Bursa Malaysia Melantun Semula Ditutup Tinggi, Atasi Penyusutan Tiga Hari
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif & Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 23 Julai (Bernama) -- Selepas susut selama tiga hari berturut-turut, Bursa Malaysia kembali melantun dengan menokok 0.18 peratus pada akhir dagangan hari ini susulan lonjakan harga minyak global yang turut menyuntik sokongan terhadap syarikat Malaysia berkaitan tenaga.
Momentum bursa turut dipacu prestasi kaunter utiliti apabila menarik pelabur yang mahukan daya tahan atau kelangsungan pendapatan di tengah-tengah realiti ketidaktentuan global.
Pada 5 petang, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.22 mata atau 0.18 peratus kepada 1,714.59 berbanding 1,711.37 yang dicatatkan semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka menokok 3.01 mata kepada 1,714.38 dan bergerak dalam julat 1,709.05 hingga 1,716.43 sepanjang dagangan hari ini.
Di pasaran secara meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 599 berbanding 415 manakala 600 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,138 tidak diniagakan dan 23 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan berkurangan kepada 3.19 bilion unit bernilai RM2.27 bilion daripada 3.43 bilion unit bernilai RM2.50 bilion, semalam.
Pengarah dan Penganalisis Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata FBM KLCI meningkat susulan minat belian terhadap saham berkaitan minyak dan gas serta utiliti mengimbangi penurunan saham-saham bermodal besar terpilih, sekali gus memaparkan peningkatan beransur-ansur sentimen pasaran.
“Walaupun pasaran serantau didorong oleh peningkatan semula saham teknologi susulan minat dan keyakinan berkaitan kecerdasan buatan (AI), kenaikan Bursa Malaysia lebih menyederhana berikutan pendedahan indeks penanda aras yang lebih rendah terhadap sektor teknologi serta tumpuan ketara ke atas sektor perbankan dan sektor defensif atau mampu bertahan,” katanya.
Sementara itu, mengulas prospek di masa depan, Ketua Penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd Kenneth Leong menjangkakan FBM KLCI memasuki fasa penyatuan selepas pemulihan baru-baru ini, berikutan pelabur mengambil pendekatan lebih berhati-hati ketika ketidakpastian situasi luaran terus berlarutan.
Beliau berkata sentimen bagi masa terdekat ini berkemungkinan besar akan dipengaruhi oleh perkembangan geopolitik di Asia Barat, terutama impaknya ke atas harga minyak mentah.
“Sehubungan itu, musim pelaporan pendapatan korporat Amerika Syarikat (AS) akan menjadi tumpuan bagi mendapatkan petunjuk mengenai kekuatan asas korporat dan prospek ekonomi secara meluas.
“Risiko geopolitik yang kekal memuncak dan ketidaktentuan berkaitan pendapatan, mungkin menjadikan sentimen pasaran kekal berhati-hati bagi tempoh terdekat ini.
“Dari sudut teknikal, indeks utama itu telah membentuk corak “doji” (memaparkan harga pembukaan dan penutup hampir sama apabila jumlah pembeli dan penjual seimbang selain pasaran tiada hala tuju jelas),” katanya.
Berikutan itu, paras rintangan terdekat kekal pada 1,735 mata dan seterusnya 1,740 mata manakala paras sokongan jangka pendek masing-masing pada 1,700 mata dan 1,680 mata.
Dalam pada itu, saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank susut lapan sen kepada RM10.86, Public Bank untung dua sen kepada RM5.17, Tenaga Nasional naik 22 sen kepada RM14.50, CIMB meraih tujuh sen kepada RM7.73 dan IHH Healthcare menokok enam sen kepada RM8.39.
Bagi saham aktif, AIMAX dan Zetrix AI masing-masing susut setengah sen kepada satu sen dan 71 sen manakala Tanco turun 3.5 sen kepada 27 sen, VS Industry kehilangan satu sen kepada 25 sen dan Pegasus Heights tidak berubah pada setengah sen.
Kaunter paling untung menyaksikan Panasonic Manufacturing naik 33 sen kepada RM5.99, Ornapaper untung 22.5 sen kepada 87.5 sen, Sarawak Plantation naik 17 sen kepada RM4.49 manakala Sunway Construction dan UMS Integration masing-masing meningkat 15 sen kepada RM7.73 dan RM8.05.
Sebaliknya, kaunter paling rugi didahului oleh Malaysian Pacific yang turun RM1.58 kepada RM46.18, diikuti United Plantations susut 94 sen kepada RM33.10, Nestle merosot 32 sen kepada RM91.20, Kuala Lumpur Kepong kehilangan 26 sen kepada RM20.66 manakala Malayan Cement berkurangan 19 sen kepada RM6.14.
Indeks secara meluas menyaksikan Indeks FBM Emas menokok 1.77 mata kepada 12,657.73, Indeks FBM Top 100 meraih 1.89 mata kepada 12,481.86 manakala Indeks FBM ACE meningkat 8.06 mata kepada 4,969.08.
Indeks FBM Emas Syariah sebaliknya menguncup 1.41 mata kepada 12,496.28 dan Indeks FBM Mid 70 merosot 89.46 mata kepada 17,867.35.
Bagi sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 3.60 mata kepada 20,210.71, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.40 mata kepada 188.76 namun Indeks Perladangan merosot 80.97 mata kepada 9,240.27 dan Indeks Tenaga susut 0.27 mata kepada 774.14.
Di Pasaran utama, jumlah dagangan berkurangan kepada kepada 1.84 bilion unit bernilai RM2.02 bilion berbanding 1.94 bilion unit bernilai RM2.22 bilion, semalam.
Jumlah waran susut kepada 902.43 juta unit bernilai RM117.01 juta berbanding 970.20 juta unit bernilai RM130.98 juta, sebelum ini.
Selain itu, jumlah dagangan di Pasaran ACE berkurangan kepada 449.60 juta unit bernilai RM132.47 juta daripada 520.43 juta unit bernilai RM151.15 juta semalam.
Dagangan di Pasaran Utama menyaksikan kaunter produk pengguna dan perkhidmatan mencatatkan 150.63 juta saham manakala produk perindustrian dan perkhidmatan (334.27 juta), pembinaan (99.95 juta), teknologi (596.67 juta), perkhidmatan kewangan (54.03 juta), hartanah (276.35 juta), perladangan (34.67 juta), amanah pelaburan hartanah (REIT) (23.58 juta), dana tertutup (313,900 unit), tenaga (131.27 juta), penjagaan kesihatan (47.96 juta), telekomunikasi dan media (21.32 juta), pengangkutan dan logistik (42.39 juta), utiliti (27.56 juta) serta amanah perniagaan (41,700 unit).
-- BERNAMA