BERITA TERKINI   Glasgow 2026: Izzat Shameer Dzulkeple raih pingat perak acara perseorangan lelaki boling padang | PRN NS: Undi awal rekod 91.06 peratus, lepasi sasaran ditetapkan - SPR | Glasgow 2026: Aleena Ahmad Nawawi-Syafiqa Haidar Afif Abdul Rahman raih perak acara pairs wanita boling padang | Glasgow 2026: Atlet angkat berat Muhammad Hafizuddin Roslin sumbang emas keempat Malaysia menerusi kategori 88 kg lelaki | PRN NS : Semua 38 pusat mengundi awal ditutup tepat 5 petang ini | 

Penguasa Kewangan Singapura Catat Untung Bersih S$20 Bilion Bagi Tahun Kewangan 2025/26

Oleh Anas Abu Hassan

SINGAPURA, 28 Julai (Bernama) -- Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mencatat keuntungan bersih sebanyak S$20.0 bilion (S$1=RM3.16) bagi tahun kewangan 2025/26 yang berakhir 31 Mac, 2026, dipacu oleh keuntungan pelaburan yang kukuh.

Dalam laporan tahunan yang dikeluarkan pada Selasa, MAS menyatakan pihaknya mencatat keuntungan pelaburan sebanyak S$39.8 bilion daripada pengurusan pelaburan asing.

Ad Banner

Keuntungan itu sebahagiannya diimbangi oleh impak terjemahan mata wang negatif sebanyak S$16.4 bilion daripada dolar Singapura yang lebih kukuh; kos bersih daripada operasi pasaran wang untuk mengurus mudah tunai sistem perbankan dan perbelanjaan lain sebanyak S$2.4 bilion; serta sumbangan kepada Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan sebanyak S$1.0 bilion.

Pengarah Urusan MAS, Chia Der Jiun berkata keuntungan pelaburan adalah kukuh apabila ekonomi global kekal berdaya tahan terhadap kejutan berulang manakala pasaran kewangan merekodkan prestasi yang baik.

“Semua kelas aset merentas bon dan ekuiti, pasaran maju dan yang sedang pesat membangun, mencatat pulangan yang baik.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Walaupun keuntungan pelaburan berbeza dari tahun ke tahun, hasil tahun ini adalah serupa dengan tahun lepas dan melebihi purata 10 tahun sebelum ini pada S$18.3 bilion," katanya dalam sidang media pada Selasa.

Beliau berkata prospek kekal tidak menentu susulan gangguan pasaran tenaga yang berterusan, peningkatan inflasi dan penilaian pasaran ekuiti tinggi yang menimbulkan risiko kepada pulangan pelaburan masa depan.

Chia berkata kesan terjemahan mata wang yang negatif sebanyak S$16.4 bilion disebabkan terutama oleh pengukuhan dolar Singapura berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan yen Jepun.

“Dolar Singapura yang lebih kukuh membantu mengurangkan kesan inflasi yang diimport, sekali gus mengakibatkan kesan terjemahan mata wang yang negatif.

"Kesan sedemikian timbul apabila rizab asing rasmi MAS, yang dipegang dalam mata wang asing, dilaporkan dalam dolar Singapura," katanya.

Chia berkata MAS akan menyumbang S$1.0 bilion kepada Kumpulan Wang Disatukan, dan memulangkan lagi S$2.5 bilion keuntungan bersihnya kepada kerajaan.

MAS mengekalkan portfolio rizab asing rasmi global yang pelbagai dan cair untuk menyokong fungsinya sebagai bank pusat.

“Prestasi kewangan MAS mencerminkan prestasi pasaran aset global selepas mengambil kira kos operasi pasaran wang dan kesan terjemahan mata wang negatif daripada dolar Singapura yang lebih kukuh,” katanya.

-- BERNAMA