BERITA TERKINI   Bersatu tidak akan bertanding pada PRN Sarawak - Setiausaha Agung | Keuntungan bersih Telekom Malaysia Bhd menyusut kepada RM494.04 juta pada suku ketiga 2026, berbanding RM686.26 juta pada suku yang sama tahun lepas | Banjir: 153 penduduk daripada 42 keluarga dipindahkan di Sook, Sabah - JPBN Sabah | MCMC saman Google LLC, tuntut ganti rugi RM600 juta berhubung dakwaan gagal tangani kandungan memudaratkan di YouTube | 

Perlombongan Pasir Dasar Laut Sumbang Lebih RM53.38 Juta Kepada Hasil Kerajaan Setakat Oktober

PELABUHAN KLANG, 25 Nov (Bernama) -- Aktiviti perlombongan pasir dasar laut di luar perairan negeri menyumbang lebih RM53.38 juta kepada hasil Kerajaan Persekutuan setakat Oktober tahun ini, susulan penambahbaikan sistem pemantauan digital bagi meningkatkan kecekapan pengurusan dan mengelakkan ketirisan hasil.

Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata kutipan hasil itu meneruskan momentum positif pengurusan sumber mineral negara, dengan jumlah kutipan meningkat daripada RM15.65 juta pada 2024 kepada RM75.15 juta pada 2025.

Beliau berkata kadar hasil yang dikenakan ialah RM1 bagi setiap meter padu pasir untuk kegunaan tempatan dan RM4.50 bagi setiap meter padu untuk tujuan eksport.

Ad Banner

“Peningkatan hasil itu merupakan kesan langsung daripada pendigitalan sistem pemantauan, termasuk penggunaan Sistem Pengurusan Pengorekan dan Pelupusan (DDMS) bagi mengelakkan ketirisan, selain Sistem Maklumat Eksekutif (EIS) yang digunakan oleh pihak pengurusan tertinggi.

“Kita menyasarkan kutipan hasil tahun ini menyamai pencapaian tahun lepas dan dengan baki dua bulan lagi, kita yakin dapat mencapai sasaran itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Program Turun Padang Pemantauan Pengoperasian Perlombongan Pasir Dasar Laut di Luar Perairan Negeri Bersama Pengamal Media, di atas kapal tender boya pelbagai guna dan kapal sokongan maritim MV Polaris milik Jabatan Laut Malaysia, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mohd Fauzi berkata setiap kapal korek pasir yang beroperasi di kawasan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dipantau secara berterusan, termasuk dari segi lokasi operasi dan jumlah pasir yang dikeluarkan, dalam meter padu, sebelum diselaraskan dengan borang laporan pemegang lesen.

Beliau berkata tindakan tegas, termasuk pembatalan lesen, akan dikenakan terhadap syarikat yang melanggar syarat operasi bagi memastikan sumber negara diuruskan dengan baik dan menyumbang kepada ekonomi.

“Antara kesalahan yang sering dikesan termasuk beroperasi melebihi tempoh yang dibenarkan, iaitu dari 7 pagi hingga 7 malam, membawa muatan pasir melebihi had serta beroperasi di luar kawasan yang ditetapkan berdasarkan pelan pemetaan.

“Pengawalseliaan aktiviti penerokaan dan eksploitasi sumber alam di dasar laut yang terletak di luar had tiga batu nautika perairan negeri ini juga tertakluk kepada Akta Pelantar Benua 1966 (Akta 83), yang menjadi asas perundangan bagi mengawal aktiviti berkaitan sumber mineral,” katanya.

Mengulas mengenai penguatkuasaan di lapangan, beliau berkata JKPTG bekerjasama rapat dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) serta beberapa agensi teknikal bagi memastikan syarikat pemegang lesen mematuhi syarat yang ditetapkan.

Katanya JKPTG bertindak sebagai urus setia di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dengan menyelaras permohonan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Pusat Hidrografi Nasional (PHN).

“Memandangkan kawasan ZEE ini sangat luas, kita memerlukan pemantauan yang lebih cekap, termasuk mempertimbangkan penambahan anggota, pengukuhan aset dan penaiktarafan sistem pengesanan dari semasa ke semasa, selain memperkukuh kerjasama dengan agensi berkaitan.

“Selain memastikan kutipan hasil dan pengurusan lesen, pendekatan bersepadu dalam kajian teknikal turut membantu memelihara kelestarian sumber marin, sekali gus mengurangkan risiko terhadap alam sekitar serta kepentingan komuniti nelayan tempatan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mohd Fauzi berkata setiap permohonan lesen dikenakan fi sebanyak RM3,000 dan perlu diteliti oleh Mesyuarat Jawatankuasa Pusat Sehenti (OSC) yang dipengerusikan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sebelum dikemukakan untuk kelulusan menteri.

Beliau berkata permohonan terbuka kepada mana-mana syarikat yang memenuhi syarat dan boleh dikemukakan menerusi sistem dalam talian MyLAND tanpa had kuota tertentu, namun kelulusan akhir tetap tertakluk sepenuhnya kepada pertimbangan pihak berkuasa.

-- BERNAMA