Indeks Utama Bursa Malaysia Ditutup Tinggi Cerminkan Prestasi Serantau Yang Positif
Oleh Zufazlin Baharuddin dan Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Indeks utama Bursa Malaysia ditutup tinggi pada tengah hari, mencerminkan prestasi serantau yang positif.
Pada 12.30 tengah hari, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 16.17 mata kepada 1,717.19 daripada paras penutup 1,701.02 pada Jumaat.
Indeks utama itu dibuka tinggi 2.63 mata pada 1,703.65 dan bergerak dalam julat 1,702.35 hingga 1,718.31 sepanjang sesi dagangan pagi ini.
Bagaimanapun, pasaran secara meluas adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 514 berbanding 435 manakala 488 kaunter tidak berubah, 1,336 tidak didagangkan, dan 53 digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.55 bilion unit bernilai RM934.80 juta.
Di peringkat serantau, Indeks Hang Seng Hong Kong naik 0.81 peratus kepada 25,166.58, Nikkei 225 Jepun meningkat 0.28 peratus kepada 64,793.48, Indeks Komposit SSE Shanghai menambah 0.40 peratus kepada 3,829.39 dan Indeks Straits Times Singapura melonjak 0.44 peratus kepada 5,557.08.
Sementara itu, Indeks Komposit KOSPI Korea Selatan merosot 5.80 peratus kepada 6,685.26 dan Indeks Komposit IDX Indonesia susut 0.27 peratus kepada 6,179.72.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Wall Street Amerika Syarikat (AS) telah stabil untuk ditutup bercampur-campur berikutan minggu yang tidak menentu.
“Ketegangan geopolitik memuncak berserta harga minyak mentah tinggi, semuanya menyumbang kepada minggu dagangan yang sangat tidak menentu, selain peralihan keluar daripada segmen berkaitan kecerdasan buatan.
“Namun, keadaan nampaknya telah reda selepas China dan Pakistan campur tangan untuk menjadi orang tengah untuk menyambung semula rundingan damai antara AS dan Iran, seperti yang ditunjukkan oleh penurunan semula harga minyak mentah Brent kepada di bawah US$97 setong,” katanya kepada Bernama.
Justeru, beliau menjangkakan aktiviti belian semasa harga rendah akan berlaku, sekali gus indeks itu diunjurkan berada pada paras sekitar 1,695-1,710.
Saham berwajaran tinggi menyaksikan Public Bank menambah 11 sen kepada RM5.22, CIMB Group naik 12 sen kepada RM7.80, Maybank menokok 14 sen kepada RM10.92, Petronas Gas meningkat 38 sen kepada to RM17.78 dan Maxis melonjak enam sen kepada RM3.58.
Antara saham aktif, SNS Network Technology naik 4.5 sen kepada 56 sen, AIMAX tidak berubah pada satu sen, manakala Tanco Holdings susut satu sen kepada 25 sen, V.S Industry merosot 1.5 sen kepada 23 sen, Zetrix menguncup setengah sen kepada 69.5 sen.
Bagi kaunter paling untung, Nestlé naik 96 sen kepada RM91.58, Malaysian Pacific Industries meningkat 62 sen kepada RM45.70, Far East menambah 25 sen kepada RM4.10, dan Hong Leong Industries melonjak 20 sen kepada RM18.02.
United Plantations mendahului kaunter paling rugi, turun 44 sen kepada RM32.98, Fraser & Neave susut 40 sen kepada RM27.90, Dutch Lady Milk Industries merosot 30 sen kepada RM31.70, Ideal Capital berkurangan 24 sen kepada RM3.75, dan BLD Plantation menguncup 20 sen kepada RM14.80.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas naik 92.36 mata kepada 12,681.90, Indeks FBMT 100 menokok 99.22 mata kepada 12,511.18, Indeks FBM 70 menambah 63.11 mata kepada 17,953.94, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 56.51 mata kepada 12,500.76, manakala Indeks FBM ACE susut 29.77 mata kepada 4,897.10.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan melonjak 216.97 mata kepada 20,274.08, Indeks Tenaga susut 3.50 mata kepada 770.33, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.34 mata kepada 187.52, dan Indeks Perladangan berkurangan 5.19 mata kepada 9,295.79.
-- BERNAMA