BERITA TERKINI   Dewan Negara lulus RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 | KKDW sasar harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027 - Ahmad Zahid | PRN NS: Undi awal rekod 88.97 peratus setakat 3 petang - SPR | Dari 2020 hingga suku pertama 2026, 90 peratus daripada pelaburan yang diluluskan telah dilaksanakan - Tengku Zafrul | Sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Forest City tumpas, 335 individu termasuk 309 warga China ditahan dengan rampasan RM1 juta - Polis | 

Rangka Kerja BNM Perlu Berkembang Daripada Bersifat Preskriptif Kepada Kolaboratif - Bekas Timbalan Gabenor

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Rangka kerja penyeliaan Bank Negara Malaysia (BNM) perlu lebih bersifat kolaboratif dan perundingan dengan industri kewangan, termasuk penggunaan sandbox pengawalseliaan yang lebih meluas, kata bekas Timbalan Gabenor BNM Datuk Ooi Sang Kuang. 

Beliau berkata rangka kerja itu, yang merupakan instrumen yang digunakan untuk mengekalkan sistem kewangan yang stabil dan dipercayai, perlu dapat disesuaikan dengan keperluan ekonomi yang mencabar.

Katanya rangka kerja tersebut perlu diubah suai supaya, daripada bersifat preskriptif dengan menetapkan bank mengenai perkara yang perlu dilakukan, ia boleh menjadi lebih bersifat kolaboratif.

Ad Banner

“Kita duduk bersama dan mengenal pasti risikonya. Inilah risiko yang sedang dibincangkan. Mengapa kita tidak mengujinya melalui sandbox? 

“Begitu juga, daripada preskriptif dan arahan, bank-bank di sini akan menyatakan ia adalah arahan, (tetapi) BNM akan mengatakan tidak, ia bukan arahan, ia sebenarnya perundingan,” katanya pada sesi pleno bertajuk “Resilience: Implications for Policy and Practice” pada Sasana Symposium 2026 (SS2026) BNM di sini hari ini. 

Ooi berkata pendekatan semasa, yang telah menjadi rangka kerja penyeliaan berasaskan risiko sejak Krisis Kewangan Asia, perlu memberi lebih penekanan terhadap kerjasama antara pengawal selia dan institusi kewangan dalam mengenal pasti dan mengurus risiko yang berkaitan dengan industri baharu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata walaupun penyeliaan berasaskan risiko telah memberi manfaat kepada Malaysia, mengekalkan pendekatan yang sama tanpa fleksibiliti yang lebih besar boleh mengehadkan pertumbuhan industri baharu yang memerlukan model pembiayaan inovatif.

“Industri pertumbuhan baharu mempunyai profil risiko yang amat berbeza.

“Jika kita terus menerima pakai rangka kerja yang sama, industri ini tidak akan dapat berkembang,” katanya.

Beliau berkata memperkukuh kerjasama antara pengawal selia dan sektor kewangan akan membolehkan institusi kewangan menilai dan mengurus risiko dengan lebih baik selain menyokong agenda transformasi ekonomi dan inovasi Malaysia yang lebih luas.

Bertemakan ‘Reforms for Resilience: Navigating Uncertainties’, SS2026 yang diadakan selama dua hari bermula hari ini mengetengahkan perbincangan mengenai isu ekonomi dan kewangan utama, termasuk daya tahan ekonomi, upah, cabaran kos sara hidup, pelaburan, keselamatan tenaga, kewangan Islam dan kos penjagaan kesihatan swasta.

-- BERNAMA