BERITA TERKINI   F1: Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mansuh bayaran pendaftaran awal USD 1 juta, penganjuran percuma oleh Malaysia - PM Anwar | Keamanan dan kecemerlangan negara anjur program antarabangsa faktor Malaysia dipilih jadi tuan rumah perlumbaan F1 - PM Anwar | Sultan Nazrin cadang rangka kerja Tadbir Urus Wakaf Global sebagai prinsip teras yang boleh diterima pakai secara sukarela oleh institusi wakaf | Sultan Nazrin seru platform wakaf tunai digital diperluas untuk tingkat ketelusan | RUU Statistik 2026 dijangka diwartakan hujung tahun ini, Jabatan Perangkaan Malaysia kini dikenali sebagai Jabatan Statistik selepas akta itu berkuat kuasa - Akmal Nasrullah | 

Gabenor Bank Indonesia Perry Warjiyo Letak Jawatan, Destry Damayanti Jadi Pemangku Gabenor

JAKARTA, 27 Julai (Bernama) -- Gabenor Bank Indonesia (BI) Perry Warjiyo telah menyerahkan surat peletakan jawatannya manakala Timbalan Gabenor Kanan Destry Damayanti akan mengambil alih jawatan secara automatik sebagai Pemangku Gabenor selaras dengan peruntukan Undang-Undang BI.

Setiausaha Negara Prasetyo Hadi berkata kerajaan telah menerima surat peletakan jawatan Perry secara rasmi pada Ahad dan Presiden Prabowo Subianto menerima peletakan jawatan itu.

"Selaras dengan prosedur serta undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa, khususnya Undang-Undang BI, presiden telah menerima peletakan jawatan Perry dan pada masa sama merakamkan penghargaan dan terima kasih atas dedikasi beliau sepanjang hampir tujuh tahun menerajui BI," katanya pada sidang media pada Isnin.

Ad Banner

Prasetyo berkata kerajaan akan segera memulakan proses pentadbiran dengan mengeluarkan dekri presiden bagi mengesahkan peletakan jawatan Perry secara terhormat daripada jawatan gabenor.

"Selaras dengan Undang-Undang BI, jawatan gabenor akan dipangku secara automatik oleh Timbalan Gabenor Kanan, yang seterusnya akan melaksanakan semua tugas sebagai Pemangku Gabenor," katanya.

Prasetyo berkata kerajaan menyeru semua institusi untuk terus melaksanakan mandat masing-masing mengikut undang-undang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau turut menegaskan bahawa bank pusat akan terus menjalankan tanggungjawab dasar monetari manakala kerajaan menerusi Kementerian Kewangan akan terus bertanggungjawab terhadap dasar fiskal serta mengekalkan penyelarasan yang erat.

-- BERNAMA