Korean Air Sasar Perluas Operasi Di Malaysia Selepas Integrasi Bersama Asiana Airlines
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Perancangan integrasi di antara Korean Air dengan Asiana Airlines dijangka memperkukuh ketersambungan rangkaian bagi penumpang Malaysia yang melakukan transit melalui Terminal 2 khusus untuk Korean Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Seoul, Korea Selatan.
Asiana Airlines merupakan syarikat penerbangan Korea Selatan yang beribu pejabat di Seoul.
Pengurus Serantau Korean Air bagi Malaysia, Brunei dan Bangladesh Kang Sang Bum berkata syarikat penerbangan itu kini sedang meneliti perancangan jangka panjang bagi mengembangkan pasaran mereka di Malaysia.
Katanya, pasca penggabungan itu nanti merangkumi penggunaan pesawat yang lebih besar, pertambahan kekerapan penerbangan serta kemungkinan melancarkan laluan baharu ke Pulau Pinang.
Beliau memberitahu, kedua-dua syarikat penerbangan itu akan digabungkan menjadi sebuah syarikat penerbangan tunggal yang bersepadu bermula 17 Dis, 2026 dan beroperasi di bawah jenama Korean Air.
"Kami sedang meneliti pilihan pelan pengembangan jangka panjang bagi laluan Kuala Lumpur-Incheon merangkumi langkah menaik taraf saiz pesawat serta menambah kekerapan penerbangan.
"Bagaimanapun, keputusan itu tertakluk kepada penilaian permintaan pasaran selain perlu mendepani cabaran semasa berkaitan jadual penghantaran pesawat baharu," katanya dalam satu sesi taklimat bersama media di sini hari ini.
Bermula dengan jadual musim sejuk akan datang, beliau berkata penumpang yang melakukan perjalanan dari Kuala Lumpur akan menikmati masa transit yang lebih singkat ke destinasi utama di Amerika Utara dengan masa sambungan minimum dikurangkan kepada satu jam lima minit untuk ke Los Angeles dan satu jam 35 minit ke New York.
Beliau menambah rangkaian gabungan itu juga akan menyediakan akses yang lebih luas kepada rakyat Malaysia ke destinasi yang sebelum ini ditawarkan oleh Asiana Airlines terutamanya di Jepun dan Amerika Utara.
Kang berkata syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan ke lebih 15 bandar di Jepun sekali gus membolehkan rakyat Malaysia mengunjungi destinasi yang lebih kecil di Jepun dan tidak mempunyai akses penerbangan terus dari Kuala Lumpur.
Susulan integrasi pada Disember itu nanti, beliau berkata penumpang yang melakukan transit dari Malaysia akan mendapat akses yang lebih luas ke seluruh Asia Timur termasuk pilihan sambungan pada hari yang sama ke destinasi wilayah Jepun yang sebelum ini dikendalikan oleh Asiana Airlines seperti Sendai dan Miyazaki.
Peningkatan penumpang dan operasi kargo
Korean Air kini mengendalikan penerbangan penumpang harian di antara Kuala Lumpur dengan Seoul manakala bahagian kargonya menyediakan perkhidmatan ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.
Kang berkata laluan Kuala Lumpur-Seoul mencatatkan purata muatan penumpang sekitar 86 peratus pada separuh pertama 2026, meningkat daripada kira-kira 76 peratus dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Syarikat penerbangan itu membawa 86,507 penumpang bagi laluan Kuala Lumpur-Seoul manakala trafik dari Malaysia ke Seoul mencatatkan 27,222 penumpang, meningkat 34 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Menurut beliau, prestasi memberangsangkan itu didorong oleh permintaan pasaran yang semakin kukuh, khususnya melibatkan kumpulan penumpang yang menggunakan Incheon sebagai hab transit untuk meneruskan perjalanan ke Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun.
Dalam mendepani aliran pergerakan trafik jangka panjang serta keperluan kargo dalam sektor ini, syarikat penerbangan itu kini terus memantau situasi pasaran semasa bagi menilai sebarang pelarasan terhadap penawaran bekalan pada masa hadapan.
"Selepas integrasi bersama Asiana Airlines, kami menjangkakan untuk mula menempatkan pesawat yang lebih besar dan selepas itu kami boleh meningkatkan kekerapan penerbangan, namun kami masih meneliti perkara ini," katanya.
Syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan ke 116 buah bandar di 39 buah negara merentasi lima benua dengan kekuatan aset penerbangan sebanyak 165 buah pesawat termasuk 23 buah pesawat kargo yang meliputi 45 buah bandar di 26 buah negara.
Sementara itu, Pengurus Besar Korean Air bagi Cawangan Kargo Kuala Lumpur Lee Man Seok berkata Malaysia terutamanya Pulau Pinang menjadi pasaran yang semakin penting disebabkan oleh industri pembuatan semikonduktor dan teknologi tinggi yang semakin berkembang pesat.
Beliau memaklumkan syarikat penerbangan itu meningkatkan kapasiti kargo dengan mengendalikan perkhidmatan pesawat kargo harian ke Pulau Pinang selepas menambah penerbangan tambahan pada Julai bagi memenuhi permintaan yang meningkat dalam kalangan pengeksport elektronik.
Lee berkata Korean Air membina kepakaran yang kukuh dalam pengangkutan kargo bernilai tinggi dan sensitif suhu termasuk semikonduktor sekali gus menjadikan Malaysia sebuah pasaran kargo yang strategik dalam rangkaian globalnya.
Konflik Asia Barat dan Impaknya
Sementara itu, syarikat penerbangan berkenaan menjelaskan ketegangan geopolitik di Asia Barat mengubah corak perjalanan buat sementara waktu dengan syarikat penerbangan itu merekodkan peningkatan tempahan bagi beberapa laluan jarak jauh berikutan tindakan penumpang mencari hab alternatif berbanding hab di Asia Barat.
Menurut Kang, syarikat penerbangan berkenaan menyaksikan lonjakan tempahan melibatkan penumpang dari Australia, New Zealand serta beberapa rantau di Asia pada fasa awal konflik berkenaan meletus.
Lonjakan tempahan itu berlaku susulan kecenderungan sebahagian pengembara untuk mengelak daripada melakukan transit menerusi kawasan bergolak berkenaan.
"Kami melihat peningkatan dalam tempahan sepanjang tempoh dua hingga tiga bulan pertama selepas konflik itu meletus. Bagaimanapun, permintaan kembali normal sejak beberapa minggu kebelakangan ini," katanya.
Mengenai kos bahan api, beliau berkata syarikat penerbangan itu mengekalkan bekalan bahan api yang stabil dengan mempelbagaikan saluran perolehan serta mengekalkan rizab bahan api strategik sekali gus membantu mengurangkan impak ketidaktentuan harga minyak akibat konflik berkenaan.
Korean Air beroperasi di pasaran Malaysia selama lebih empat dekad sejak melancarkan perkhidmatan sulungnya ke Kuala Lumpur pada 1984.
-- BERNAMA