BERITA TERKINI   PRN NS: Undi awal rekod 88.97 peratus setakat 3 petang - SPR | Dari 2020 hingga suku pertama 2026, 90 peratus daripada pelaburan yang diluluskan telah dilaksanakan - Tengku Zafrul | Sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Forest City tumpas, 335 individu termasuk 309 warga China ditahan dengan rampasan RM1 juta - Polis | PRN NS: Sebanyak 86.40 peratus pengundi selesai undi awal setakat 2 petang - SPR | Untung bersih Nestlé Malaysia melonjak 38.3 peratus kepada RM155.02 juta bagi suku kedua manakala perolehan naik 8.7 peratus kepada RM1.81 bilion | 

Sime Darby Property Buat Program Sukuk Hijau Pusat Data RM2.6 Bilion

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Platform New Economy Venture (NEV) Sime Darby Property Bhd, Sime Darby Property NEV (Holdings) Sdn Bhd (SDP NEV) telah melaksanakan program sukuk RM2.6 bilion untuk membiayai pembangunan pusat data bina pajakan selain beberapa aset logistik dan industri.

Sime Darby Property melalui satu kenyataan bersama Asian Development Bank (ADB), Credit Guarantee and Investment Facility (CGIF), Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) dan OCBC Al-Amin Bank Bhd berkata SDP NEV akan menerbitkan sukuk hijau untuk membiayai sebahagian pembangunan pusat data berskala besar di Elmina Business Park, yang akan dibina oleh Sime Darby Property dan dijangka siap menjelang 2027.

"Hasil dari program sukuk itu juga akan digunakan bagi membiayai sebahagian pembangunan gudang pengedaran yang boleh disesuaikan, lengkap dengan sistem penyimpanan dan pengambilan automatik termaju yang terletak di Bandar Elmina," katanya.

Ad Banner

Sukuk hijau yang pertama seumpamanya di dunia untuk pusat data itu, adalah sejajar dengan matlamat ekonomi digital Malaysia yang semakin pesat.

"Menerusi program sukuk ini, Sime Darby Property akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemaju terkemuka dalam infrastruktur digital binaan mengikut kesesuaian berskala besar untuk syarikat teknologi multinasional.

"Inisiatif ini memperkukuh strategi kumpulan dalam mengembangkan pendapatan berulangnya sambil memangkin struktur pembiayaan yang inovatif sebagai salah satu sektor ekonomi yang paling pesat berkembang di Malaysia," katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Maybank IB merupakan penasihat, pengatur utama dan ejen kemudahan program sukuk tersebut, manakala Maybank IB dan OCBC Al-Amin Bank Bhd berkhidmat sebagai pengurus utama bersama dengan CGIF penjamin kewangan untuk tranche yang dijamin.

"Urus niaga itu turut disokong oleh Maybank IB dan ADB bertindak sebagai penasihat penstrukturan kemampanan bersama program sukuk itu, Maybank Islamic Bhd pula sebagai penasihat syariah, OCBC sebagai ejen keselamatan dan MTrustee Bhd sebagai pemegang amanah sukuk," katanya.

Sementara itu, melalui satu kenyataan bersama berasingan, Lagenda Properties Bhd mengumumkan langganan sukuk wakalah sulung berjumlah RM475 juta di bawah program sukuk RM1.5 bilion, dengan Kumpulan AmBank melabur RM400 juta sebagai pelanggan utama, menandakan kemasukan pertama pemaju hartanah itu ke dalam pasaran modal hutang Islam Malaysia.

Syarikat itu berkata program sukuk itu, yang diasaskan melalui anak syarikat milik penuhnya Lagenda Capital Bhd dan dijamin oleh Lagenda Properties, bertujuan untuk mengukuhkan struktur modal serta fleksibiliti kewangan kumpulan untuk menyokong pengembangan jangka panjangnya dalam pembangunan perbandaran mampu milik.

Hasil daripada program itu akan digunakan sebagai tujuan patuh syariah, termasuk pembiayaan dan pembiayaan semula pelaburan, pengambilan tanah, perbelanjaan modal, pembangunan projek rumah mampu milik, keperluan modal kerja, tujuan am korporat termasuk pembiayaan semula pinjaman sedia ada.

Pengarah Urusan Lagenda Properties, Datuk Jimmy Doh berkata program sukuk sulung syarikat itu menandakan satu kejayaan penting dalam mengukuhkan asas modal kumpulan itu kerana ia akan terus mengembangkan pembangunan rumah mampu miliknya di seluruh negara.

"Ia meningkatkan fleksibiliti kewangan kami dengan meluaskan akses kami kepada pasaran modal Islam Malaysia, membolehkan kami menyokong pertumbuhan jangka panjang melalui platform pembiayaan yang lebih pelbagai dan cekap, sambil mengekalkan pengurusan modal yang berdisiplin," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Perbankan Perniagaan Kumpulan AmBank Christopher Yap berkata bank itu berbesar hati untuk menyokong program sukuk sulung Lagenda sebagai pelanggan, pengatur utama bersama, penasihat utama bersama, pengurus utama bersama dan penasihat syariah bersama.

"Pencapaian ini menekankan keyakinan terhadap asas teguh Lagenda dan strategi pertumbuhan jangka panjang. Program tersebut menyediakan platform pembiayaan yang mantap dan fleksibel untuk menyokong pengembangan berterusan kumpulan sambil memperkukuh pengurusan kewangan yang berdisiplin," katanya.

AmInvestment Bank Bhd bertindak sebagai penasihat utama bersama, pengatur utama bersama, pengurus utama bersama dan ejen kemudahan untuk Program Sukuk berkenaan.

 

-- BERNAMA