AICB, Akademi ICC Lancar Program Kelayakan Profesional CTFP Bagi Perkasa Bakat Malaysia
KUALA LUMPUR, 31 Julai (Bernama) -- Institut Bank-Bank Bertauliah Asia (AICB) dengan kerjasama Akademi Dewan Perniagaan Antarabangsa (ICC) secara rasminya melancarkan program Profesional Pembiayaan Perdagangan Bertauliah (CTFP) di Malaysia.
Ia bertujuan meningkatkan akses kepada kelayakan yang diiktiraf di peringkat antarabangsa untuk profesional yang menyokong perdagangan rentas sempadan.
Menurut AICB dalam satu kenyataan, program CTFP itu merupakan kelayakan yang diiktiraf di peringkat global, yang mengetengahkan kepakaran kewangan perdagangan yang meluas.
Pada masa sama, ia mengukuhkan keyakinan pihak berkepentingan, dengan lebih 1,200 graduan telah menjadi sebahagian daripada rangkaian alumni antarabangsanya.
“Pelancaran ini dibuat ketika jumlah dagangan Malaysia mencecah rekod RM3.1 trilion pada 2025, iaitu berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Di peringkat global, Bank Pembanguan Asia menganggarkan jurang pembiayaan perdagangan kekal pada US$2.5 trilion pada 2025, iaitu bersamaan dengan kira-kira 10 peratus daripada jumlah perdagangan global.
“Secara keseluruhannya, angka-angka ini menggariskan keperluan bagi golongan profesional yang boleh menstrukturkan pembiayaan yang sesuai, mengurus risiko yang semakin kompleks dan membantu perniagaan menyertai pasaran antarabangsa dengan yakin," katanya.
Tambah AICB, kerjasama itu menggabungkan peranan institut itu dalam memperkasa piawaian profesional bagi sektor perbankan Malaysia dengan kepakaran kewangan perdagangan antarabangsa Akademi ICC.
Katanya, kerjasama itu juga menyokong komitmen AICB yang lebih meluas untuk membina tenaga kerja perbankan yang dipercayai, cekap dan bersedia untuk masa hadapan menerusi pembelajaran sepanjang hayat, kecemerlangan profesional serta kepimpinan beretika di Malaysia dan rantau ini.
Sementara itu, Ketua Eksekutif AICB Edward Ling berkata kerjasama itu memberi laluan yang jelas kepada golongan profesional di Malaysia bagi memperkukuh kredibiliti profesional mereka, dan menyokong keperluan perniagaan yang terlibat dalam perdagangan rentas sempadan yang semakin berkembang.
“Prestasi perdagangan Malaysia yang mencatatkan rekod, mengukuhkan lagi kepentingan profesion kewangan perdagangan sebagai persediaan untuk masa hadapan.
“Memandangkan rantaian bekalan, peraturan, teknologi dan risiko jenayah kewangan menjadi semakin kompleks, pengetahuan teknikal mesti dipadankan dengan pertimbangan komersial, kecekapan digital dan keupayaan untuk mengaplikasikan piawaian antarabangsa dalam amalan,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Global Akademi ICC Christine Lim berkata kerjasama itu tepat pada masanya, memandangkan perdagangan global semakin saling berkaitan.
Oleh itu, ia meningkatkan keperluan bagi golongan profesional yang boleh mengaplikasikan piawaian antarabangsa dengan yakin dalam suasana perniagaan dunia sebenar.
“Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan AICB untuk meningkatkan akses kepada program CTFP di Malaysia dan bersama-sama menyokong pembangunan bakat, yang akan memperkukuhkan ekosistem pembiayaan perdagangan negara,” tambahnya.
-- BERNAMA