BERITA TERKINI   (TIDAK RASMI): Calon BN menang di Senaling | (TIDAK RASMI) (DUN Rantau): Calon BN Mohamad Hasan mendahului dengan majoriti 6,813 undi selepas 37/67 saluran | (TIDAK RASMI) : Calon BN menang di DUN Juasseh | (TIDAK RASMI) : Calon BN menang di DUN Seri Menanti | (TIDAK RASMI): BN menang di DUN Palong | 

JDV Sasar 5.5 Juta Liter Susu, Perkukuh Keterjaminan Makanan Negara

Oleh Nur Faradilla Mohamad

MERSING, 1 Ogos (Bernama) -- Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) menyasarkan pengeluaran susu segar sebanyak 5.5 juta liter menjelang akhir tahun ini, didorong peningkatan bilangan lembu perahan serta kesiapsiagaan kemudahan pemprosesan yang dijangka beroperasi mengikut jadual.

Ketua Pegawai Eksekutif JDV Sdn Bhd Qasem Alhasan berkata sehingga 26 Julai lepas, pengeluaran susu telah mencecah 3 juta liter, menghampiri sasaran awal 3.6 juta liter yang ditetapkan bagi tahun ini.

Ad Banner

Beliau berkata JDV kini mempunyai kira-kira 1,900 ekor lembu tenusu, dengan bilangan lembu yang memasuki fasa laktasi terus meningkat, sekali gus menyokong pertumbuhan pengeluaran susu.

"Dalam jangka panjang, kami menyasarkan pengeluaran susu segar sebanyak 12 juta liter setahun apabila ladang beroperasi pada kapasiti penuh.

"Pembinaan kilang pemprosesan susu juga berjalan mengikut jadual dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini," katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Selain pembinaan kilang pemprosesan, Qasem berkata syarikat itu turut memberi tumpuan kepada aspek jaminan kualiti produk, penjenamaan dan rangkaian pengedaran bagi memastikan semuanya berada pada tahap terbaik sebelum pelancaran produk berasaskan susu yang lain ke pasaran pada 2027.

"Sasaran kami bagi produk susu ini merangkumi keluarga, kanak-kanak dan golongan profesional muda yang mengutamakan kesihatan serta memilih susu segar berkualiti tinggi. Kami juga menyasarkan pembekalan produk kepada kafe, restoran, hotel dan pengeluar makanan."

Menurut beliau, jumlah keseluruhan pelaburan pembangunan JDV dijangka melebihi RM200 juta, meliputi pembangunan infrastruktur ladang, pembelian lembu tenusu, penggunaan teknologi penternakan moden, pembinaan kilang pemprosesan susu serta kemudahan utiliti dan fasiliti sokongan.

Beliau berkata projek itu turut memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat, termasuk pelaburan kira-kira RM25 juta bagi pembangunan infrastruktur yang sebahagian besarnya menggunakan bahan binaan daripada pembekal di Mersing dan kawasan berhampiran.

Selain itu, lebih 60 peluang pekerjaan telah diwujudkan, sekali gus memberi manfaat kepada kontraktor, pembekal, syarikat logistik, peniaga dan penyedia perkhidmatan veterinar.

Menyentuh cabaran industri, Qasem berkata sektor tenusu memerlukan pelaburan modal yang tinggi serta berdepan peningkatan kos makanan ternakan, kekurangan tenaga kerja tempatan mahir dan cabaran mengurus operasi ladang berskala besar.

"Bagaimanapun, kami kekal komited melabur dalam teknologi, automasi dan kerjasama strategik bagi membangunkan industri tenusu yang mampan," katanya.

Beliau berkata JDV merancang meningkatkan jumlah ternakan kepada 4,000 ekor lembu tenusu menjelang 2027, di samping memperkukuh perniagaan hiliran, memperkenalkan pelbagai produk tenusu dan meneroka pasaran eksport.

Dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang, JDV menyasarkan untuk muncul sebagai peneraju syarikat tenusu bersepadu negara, sekali gus menyokong agenda keterjaminan makanan dan pembangunan industri tenusu Malaysia.

"Kami bukan sekadar mahu membangunkan sebuah ladang tenusu yang berjaya, tetapi membina industri tenusu bertaraf antarabangsa yang mampu dibanggakan rakyat Malaysia," katanya.

Projek Lembah Tenusu Jemaluang merupakan kerjasama antara Kerajaan Negeri Johor, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan JDV Sdn Bhd.

-- BERNAMA