberangsangkan, dengan kira-kira 60 peratus daripada lebih 450 peserta pameran terdiri daripada syarikat luar negara termasuk dari Korea Selatan, Brazil dan Turkiye.

SIAL, singkatan kepada Salon International de l'Alimentation, ialah rangkaian inovasi makanan terbesar dunia yang menganjurkan acara tiga hari itu yang bermula semalam, melalui kerjasama dengan penganjur tempatan bagi menghubungkan pasaran F&B Malaysia dan ASEAN dengan pembekal, pengedar serta peneraju industri dari seluruh dunia.

 

INDUSTRI F&B HARAP SOKONGAN BELANJAWAN 2027

 

Mengulas kebimbangan terhadap konflik di Asia Barat yang berpotensi berlarutan, Tan berkata pengeluar, pengilang dan peruncit makanan serta minuman berharap kerajaan menyediakan lebih banyak langkah sokongan bagi membantu industri menangani peningkatan kos operasi.

Beliau berkata Belanjawan 2027 boleh memperkenalkan lebih banyak dana pemudah cara teknologi bagi membantu syarikat F&B mempercepat penggunaan teknologi digital, menggalakkan inovasi serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

Selain itu, beliau menggesa kerajaan memperluas insentif cukai dan bantuan subsidi kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor F&B bagi membolehkan mereka mengembangkan operasi, meningkatkan produktiviti dan mempercepat penggunaan teknologi baharu.

Menurut beliau, PKS juga perlu diberi sokongan kewangan bagi meningkatkan keupayaan memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk memperkukuh kecekapan operasi serta meningkatkan daya saing.

"Dengan AI, mereka mampu mengikuti perkembangan pesat teknologi makanan. Kita perlu terus meningkatkan keupayaan," katanya.

 

PROTEKSIONISME JEJAS KERJASAMA RANTAIAN BEKALAN MAKANAN ASEAN

 

Mengenai usaha memperkukuh keselamatan makanan dan menangani cabaran rantaian bekalan, Tan berkata kerjasama kawal selia yang lebih erat dalam kalangan negara anggota ASEAN diperlukan bagi memudahkan pemerolehan bekalan makanan dan bahan mentah merentas sempadan, sekali gus mengurangkan kos serta memperkukuh keselamatan makanan serantau.

Beliau berkata kerjasama lebih erat antara Malaysia, Thailand dan Indonesia mampu mewujudkan rantaian bekalan serantau yang lebih berdaya tahan, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap import dari Eropah dan Asia Barat yang kini berdepan peningkatan kos logistik akibat ketidaktentuan geopolitik.

"Pembekal tempatan perlu meningkatkan kapasiti pengeluaran. Apabila bekalan domestik mencukupi, kita dapat mengurangkan bil import makanan," katanya.

Menurut Tan, pengeluaran tempatan yang masih belum mencukupi menyebabkan negara terus bergantung kepada import, manakala kuota dan sekatan eksport yang dikenakan beberapa negara jiran turut menyebabkan Malaysia beralih mendapatkan bekalan makanan dan minuman dari India.

Beliau berkata amalan proteksionisme menerusi halangan kawal selia dan sekatan eksport terus menjadi cabaran utama kepada kerjasama serantau apabila banyak negara mengutamakan keselamatan makanan serta bekalan domestik susulan ketidaktentuan geopolitik global.

 

INOVASI PACU DAYA TAHAN INDUSTRI

 

Bagi mendepani cabaran berkenaan, Tan menggesa industri mempergiat inovasi makanan yang dipacu ketidaktentuan geopolitik, peningkatan kos input serta keperluan memperkukuh keselamatan makanan.

Menurut beliau, inovasi makanan mampu meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, mengurangkan pembaziran makanan serta menghasilkan lebih banyak produk bernilai tambah menggunakan bahan mentah tempatan.

Beliau berkata pembangunan industri ternakan tiram di Johor, penghasilan produk hiliran berasaskan durian serta inovasi produk berasaskan lada membuktikan potensi besar bahan mentah tempatan dalam menghasilkan produk bernilai tinggi, di samping mengurangkan kebergantungan kepada import.

Katanya, inisiatif seumpama itu bukan sahaja mengukuhkan daya saing industri tempatan, malah menyokong agenda keterjaminan makanan negara melalui pembangunan produk bernilai tinggi berasaskan sumber tempatan.

Walaupun berdepan tekanan kos dan ketidaktentuan ekonomi global, Tan yakin industri F&B akan terus berkembang berdasarkan rekod keupayaannya menyesuaikan diri ketika berdepan krisis seperti wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) pada 2002 dan pandemik COVID-19.

"Industri makanan sentiasa mampu menyesuaikan diri. Pengguna mengubah corak perbelanjaan, manakala syarikat terus berinovasi dan meningkatkan kecekapan.

"Naluri manusia untuk terus bertahan akan memastikan industri ini terus berkembang," katanya.

-- BERNAMA