BERITA TERKINI   Darjah Seri Utama, Dato' Setia Negeri Sembilan kepada Tan Sri Rais Yatim ditarik balik -- Pendaftar Darjah NS | Kabinet setuju lepas hak kerajaan persekutuan ke atas tapak Rascom kepada Kerajaan Negeri Sarawak - NRES | PRN Negeri Sembilan: Polis Johor hantar 318 anggota bantu kelancaran proses pilihan raya – Ketua Polis Johor | 

KLIA Bersedia Sokong F1 Kembali Ke Malaysia -- MAHB

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 30 Julai (Bernama) -- Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berada pada kedudukan terbaik untuk menampung jangkaan kemasukan pasukan, pegawai dan penonton Formula 1 (F1) susulan kembalinya sukan permotoran itu ke Malaysia pada Oktober, menurut Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pengendali lapangan terbang itu juga menyambut baik pengumuman berkenaan selain memaklumkan pihaknya bersedia untuk mengalu-alukan ketibaan pasukan-pasukan yang akan ke Malaysia bagi menyertai perlumbaan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix (Bahrain GP).

Ad Banner

"KLIA sememangnya bersedia untuk menyokong jumlah pelawat antarabangsa yang lebih tinggi dan ia dijangka berlaku sepanjang tempoh Tahun Melawat Malaysia.

“Persediaan ini meletakkan kami pada kedudukan terbaik bagi menampung aktiviti tambahan yang berkaitan dengan acara berkenaan manakala kemudahan lapangan terbang kami termasuk Hotel Sama-Sama di KLIA juga sedia menyokong keperluan para pelawat,” katanya kepada Bernama hari ini.

Selain memberi faedah segera kepada sektor pelancongan dan pengembaraan, MAHB menjelaskan penganjuran GP Bahrain di Malaysia merupakan peluang berharga untuk menonjolkan rangkaian ketersambungan, hospitaliti serta keupayaan Malaysia dalam menyokong acara antarabangsa yang besar.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Ia juga mencerminkan nilai kerjasama merentas negara dan sokongan bersama pada ketika acara global terus mencetuskan ketidaktentuan dalam industri penerbangan dan pelancongan,” jelasnya.

Malaysia bersedia menganjurkan GP Bahrain di Litar Antarabangsa Sepang pada 2 hingga 4 Oktober selepas negara ini dipilih sebagai tuan rumah pengganti berikutan penangguhan perlumbaan di Bahrain akibat konflik di Asia Barat.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menggesa semua pihak berkepentingan termasuk pengendali lapangan terbang, syarikat penerbangan, pengendali perkhidmatan darat dan agensi kerajaan yang berkaitan untuk bekerjasama bagi memastikan pengendalian acara berkenaan berjalan lancar.

Sebagai persediaan menghadapi peningkatan penerbangan berjadual, sewa khas dan penerbangan perniagaan sepanjang hujung minggu F1, ia menyatakan sumber, kakitangan dan pelan luar jangka yang diperlukan mesti disediakan bagi menyokong jumlah penumpang dan penerbangan yang lebih tinggi.

-- BERNAMA