BERITA TERKINI   (TIDAK RASMI): BN menang di DUN Seri Menanti - SPR | (TIDAK RASMI): PH menang di DUN Seremban Jaya - SPR | (TIDAK RASMI): BN menang di DUN Kota - SPR | (TIDAK RASMI): PN menang di DUN Serting - SPR | (TIDAK RASMI): BN menang di DUN Sungai Lui - SPR | 

Kementerian Ekonomi Teliti Kemungkinan Projek Rintis Agenda Menua Tahun Depan

JOHOR BAHRU, 1 Ogos (Bernama) -- Kementerian Ekonomi sedang mengenal pasti kemungkinan pelaksanaan projek rintis yang spesifik dalam mendepani cabaran peralihan struktur demografi menua untuk diketengahkan pada tahun hadapan.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata agenda menua telah diletakkan sebagai salah satu tonggak penting di bawah rangka kerja Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

Beliau berkata bagi pelaksanaan Rolling Plan 2 (RP2) dalam soal pembangunan tahun hadapan, perancangan tersebut akan disusun sebaik mungkin untuk merangkumi semua segmen termasuk agenda menua.

Ad Banner

Langkah berkenaan katanya, diambil susulan laporan berhubung 12 negeri di Malaysia yang kini dikategorikan sebagai negeri menua dalam usaha memperkemas perancangan strategik negara.

"Jadi, memang di peringkat Kementerian Ekonomi juga, kami juga sedang mengenal pasti mungkin akan ada satu projek perintis yang memang spesifik berkaitan dengan agenda menua untuk kita ketengahkan tahun hadapan," katanya pada sidang media selepas Program MADANI Kita di Pangsapuri Desa Dato Hajah Hasnah di sini hari ini.

Pihak kementerian mengambil maklum bahawa terdapat kawasan tertentu yang mencatatkan kadar penuaan yang lebih ketara berbanding kawasan lain.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurutnya, Kementerian Ekonomi kini berada di peringkat akhir untuk mengharmonikan dasar agenda negara menua yang turut merangkumi aspek penilaian fiskal serta pembangunan sektor penjagaan.

"Maka sebab itu, kita kena mendepani isu cabaran agenda menua ini dengan pendekatan yang lebih holistik supaya ianya tidak akan menjadi beban semata-mata," katanya yang turut menekankan kepentingan pelaksanaan pendekatan menyeluruh yang melibatkan agensi kerajaan, sektor swasta dan masyarakat.

Semalam media melaporkan sebanyak 12 negeri di Malaysia kini telah mencapai status negeri menua apabila komposisi penduduk berumur 65 tahun dan ke atas melebihi tujuh peratus daripada jumlah penduduk.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Perak kekal merekodkan komposisi warga emas tertinggi negara iaitu 10.8 peratus diikuti Sarawak serta Kedah masing-masing 9.7 peratus, Pulau Pinang dan Perlis pula berkongsi peratusan yang sama iaitu 8.8 peratus.

Agensi itu turut memaklumkan, secara keseluruhannya komposisi penduduk berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada 8.4 peratus tahun ini berbanding lapan peratus pada tahun lalu.

Menyentuh mengenai program hari ini, Akmal Nasrullah berkata Program MADANI Kita menjadi medan interaksi antara agensi dan masyarakat menerusi pelbagai pengisian komuniti.

"Sepanjang program ini, pelbagai reruai, pameran serta program khas turut diadakan untuk memberi manfaat secara langsung, merangkumi aspek keselamatan jalan raya, kebajikan, program anak muda, serta pelbagai aktiviti komuniti yang lain," katanya.

Beliau memaklumkan bahawa Kementerian Ekonomi kini berada di peringkat saringan untuk belanjawan pembangunan bagi tahun 2027, selain menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap pelaksanaan projek dan pembaharuan diselaraskan dengan teliti bagi menjamin kelancarannya.

-- BERNAMA