BERITA TERKINI   Glasgow 2026: Atlet angkat berat Muhammad Erry Hidayat raih emas ketiga Malaysia, ungguli kategori 79kg | 

Kementerian Ekonomi Catat Prestasi Perbelanjaan Pembangunan Keempat Terbaik Dalam Kalangan Kementerian

PUTRAJAYA, 27 Julai (Bernama) -- Kementerian Ekonomi mencatatkan prestasi perbelanjaan pembangunan keempat terbaik dalam kalangan kementerian setakat 21 Julai selepas membelanjakan RM1.214 bilion atau 57.42 peratus daripada peruntukan pembangunan asal sebanyak RM2.115 bilion bagi 2026.

Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata prestasi itu mengatasi purata kebangsaan sebanyak 45.93 peratus. 

Katanya berdasarkan rekod sistem MyProjek, prestasi tersebut melebihi kadar purata nasional, dengan perbelanjaan pembangunan keseluruhan mencecah RM37.18 bilion daripada jumlah peruntukan pembangunan sebanyak RM81 bilion.

Ad Banner

“Sasaran kita ialah berada dalam kelompok tiga kementerian terbaik menjelang hujung tahun ini,” katanya pada perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya kejayaan kementerian bukan diukur berdasarkan kadar perbelanjaan semata-mata, sebaliknya sejauh mana dasar, program dan projek pembangunan yang dilaksanakan dapat meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

Menurutnya, kerajaan akan terus memantau perkembangan ekonomi negara secara rapi meskipun anggaran pertumbuhan ekonomi bagi suku kedua 2026 sebanyak 5.8 peratus menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada jangkaan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata pertumbuhan itu menjadikan prestasi ekonomi bagi separuh pertama tahun ini kepada 5.6 peratus, lebih tinggi daripada unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa sebanyak 4.7 peratus.

Bagaimanapun, katanya kerajaan perlu terus berwaspada berikutan negara masih berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

“Antara faktor yang perlu diberi perhatian ialah asas pertumbuhan yang tinggi pada separuh pertama tahun ini, kemungkinan berlakunya fenomena super El Nino, ketidaktentuan geopolitik, turun naik harga tenaga dan sebarang gangguan kepada rantaian bekalan makanan yang boleh memberi kesan kepada inflasi dan aktiviti ekonomi,” katanya.

Akmal Nasrullah berkata kadar inflasi kekal terkawal pada 1.9 peratus pada Jun berbanding dua peratus pada Mei manakala kadar pengangguran kekal pada tiga peratus dengan 16.82 juta rakyat bekerja daripada keseluruhan tenaga buruh seramai 17.34 juta orang.

Beliau berkata nilai perdagangan negara bagi Jun turut mencecah paras tertinggi bulanan sebanyak RM184 bilion, dengan sektor semikonduktor menjadi antara penyumbang utama eksport negara.

Mengenai tumpuan kementerian bagi separuh kedua 2026, katanya kementerian akan memberi perhatian kepada usaha menangani isu struktur ekonomi termasuk meningkatkan produktiviti, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan memastikan pertumbuhan ekonomi diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat.

Beliau berkata kerajaan turut memberi penekanan kepada usaha merapatkan jurang antara pertumbuhan ekonomi dan pertumbuhan gaji supaya manfaat pembangunan dapat dinikmati secara lebih menyeluruh oleh rakyat.

-- BERNAMA