Bursa Malaysia Ditutup Rendah Sedikit Susulan Pelabur Berwaspada Menjelang Mesyuarat Fed
Oleh Zufazlin Baharuddin and Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit pada Selasa apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang mesyuarat dasar Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed AS) serta pengumuman keputusan kewangan syarikat teknologi utama AS.
Pada 5 petang, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.61 mata atau 0.04 peratus kepada 1,712.48 berbanding paras 1,713.09 ketika ditutup pada Isnin.
Indeks utama itu dibuka 1.14 mata lebih rendah kepada 1,711.95 dan bergerak antara paras 1,703.83 hingga 1,715.02 sepanjang sesi dagangan.
Sentimen pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 717 berbanding 348, manakala 536 kaunter tidak berubah, 1,179 tidak diniagakan dan 36 kaunter digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 2.94 bilion unit bernilai RM2.56 bilion berbanding 2.86 bilion unit bernilai RM2.24 bilion pada Isnin.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata aktiviti dagangan kekal sederhana apabila pelabur menunggu gambaran lebih jelas mengenai hala tuju kadar faedah Fed serta sama ada prestasi suku kedua sektor teknologi mampu mengekalkan momentum kenaikan yang dipacu kecerdasan buatan (AI) global.
Antara syarikat teknologi yang menjadi tumpuan termasuk Meta Platforms Inc, Microsoft Corporation, Amazon.com Inc dan Apple Inc.
"Meskipun harga minyak mentah Brent susut lebih dua peratus berikutan kebimbangan terhadap geopolitik semakin reda serta jangkaan pemulihan bekalan, ia gagal meningkatkan sentimen pasaran apabila pelabur memilih untuk kekal di luar pasaran," katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata minat belian agak suram hari ini sejajar dengan prestasi lemah pasaran serantau apabila pelabur menilai semula prospek pelaburan AI.
"Kebimbangan itu meningkat selepas laporan mendakwa komitmen pembiayaan AI Nvidia melebihi US$750 bilion, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada permintaan AI mampu mengimbangi rancangan perbelanjaan agresif industri.
"Berita itu mencetuskan jualan besar-besaran terhadap saham semikonduktor global, sekali gus memberi tekanan kepada sentimen pasaran keseluruhan di rantau ini," katanya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, CIMB susut empat sen kepada RM7.76, manakala Public Bank meningkat satu sen kepada RM5.19. Tenaga Nasional menambah 20 sen kepada RM14.66, sementara Maybank dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM10.90 dan RM8.34.
Bagi saham aktif, VS Industry susut satu sen kepada 22 sen, SNS Network Technology dan Dagang Nexchange masing-masing turun dua sen kepada 54 sen dan 43 sen. Tanco pula meningkat 1.5 sen kepada 26 sen, manakala Zentrix AI naik setengah sen kepada 69 sen.
Dalam kalangan kaunter untung utama, Nestle meningkat RM2.36 kepada RM93.66, Ideal Capital melonjak 25 sen kepada RM4, KLCC Property dan REITs menambah 15 sen kepada RM8.84, Hong Leong Bank naik 20 sen kepada RM22.30, manakala Dutch Lady Milk Industries meningkat 18 sen kepada RM32.
Malaysian Pacific Industries mengetuai senarai kaunter rugi apabila susut RM2.06 kepada RM44, diikuti UMS Integration yang turun 68 sen kepada RM7.22, Fraser & Neave susut 34 sen kepada RM27.50, Kelington merosot 31 sen kepada RM7.90 dan Allianz turun 30 sen kepada RM21.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 21.46 mata kepada 12,641.72, Indeks FBMT 100 turun 15.28 mata kepada 12,476.39, Indeks FBM Mid 70 berkurangan 68.16 mata kepada 17,901.86, Indeks FBM Emas Syariah turun 29.33 mata kepada 12,457.53 dan Indeks FBM ACE susut 32.58 mata kepada 4,866.29.
Mengikut sektor, Indeks Tenaga susut 5.92 mata kepada 763.42, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun 1.37 mata kepada 185.47, manakala Indeks Perladangan berkurangan 52.92 mata kepada 9,231.59.
Bagaimanapun, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 13.79 mata kepada 20,254.46.
Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 1.51 bilion unit bernilai RM2.27 bilion berbanding 1.53 bilion unit bernilai RM1.96 bilion pada Isnin.
Jumlah dagangan waran meningkat kepada 978.15 juta unit bernilai RM126.23 juta berbanding 868.06 juta unit bernilai RM144.18 juta sebelumnya.
Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 452.85 juta unit bernilai RM159.81 juta daripada 461.04 juta unit bernilai RM157.34 juta pada Isnin.
Kaunter produk pengguna dan perkhidmatan menyumbang sebanyak 121.07 juta saham di Pasaran Utama, diikuti produk perindustrian dan perkhidmatan (365.30 juta), pembinaan (78.52 juta), teknologi (350.11 juta), perkhidmatan kewangan (70.75 juta), hartanah (204.60 juta), perladangan (23.02 juta), amanah pelaburan hartanah (27.68 juta), dana tertutup (188,100), tenaga (101.63 juta), penjagaan kesihatan (69.40 juta), telekomunikasi dan media (20.76 juta), pengangkutan dan logistik (53.95 juta), utiliti (23.49 juta) serta amanah perniagaan (196,100).
-- BERNAMA