Delta Electronics Perluas Kehadiran Di Malaysia, Buka Pejabat Baharu Di Johor Bahru
JOHOR BAHRU, 28 Julai (Bernama) -- Delta Electronics, syarikat penyedia penyelesaian pengurusan kuasa dan teknologi hijau pintar dari Taiwan, memperkukuh kehadirannya di Malaysia menerusi pembukaan pejabat baharu di Southern Industrial and Logistics Clusters (SiLC), Iskandar Puteri, Johor Bahru.
Langkah itu dijangka memperkukuh sokongan syarikat kepada pelanggan dan rakan kongsi susulan peningkatan pelaburan dalam sektor pusat data, pembuatan termaju serta infrastruktur digital, selain melengkapi operasi sedia ada di Petaling Jaya dan Pulau Pinang.
Pembukaan pejabat baharu itu turut meletakkan Delta Electronics pada kedudukan strategik dalam koridor ekonomi Johor-Singapura yang berkembang pesat.
Pengurus Negara Delta Electronics Malaysia, Eng Yong Ch'ng, berkata peluasan operasi itu mencerminkan komitmen jangka panjang syarikat terhadap Malaysia, selain memperkukuh peranan Delta dalam menyokong transformasi negara yang dipacu kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital dan pembuatan termaju.
"Malaysia kini memasuki fasa pertumbuhan baharu apabila AI, infrastruktur digital dan pembuatan termaju membentuk semula landskap perindustrian negara.
"Apabila organisasi meningkatkan pelaburan dalam bidang ini, tumpuan bukan lagi sekadar memperluas kapasiti, tetapi membangunkan infrastruktur yang berdaya tahan, cekap tenaga dan mampu memenuhi keperluan masa hadapan.
"Pejabat baharu kami di Johor Bahru memperkukuh keupayaan untuk menyokong pelanggan dan rakan kongsi ketika mereka mempercepat transformasi ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Peluasan itu dibuat ketika Malaysia terus menarik pelaburan dalam sektor pusat data, pembuatan termaju dan infrastruktur digital, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap sistem berdaya tahan dan cekap tenaga bagi menyokong keperluan kuasa yang lebih tinggi, automasi lebih meluas serta operasi berasaskan AI yang semakin berkembang.
Portfolio bersepadu Delta merangkumi pengurusan kuasa, sistem penyejukan, automasi serta penyelesaian infrastruktur digital bagi membantu organisasi menangani peningkatan keperluan teknologi dan tenaga dalam sektor berkenaan.
Sebagai sebahagian daripada komitmennya terhadap ekonomi digital Malaysia, Delta memaklumkan syarikat itu akan menganjurkan forum Delta Future Forward 2026 di Kuala Lumpur pada 30 Julai, yang menghimpunkan pemain industri bagi membincangkan infrastruktur dan ekosistem diperlukan untuk menyokong fasa pertumbuhan dipacu AI seterusnya.
Bertemakan "Membina masa depan berdaya tahan dan cekap tenaga", forum itu akan memberi tumpuan kepada infrastruktur kritikal bagi pertumbuhan AI jangka panjang termasuk infrastruktur kuasa berdaya tahan, teknologi penyejukan termaju, pembuatan pintar serta rantaian bekalan kukuh.
Presiden Delta Electronics bagi Asia Tenggara, Australia dan New Zealand, Jason Yuan, berkata peningkatan pelaburan Malaysia dalam AI dan infrastruktur digital membuka peluang baharu kepada organisasi merentasi pelbagai industri.
"Di Delta, kami percaya kejayaan jangka panjang bergantung kepada bagaimana kuasa, penyejukan, automasi dan keupayaan pembuatan digabungkan sebagai satu ekosistem bersepadu.
"Melalui Delta Future Forward 2026, kami berharap dapat menghimpunkan pemimpin industri untuk bertukar pandangan, menggalakkan kerjasama serta membantu pelanggan membangunkan infrastruktur masa depan yang berdaya tahan dan cekap tenaga," katanya.
Forum itu turut membincangkan keperluan menyokong pertumbuhan AI berskala besar, termasuk infrastruktur pusat data, kecekapan tenaga, pembuatan termaju, daya tahan rantaian bekalan serta ekosistem lebih luas bagi memperkukuh kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai AI serantau.
Peserta turut berpeluang menyaksikan demonstrasi pusat data AI, sistem tenaga mikrogrid ke pusat data serta teknologi pembuatan pintar yang menunjukkan aplikasi penyelesaian berkenaan dalam persekitaran sebenar, kata kumpulan itu.
-- BERNAMA