Malaysia Berada Pada Kedudukan Baik Untuk Tarik Aliran Pelaburan Pasif
Oleh Karina Imran & Danni Haizal Danial Donald
KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Malaysia berpotensi menarik lebih banyak aliran masuk pelaburan pasif susulan peralihan global ke arah strategi pelaburan itu, sekiranya pelaksanaan dasar dan reformasi diteruskan secara konsisten, menurut peserta Simposium Sasana 2026.
Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Mohamad Hafiz Kassim berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pelaburan pasif telah mengatasi pelaburan aktif di peringkat global, sekali gus menandakan perubahan asas dalam landskap pengurusan aset yang semakin memanfaatkan pasaran seperti Malaysia.
"Malaysia mencatat prestasi yang mengatasi jangkaan dalam pelbagai indeks pendapatan tetap, sekali gus mendorong lebih banyak modal diperuntukkan kepada pasaran pendapatan tetap negara.
"Keadaan ini amat memberangsangkan memandangkan perbezaan kadar faedah dan hasil antara Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dengan bon Perbendaharaan Amerika Syarikat (US Treasuries), di samping ringgit kekal stabil," katanya pada sesi pleno bertajuk 'Ringgit and Financial Market: Perspective on Current Trends' sempena Simposium Sasana 2026 hari ini.
Pendapatan dan aliran tunai daripada pelaburan pasif lazimnya dijana menerusi instrumen seperti bon, deposit tetap dan akaun pengurusan tunai, yang secara umumnya hanya memerlukan campur tangan minimum selepas pelaburan dibuat.
Sebaliknya, pendapatan dan aliran tunai daripada pelaburan aktif diperoleh menerusi pelaburan yang memerlukan pemantauan berterusan serta keputusan pelaburan yang kerap, seperti dagangan saham, pengurusan portfolio dan strategi lain yang bergantung pada analisis pasaran serta keputusan membeli atau menjual pada masa yang sesuai.
Senada dengan Mohamad Hafiz mengenai potensi aliran pelaburan pasif, Ketua Pegawai Eksekutif Perbendaharaan Korporat dan Perbankan Borong Kumpulan CIMB Chu Kok Wei berkata perkembangan geopolitik mutakhir, khususnya ketegangan di Asia Barat, turut membuka peluang kepada Malaysia.
"Sebahagian pesaing dalam indeks pasaran sedang pesat membangun (EM) ketika ini tidak mencatat prestasi yang memberangsangkan. Di Asia, khususnya Asia Selatan, keadaan ini membuka ruang kepada Malaysia untuk memperkukuh kedudukannya, sekali gus berpotensi menarik lebih banyak aliran dana antarabangsa yang stabil, terutama daripada dana pelaburan pasif.
"Perkara ini perlu ditangani bukan sahaja dari perspektif aliran kewangan, malah yang lebih penting ialah asas ekonomi negara," katanya sambil menambah pelaksanaan dasar kerajaan secara berkesan dan konsisten menjadi faktor utama dalam merealisasikan potensi itu.
Dari segi dasar, Pengarah Kanan merangkap Ketua Ahli Ekonomi ASEAN HSBC Yun Liu berkata Malaysia terus meraih manfaat daripada strategi 'China Plus One' bagi pelaburan langsung asing (FDI).
"Ia mungkin kedengaran klise, namun trend ini masih nyata dan berterusan. Walaupun berdepan krisis tenaga, perkembangan tarif serta ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan yang menarik," katanya.
Beliau berkata keputusan pelaburan bersifat jangka panjang dan tidak ditentukan oleh faktor tarif semata-mata.
"Kita menyaksikan beberapa perkembangan berkaitan tarif sejak kebelakangan ini. Minggu lepas, misalnya, Malaysia dikenakan tarif 10 peratus di bawah Seksyen 301. Walaupun perkembangan itu penting, pelabur turut mengambil kira pelbagai faktor lain.
"Mereka menilai tahap kesalinghubungan infrastruktur negara, kualiti tenaga kerja mahir, jumlah perjanjian perdagangan bebas yang dimiliki serta sejauh mana dasar FDI negara mesra pelabur," katanya.
Menurut Yun, keputusan pelaburan langsung asing akhirnya bergantung pada kekuatan asas ekonomi sesebuah negara dalam jangka panjang.
Dalam kes Malaysia, katanya, pelbagai reformasi yang dilaksanakan sejak beberapa tahun kebelakangan ini mula membuahkan hasil, khususnya daripada segi pelaksanaan dan keberkesanan dasar.
"Malaysia tidak pernah ketandusan pelan pembangunan yang besar dan komprehensif. Kita telah melihat pelbagai pelan tindakan yang baik, namun kejayaan akhirnya bergantung pada pelaksanaannya. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kita menyaksikan peningkatan yang ketara dalam aspek itu," katanya.
Kesemua panelis sependapat bahawa reformasi dasar yang berterusan serta pelaksanaan yang konsisten merupakan faktor penting untuk memastikan Malaysia terus berdaya saing dan meraih manfaat daripada aliran pelaburan jangka panjang.
-- BERNAMA