BERITA TERKINI   Untung bersih Nestlé Malaysia melonjak 38.3 peratus kepada RM155.02 juta bagi suku kedua manakala perolehan naik 8.7 peratus kepada RM1.81 bilion | PRN NS: Undi awal rekod 80.79 peratus setakat 1 tengah hari - SPR | Sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Forest City tumpas, 355 individu termasuk 309 warga China ditahan dengan rampasan RM1 juta - Polis | PRN NS: Undi awal rekod 68.85 peratus setakat 12 tengah hari - SPR | PRN N. Sembilan: PDRM terima 53 laporan, buka 16 kertas siasatan berkait kesalahan pilihan raya sepanjang tempoh kempen hingga semalam - Ketua Polis N. Sembilan | 

Permintaan Tinggi Terhadap Sukuk Global Malaysia US$1.5 Bilion Cerminkan Keyakinan Pelabur - Gabenor BNM

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Kejayaan terbitan sukuk global Malaysia bernilai US$1.5 bilion minggu lepas menunjukkan keyakinan pelabur terhadap asas ekonominya, kata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.

Beliau berkata sambutan terhadap terbitan tersebut amat menggalakkan, dengan permintaan mencecah hampir lima kali ganda daripada jumlah yang ditawarkan.

“Pelabur bukan sahaja bersedia melaburkan modal di Malaysia, malah mereka sanggup berbuat demikian pada terma yang amat baik, dengan spread pada paras terendah.

Ad Banner

“Ia merupakan bukti jelas keyakinan pelabur terhadap asas ekonomi Malaysia, agenda pembaharuan dan komitmen kita terhadap pengurusan ekonomi yang baik,” katanya dalam ucaptama pada majlis perasmian Sasana Symposium 2026 (SS2026) selama dua hari di sini hari ini.

Bertemakan ‘Reforms for Resilience: Navigating Uncertainties", SS2026 mengetengahkan perbincangan mengenai isu ekonomi dan kewangan utama, termasuk daya tahan ekonomi, upah, cabaran kos sara hidup, pelaburan, keselamatan tenaga, kewangan Islam dan kos penjagaan kesihatan swasta.

Sementara itu, Abdul Rasheed berkata Malaysia telah meluluskan pelaburan sebanyak RM815 bilion sejak dua tahun lepas, bersamaan dengan hampir separuh daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahunannya, yang boleh mewujudkan hampir 245,000 peluang pekerjaan jika direalisasikan sepenuhnya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Sebahagian besar daripada jumlah itu dijangka merupakan pekerjaan berkemahiran tinggi.

“Bagaimanapun, langkah mewujudkan peluang pekerjaan hanyalah separuh daripada penyelesaiannya. Rakyat Malaysia juga perlu memiliki kemahiran yang diperlukan untuk mengisi pekerjaan tersebut,” katanya, sambil menambah pada masa ini, lebih dua pertiga rakyat Malaysia masih bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah atau sederhana.

Dalam pada itu, katanya Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang menggalakkan apabila bahagian pekerjaan berkemahiran tinggi meningkat daripada 27.5 peratus pada 2019 kepada 30.1 peratus pada 2025.

“Kemajuan ini mungkin dilihat secara berperingkat tetapi perubahan struktur dalam pasaran buruh jarang berlaku dalam tempoh yang singkat. Mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi pada skala besar memerlukan masa,” katanya.

Abdul Rasheed berkata apabila teknologi dan kecerdasan buatan (AI) membentuk semula industri, era hanya mempelajari satu kemahiran dan bergantung padanya sepanjang hayat telah berakhir.

Katanya pekerja perlu diberi peluang untuk meningkatkan kemahiran dan memperoleh kemahiran baharu secara berterusan sepanjang kerjaya mereka.

Acara itu turut menyaksikan pelancaran iTEKAD Employment, program terkini di bawah inisiatif kewangan sosial iTEKAD BNM, yang membantu individu daripada komuniti rentan mendapatkan pekerjaan dan pendapatan yang stabil.

-- BERNAMA