BNM Tetapkan Penilaian Lebih Menyeluruh Ke Atas Prestasi IKP Mulai Julai 2027

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerbitkan Dokumen Dasar Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) bagi Institusi Kewangan Pembangunan (IKP) yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2027.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), PMF menyediakan satu kerangka lebih berstruktur bagi memperkukuh pelaksanaan mandat pembangunan oleh IKP secara lebih berkesan.

“Di bawah PMF, prestasi IKP dinilai secara lebih menyeluruh berdasarkan pencapaian mandat pembangunan, impak pembangunan yang dijana kepada sektor dan segmen sasaran, hasil tambahan pembangunan yang diwujudkan berbanding pembiayaan komersial serta tahap tadbir urus, akauntabiliti dan kecekapan operasi,” menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis Dewan Negara disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Ad Banner

Kenyataan itu sebagai menjawab pertanyaan Senator Robert Lau Hui Yew mengenai penilaian kerajaan terhadap keberkesanan IKP dalam mencapai objektif dasar masing-masing, pertindihan dalam mandat, program pembiayaan dan segmen pelanggan yang disasarkan oleh institusi-institusi itu dan jika kerajaan bercadang untuk merasionalisasi atau menyatukan mana-mana institusi berkenaan bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan pertindihan fungsi.

Menurut kementerian, Malaysia mempunyai enam IKP yang beroperasi di bawah Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 iaitu Bank Rakyat, Bank Pembangunan Malaysia Bhd, Agrobank, Bank Simpanan Nasional (BSN), EXIM Bank dan SME Bank.

Pada 2025, pembiayaan terkumpul IKP meningkat kepada RM193.9 bilion dengan kelulusan pembiayaan kepada 1.8 juta akaun yang merangkumi sektor sasaran seperti infrastruktur, pertanian, perusahaan kecil dan sederhana, termasuk perusahaan mikro serta segmen kurang mendapat akses kepada pembiayaan komersial.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

-- BERNAMA