BERITA TERKINI   Dewan Negara lulus RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 | KKDW sasar harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027 - Ahmad Zahid | PRN NS: Undi awal rekod 88.97 peratus setakat 3 petang - SPR | Dari 2020 hingga suku pertama 2026, 90 peratus daripada pelaburan yang diluluskan telah dilaksanakan - Tengku Zafrul | Sindiket penipuan dalam talian beroperasi di Forest City tumpas, 335 individu termasuk 309 warga China ditahan dengan rampasan RM1 juta - Polis | 

Deruman F1 Kembali Ke Sepang : Pengukur Kebanggaan, Persediaan Malaysia

Oleh Datuk Yong Soo Heong

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Berita pengumuman perlumbaan Formula 1 (F1) akan kembali beraksi ke Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober ini, membangkitkan rasa bangga yang sebegitu mendalam bagi diri saya -- baik sebagai rakyat Malaysia mahupun sebagai peminat tegar sukan permotoran itu sejak sekian lamanya.

Alasannya? Ini disebabkan kita mempunyai sebuah litar yang dibina dengan matlamat, malah disenaraikan antara yang terbaik di dunia tetapi belum dimanfaatkan sepenuhnya sebagai sebahagian daripada kalendar F1 yang semakin popular.

Ad Banner

Justeru, kembalinya deruman itu bukan setakat satu pencapaian permotoran; inilah pernyataan mengenai kemampuan Malaysia.

Turut membanggakan, peranan hebat syarikat minyak dan gas nasional, Petronas sebagai penaja utama pasukan Mercedes‑AMG yang diterajui oleh pelumba Kimi Antonelli dan George Russell.

Sejajar dengan kedudukan pasukan itu menerajui Kejuaraan Pengeluar dan ranking pelumba, Petronas menikmati manfaat dari segi ketampakan atau pendedahan, kepercayaan serta reputasi jenama di persada global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Inilah penjajaran luar biasa antara kebanggaan nasional serta prestij korporat.

 

Tuan Rumah F1 Bukan Beban Tapi Peluang

Ironinya, kurang 48 jam selepas pengumuman itu, muncul suara-suara sumbang mempersoalkan elemen kos, penjenamaan serta lontaran kata-kata kelemahan dari sudut pandang mereka.

Terlintas di hati saya, di manakah rasa bangga dan patriotik kita? Kesempatan menjadi tuan rumah F1 bukannya bebanan sebaliknya satu peluang.

Kesempatan untuk memaparkan infrastruktur, hospitaliti dan kecemerlangan organisasi Malaysia kepada dunia.

Pastinya, dari titik ini dan seterusnya, pelaksanaan di setiap peringkat perlulah serba sempurna.

Setiap sektor awam dan swasta perlu sama-sama terbabit dan bergerak seiringan sebagai satu pasukan bagi memenuhi tuntutan piawaian global yang ditetapkan oleh penganjuran acara berprestij seperti F1.

Dalam pada itu, aspek keselamatan, urusan imigresen, pelepasan kastam dan penyelarasan penerbangan perlu berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Pada masa sama, sektor hospitaliti, makanan dan minuman (F&B) serta industri hiburan perlu menyahut cabaran ini dengan menawarkan pengalaman bertaraf dunia agar minggu menjelang 4 Oktober menjadi sebuah pesta antarabangsa yang meriah di serata Greater Kuala Lumpur.

 

Pengurusan Trafik Perlu Lancar

Lebih menarik lagi, peluang itu bertepatan dan serentak dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menjanjikan potensi penjanaan hasil lebih meluas.

Kesemua ini mengimbau pengalaman saya menghadiri Grand Prix Perancis di Magny‑Cours pada 1997.

Saya amat kagum kecekapan polis Perancis dalam mengendalikan aliran trafik secara lancar.

Walaupun jalan raya kawasan wilayah serba sempit dan berliku, mereka dapat mengendalikan pergerakan ribuan kenderaan dalam tempoh kurang sejam.

Senario sedemikian seharusnya dicontohi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) : pengurusan trafik mesti cekap, lancar dan bertaraf dunia.

Walaupun F1 terkenal dengan hospitaliti ultra mewah untuk kalangan tetamu berstatus premium, Litar Antarabangsa Sepang juga perlu memastikan aspek keterangkuman tidak dipinggirkan.

 

Perlu Ketengah Peluang Untuk Usahawan F&B  

Dalam pada itu, tidak harus ada sebarang peraturan bercirikan ‘monopoli’ yang menghalang penyertaan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor makanan dan minuman (F&B).

Kesempatan itu adalah peluang bagi membolehkan kepelbagaian budaya makanan Malaysia untuk menyerlah dan sajian yang seiring dengan hidangan bertaraf antarabangsa.

Sudah pasti, pada masa sama, perkara asas jangan diketepikan -- kemudahan tandas mesti dalam keadaan bersih, selesa dan berfungsi dengan baik selewat-lewatnya menjelang Hari Malaysia dan bukan hanya siap pada 1 Oktober.

Aspek perincian sedemikian amat penting; ini mempengaruhi pengalaman pengunjung yang tidak hanya ditentukan oleh aksi di litar, tetapi juga kualiti kemudahan dan perkhidmatan yang dinikmati sepanjang berada di Sepang.

Sehubungan itu, kembalinya F1 ke Sepang itu lebih daripada sekadar satu acara sukan. Ini menguji atau menjadi pentas mengukur rasa bangga, kesiapsiagaan serta profesinalisme Malaysia.

Ini peluang untuk membuktikan kita mampu menjadi tuan rumah acara bertaraf dunia dengan kecekapan, lancar serta terangkum.

 

Deruman Enjin Di Sepang Perlu Gah, Sepadan Semangat Negara

Tidak dinafikan, pengkritik akan terus ada, namun tanggungjawab lebih besar terletak pada kita -- kemampuan untuk bangkit lebih tinggi daripada kecaman dan merealisasikan sebuah acara yang menjadi paparan reputasi Malaysia.

Jika kita berjaya, manfaatnya pasti berlipat ganda dan melimpah melangkaui kibaran bendera petak penamat acara itu sendiri.

Pelancongan berkembang, Petronas lebih berjaya dan Malaysia mengukuhkan semula kedudukan di peta dunia sebagai destinasi penganjur acara sukan bertaraf dunia.

Apa yang pasti, pada Oktober ini, deruman enjin di Sepang bukan setakat menggegarkan litar, malah perlu diiringi dengan laungan semangat kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

-- BERNAMA

 

Datuk Yong Soo Heong merupakan mantan Ketua Pengarang dan Ketua Pegawai Eksekutif (sebelum ini dikenali sebagai Pengurus Besar) Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) dan berkhidmat selama 40 tahun sehingga bersara pada 2014.