Bank Muamalat Perkenal Kad Kredit-i Awwal Perluas Akses Pembiayaan Berhemah
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Bank Muamalat Malaysia Bhd memperkenalkan Kad Kredit-i Awwal, kad kredit-i berlandaskan prinsip syariah yang menawarkan akses kepada pembiayaan secara lebih telus, mampu milik dan bertanggungjawab.
Menurut Bank Muamalat, pelancaran Kad Kredit-i Awwal mencerminkan komitmen berterusan bank itu dalam menyediakan penyelesaian kewangan yang memenuhi keperluan rakyat, khususnya ketika kos sara hidup terus meningkat dan ketidaktentuan ekonomi global masih memberi kesan kepada isi rumah serta perniagaan.
"Kad Kredit-i Awwal dibangunkan berteraskan konsep pembiayaan bertanggungjawab dengan menawarkan kadar keuntungan serendah 14 peratus setahun selain tiada yuran tahunan, tiada caj tersembunyi dan mengguna pakai konsep keuntungan tidak berganda," jelasnya dalam satu kenyataan.
Bank itu memaklumkan, Kad Kredit-i Awwal turut menawarkan ciri yang menggalakkan pengurusan kewangan secara berhemah bagi membantu pelanggan mengelakkan komitmen hutang berlebihan.
Selain itu, kad berkenaan disertakan dengan perlindungan takaful percuma bagi baki tertunggak sekali gus menawarkan perlindungan kewangan tambahan kepada pelanggan tanpa kos tambahan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat Datuk Khairul Kamarudin berkata kad kredit-i itu merupakan sebahagian daripada aspirasi bank untuk memperluas akses kepada pembiayaan yang lebih adil, telus dan bertanggungjawab.
"Dalam keadaan ekonomi yang masih dipengaruhi pelbagai cabaran global, rakyat memerlukan lebih daripada sekadar akses kepada kredit. Mereka memerlukan penyelesaian kewangan yang membantu mereka mengurus perbelanjaan secara lebih bijak tanpa menambah tekanan kewangan.
"Kad Kredit-i Awwal dibangunkan berasaskan prinsip bahawa kemudahan kredit seharusnya menjadi alat untuk memperkukuh kesejahteraan kewangan, bukannya mendorong kepada keberhutangan yang berlebihan.
Beliau memberitahu sebagai sebuah bank Islam sepenuhnya, setiap produk yang ditawarkan perlu memberi nilai sebenar kepada pelanggan selaras dengan prinsip keadilan, ketelusan dan tanggungjawab yang menjadi teras kewangan Islam.
Khairul berkata Kad Kredit-i Awwal memberi penekanan kepada kos pembiayaan yang lebih rendah, struktur caj yang mudah difahami serta ciri yang menggalakkan pengurusan kewangan secara berhemah, berbeza dengan kebanyakan kad kredit yang lebih menumpukan kepada ganjaran gaya hidup dan keistimewaan eksklusif.
"Selain menawarkan kadar keuntungan yang kompetitif, pelanggan tidak akan dikenakan sebarang keuntungan sekiranya keseluruhan baki tertunggak dijelaskan sebelum tarikh akhir pembayaran, selaras dengan konsep keuntungan tidak berganda yang diamalkan oleh Bank Muamalat," tambah kenyataan tersebut.
Bank Muamalat menyatakan pelancaran Kad Kredit-i Awwal melengkapi pelbagai inisiatif sedia ada termasuk pemansuhan caj RM1 bagi pengeluaran wang tunai di semua mesin juruwang automatik (ATM) antara bank.
Selain itu, pelaksanaan Program Penjadualan Semula dan Penstrukturan Semula (R&R) pembiayaan serta penyediaan Kemudahan Bantuan Penstabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME SRF).
Kad Kredit-i Awwal dijangka ditawarkan kepada orang ramai mulai Oktober 2026. Maklumat lanjut boleh diperoleh dalam laman sesawang Bank Muamalat atau di mana-mana cawangannya.
-- BERNAMA