OECD Kekal Unjuran Pertumbuhan Ekonomi Malaysia 2026 Pada Lima Peratus
PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) mengunjurkan ekonomi Malaysia mencatat pertumbuhan kukuh secara purata pada kira-kira lima peratus untuk tahun ini dan 2027 meskipun berdepan ketidaktentuan global.
Pengarah Kajian Negara OECD Dr Luiz de Mello berkata dalam persekitaran pergerakan aktiviti ekonomi Malaysia yang mengalami turun naiknya, senario asas organisasi itu kekal positif.
“Malaysia menunjukkan daya tahan ekonomi yang tinggi sejak sekian lama, dan meskipun berhadapan kadar pertumbuhan yang turun naik, unjuran kami kekal pada sekitar lima peratus secara purata bagi tahun ini dan tahun depan.
"Dunia kini diselubungi dengan ketidaktentuan. Konflik di Asia Barat masih berlarutan, manakala hala tuju dasar di banyak negara juga tidak menentu. Keadaan ini menjadikan persekitaran ekonomi global juga penuh dengan ketidakpastian," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Tinjauan Ekonomi Malaysia OECD di sini hari ini.
De Mello berkata sebagai sebuah ekonomi yang sangat terbuka dan bersepadu dalam rantaian nilai global, Malaysia tidak terkecuali daripada menerima tempias daripada sebarang krisis yang berlaku di negara lain.
Mengulas mengenai subsidi bahan api, beliau berkata langkah mengurangkan kuota subsidi bahan api daripada 300 liter kepada 200 liter adalah tepat, kerana dapat mengurangkan perbelanjaan subsidi serta mengukuhkan kedudukan kewangan kerajaan.
"Langkah ini melindungi kewangan awam kerana perbelanjaan kerajaan bagi subsidi menjadi lebih rendah," katanya.
Beliau berkata Malaysia juga wajar beralih secara berperingkat daripada subsidi bersifat menyeluruh kepada bantuan yang lebih bersasar menerusi pemindahan tunai secara langsung kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
Pendekatan itu, katanya, akan memastikan bantuan disalurkan kepada isi rumah yang benar-benar tidak mampu menampung peningkatan kos sara hidup, berbanding mengekalkan subsidi menyeluruh yang kurang berkesan dari segi penyasaran.
"Malaysia dilihat berupaya untuk melaksanakan pendekatan itu kerana negara ini memiliki pangkalan data yang kukuh mengenai ciri sosioekonomi isi rumah dan penduduk secara keseluruhan yang boleh dimanfaatkan bagi mencapai matlamat tersebut.
"Kita melihat banyak negara yang beralih kepada pendekatan ini bukan sahaja berjaya mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan mengukuhkan kedudukan fiskal, malah mewujudkan insentif yang lebih berkesan untuk mempercepat peralihan daripada penggunaan bahan api fosil dengan cara yang lebih efisien kepada kerajaan dan masyarakat," katanya.
Mengenai inflasi Malaysia, De Mello berkata OECD mengesyorkan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk terus mengekalkan pendirian dasar monetari yang berpandukan data.
"Dalam tinjauan ini, kami mengesyorkan bank pusat terus mengamalkan pendirian dasar yang berpandukan kepada data semasa serta bertindak balas sewajarnya terhadap perubahan prospek inflasi supaya inflasi dapat terus berada pada landasan menurun seperti yang dijangkakan dalam senario asas kami," katanya.
Sementara itu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata Malaysia telah menjamin bekalan bahan api sehingga penghujung tahun meskipun konflik membabitkan Selat Hormuz masih berterusan.
“Setakat ini, konflik di Selat Hormuz masih belum menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Semakin lama konflik itu berlarutan, semakin besar kesannya terhadap struktur rantaian bekalan serta tahap kebergantungan kita kepada rantau Timur Tengah.
“Namun, menerusi langkah mitigasi yang dilaksanakan, Malaysia telah berjaya menjamin bekalan bahan api sehingga penghujung tahun. Dalam hal ini, kita telah memperoleh sumber bekalan alternatif, katanya.
Menurut Akmal Nasrullah, bagi tempoh akan datang, kerajaan turut memperkenalkan beberapa mekanisme intervensi bagi memperkukuh daya tahan negara seperti penggunaan biodiesel yang ditingkatkan daripada campuran B10 kepada B15 dalam tempoh dua bulan.
"Kerajaan akan terus berwaspada dan menilai keperluan untuk melaksanakan sebarang langkah intervensi bagi memastikan bekalan kekal mampan, di samping memastikan aktiviti ekonomi negara dapat diteruskan," katanya.
-- BERNAMA