BERITA TERKINI   PRN NS : Semua 38 pusat mengundi awal ditutup tepat 5 petang ini | Dewan Negara lulus RUU Kawalan Padi dan Beras (Pindaan) 2026 | KKDW sasar harga minimum getah RM5 sekilogram menjelang akhir 2027 - Ahmad Zahid | PRN NS: Undi awal rekod 88.97 peratus setakat 3 petang - SPR | Dari 2020 hingga suku pertama 2026, 90 peratus daripada pelaburan yang diluluskan telah dilaksanakan - Tengku Zafrul | 

Malaysia Perlu Momentum Pembaharuan Baharu Perkukuh Fiskal, Lonjak Produktiviti - OECD

PUTRAJAYA, 28 Julai (Bernama) -- Malaysia memerlukan momentum pembaharuan baharu untuk memperkukuh kemampanan fiskal, melonjakkan produktiviti dan menambah baik pendidikan bagi mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang teguh dan berdaya tahan, menurut Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).

Dalam Tinjauan Ekonomi OECD bagi Malaysia terkini, pertubuhan itu menjelaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, selepas berkembang 5.2 peratus tahun kepas, diunjurkan sedikit sederhana kepada 4.9 peratus tahun ini dan 5.0 peratus pada 2027 susulan risiko penurunan daripada ketegangan perdagangan, harga komoditi lebih tinggi dan permintaan global yang lemah.

Inflasi diunjurkan meningkat kepada 2.1 peratus pada 2026 dan 2.3 peratus pada 2027 daripada 1.4 peratus pada 2025.

Ad Banner

Pengarah Kajian Negara OECD Dr Luiz de Mello, yang membentangkan tinjauan itu bersama-sama Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir di sini pada Selasa, berkata kemajuan ekonomi Malaysia yang kukuh membantu meningkatkan pendapatan per kapita dengan lebih pantas berbanding kebanyakan negara serantau.

“Kemajuan ekonomi Malaysia yang teguh membantu meningkatkan pendapatan per kapita lebih cepat berbanding kebanyakan negara serantaunya.

“Bagi mengekalkan pertumbuhan yang tinggi dan berdaya tahan, Malaysia boleh mengoptimumkan perbelanjaan awam dan hasil, melonjakkan produktiviti menerusi peraturan yang lebih mesra persaingan, di samping menambah baik hasil pembelajaran pada semua peringkat sistem pendidikan,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut laporan itu, pengukuhan kemampanan fiskal diperlukan untuk membantu mengekang hutang awam manakala langkah beralih daripada subsidi tenaga yang besar kepada pemindahan lebih bersasar akan mendorong penggunaan sumber awam secara lebih cekap.

Pembaharuan sistem cukai termasuk memperkenalkan semula cukai penggunaan meluas dan melebarkan asas cukai pendapatan individu, akan menggerakkan hasil tambahan, jelas laporan itu.

Menurut tinjauan itu, liputan pencen sosial berdasarkan penilaian kemampuan yang lebih luas akan mengukuhkan jaringan keselamatan sosial dan mengatasi cabaran sosial yang dijangka bertambah buruk apabila penduduk meningkat usia.

OECD memaklumkan langkah pelonggaran halangan kemasukan, termasuk had ekuiti asing dan keperluan yang membebankan perkhidmatan digital rentas sempadan, akan memacu peningkatan produktiviti.

Langkah sedemikian boleh mengukuhkan lagi peranan Malaysia dalam rantaian bekalan global di samping memupuk pemindahan pengetahuan dan inovasi dalam ekonomi digital, tambah pertubuhan itu.

Laporan itu juga menjelaskan usaha mewujudkan persaingan yang lebih adil antara syarikat milik negara dan firma swasta serta memansuhkan kawalan harga secara berperingkat untuk sokongan bersasar, akan meningkatkan persaingan.

Menurut OECD dari segi pendidikan pula, pembaharuan komprehensif diperlukan bagi semua peringkat sistem pendidikan.

Pendidikan prasekolah percuma dan wajib bagi kanak-kanak berumur tiga dan empat tahun akan meletakkan asas untuk kejayaan masa depan, manakala langkah menambah insentif prestasi guru di samping autonomi dan akauntabiliti sekolah yang lebih besar akan meningkatkan kualiti pendidikan rendah dan menengah, jelasnya.

Penjajaran kurikulum pendidikan tinggi dengan keperluan pasaran tenaga kerja akan membantu menangani isu ketakpadanan kemahiran.

Mengenai daya tahan iklim, Malaysia menghadapi bahaya berkaitan iklim yang ketara, termasuk peningkatan kekerapan dan keadaan banjir yang lebih besar, jelas tinjauan itu.

Menurutnya, pelaksanaan strategi penyesuaian perubahan iklim yang koheren, menambah baik pengumpulan data mengenai risiko iklim dan meluaskan perlindungan insurans dengan meliputi bahaya semula jadi akan mengukuhkan daya tahan kewangan isi rumah dan perniagaan.

OECD memaklumkan peralihan daripada subsidi bahan api fosil kepada penetapan harga karbon, di samping mempercepat pelaburan dalam tenaga boleh baharu akan membantu mengurangkan pelepasan karbon.

-- BERNAMA