BERITA TERKINI   Tuanku Muhriz zahir kepercayaan penuh kepada Menteri Besar baharu dapat laksana tugas dengan bersungguh dan jujur | MB, ADUN mesti hormati dan taat institusi Diraja, pelihara keluhuran pentadbiran dan menjunjung kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan - Tuanku Muhriz | Tuanku Muhriz ingatkan pemimpin elak salahguna kuasa hingga cetus ketidakstabilan, jejas dasar kerajaan negeri | Kerajaan Negeri, ADUN mesti setia dan utamakan rakyat berbanding kepentingan politik atau peribadi - Tuanku Muhriz | Tuanku Muhriz titah ADUN Negeri Sembilan pikul mandat rakyat dengan baik, rangka dasar dan perancangan berpaksi kebajikan rakyat | 

Admi Shahrul: Memacu Adrenalin, Ukir Nama Di Arena Porsche Dunia

Oleh Siti Radziah Hamzah

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- Deruman enjin kereta sport berprestasi tinggi sememangnya mampu membangkitkan debaran adrenalin, namun bagi Admi Shahrul Ahmad Saffian, kepuasan sebenar bukan sekadar memandu jentera berkuasa tinggi itu, tetapi membantu orang lain menguasainya dengan penuh keyakinan.

Bagi anak kelahiran Subang Jaya berusia 55 tahun itu, membimbing pemandu mengawal tekanan, memahami dinamik kenderaan serta meneroka had kemampuan kereta sport bukan sekadar pekerjaan, sebaliknya satu panggilan jiwa.

Ad Banner

Perjalanan itu membawa Admi Shahrul melangkah jauh daripada apa yang pernah dibayangkan apabila beliau menjadi anak Melayu pertama dan satu-satunya rakyat Malaysia yang menyertai pasukan jurulatih global elit Porsche.

Namun, di sebalik reputasi besar jenama automotif Jerman itu, Admi Shahrul kekal seorang yang sederhana dan rendah diri, jauh daripada gambaran individu yang mengejar glamor atau membanggakan pencapaian sendiri.

Ketika penulis singgah menyapanya di lorong pit Litar Antarabangsa Sepang (SIC) baru-baru ini, beliau menyambut dengan senyuman mesra dan bersalaman sebelum kembali memberikan tumpuan kepada pemandu di belakang stereng, meneruskan sesi bimbingan tanpa sedikit pun hilang fokus.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Itulah gambaran awal mengenai insan di sebalik lencana Porsche.

Dalam tempoh satu setengah jam perbualan, Admi Shahrul berkongsi perjalanan hidup yang tidak dibina atas kemewahan atau sokongan kewangan jutaan ringgit, sebaliknya melalui ketekunan, kerendahan hati dan keberanian merebut peluang.

 

Apabila minat berdepan realiti

 

Seperti ramai pelumba muda lain, impian awal Admi Shahrul adalah untuk menjadi pemandu profesional.

Namun, cita-cita itu berdepan realiti yang sering menghantui ramai penggiat sukan permotoran Malaysia, iaitu kekangan kewangan.

“Orang selalu kata anda memerlukan sokongan kewangan yang besar untuk melakukannya secara profesional. Saya tidak mempunyai kemampuan itu, tetapi saya masih perlu mencari rezeki,” katanya.

Daripada meninggalkan dunia permotoran, beliau memilih untuk membina kerjaya berdasarkan perkara yang paling dikuasainya iaitu pemanduan.

Apa yang bermula sebagai langkah praktikal untuk menjadi jurulatih pemanduan berprestasi tinggi akhirnya berkembang menjadi kerjaya sepanjang hayat.

Namun, pendidikan permotorannya bermula jauh sebelum beliau memegang stereng kereta lumba.

Pada 1990 ketika berusia 19 tahun, Admi Shahrul menyertai dunia perlumbaan sebagai marshal bendera sambilan dan anggota pemulihan kenderaan di Litar Batu Tiga, Shah Alam.

Dari belakang penghadang litar, beliau menghabiskan hujung minggu perlumbaan dengan memerhati pelumba berpengalaman, mengkaji garisan perlumbaan serta memahami selok-belok sukan itu.

Lima tahun kemudian, selepas berjaya mengumpul wang secukupnya, beliau membeli kereta sendiri dan menyertai kelas novis Saga Cup.

Beliau menamatkan perlumbaan sulung di tempat keempat, pencapaian yang membantunya memperoleh penajaan untuk meneruskan karier perlumbaan.

Kerjayanya berkembang secara berperingkat sehingga mencapai kemuncak apabila menjuarai keseluruhan perlumbaan Merdeka Millennium Endurance (MME) 2001.

Beliau kemudian menjadi pemandu kilang Team Proton R3 sebelum mencipta satu lagi kejayaan dengan memenangi perlumbaan ketahanan Sepang 1000km (S1K) 2017.

Dalam masa sama ketika aktif berlumba, Admi Shahrul mula melangkah ke bidang kejurulatihan dengan membimbing pemandu di akademi pemanduan defensif tempatan pada 1997 sebelum menyertai Sepang International Driving and Racing Academy (SIDRA) sebagai jurulatih pada 2005.

Langkah itu menjadi asas kepada perjalanan yang akhirnya membawanya ke pentas global.

 

Pertemuan dengan lelaki Jerman berseluar pendek

 

Kejayaan di litar mengukuhkan reputasi Admi Shahrul sebagai pelumba berkemampuan.

Namun, satu pertemuan tidak dirancang di Litar Antarabangsa Sepang mengubah hala tuju kerjayanya.

Ketika membantu menyediakan kon untuk program pemanduan Porsche serantau di litar itu, Admi Shahrul dihampiri seorang lelaki tinggi dari Jerman yang memakai seluar pendek dan menawarkan bantuan.

Selama beberapa jam berikutnya, mereka bersama-sama memasang kon di sekitar kawasan paddock di bawah terik matahari.

Sambil bekerja, lelaki itu bertanyakan pelbagai soalan mengenai dinamik kenderaan, susun atur litar serta tujuan setiap latihan.

Admi Shahrul menjawab setiap pertanyaan berdasarkan pengalaman yang dimilikinya.

Hanya pada penghujung hari, lelaki itu menyerahkan sekeping kad nama.

Namanya ialah Arnt Bayer, ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby Auto Performance, pengimport dan pengedar rasmi Porsche di Malaysia.

Pertemuan itu menjadi titik permulaan kepada usaha selama empat tahun untuk meyakinkan ibu pejabat Porsche di Stuttgart, Jerman, supaya menilai kemampuan Admi Shahrul bagi pensijilan jurulatih rasmi.

Dengan sokongan Sime Darby Auto Performance dan Porsche Asia Pacific, beliau akhirnya berlepas ke Jerman untuk mengikuti program pensijilan intensif selama dua minggu sebelum menerima tugasan antarabangsa pertama di Porsche Ice Experience, Levi, Finland pada 2016.

 

Mencipta nama di Levi, Finland

 

Namun Pencapaian itu hadir bersama cabaran besar. Berada bersama pelumba GT Eropah berpengalaman serta bekas calon Formula 1, Admi Shahrul pernah mempersoalkan sama ada dirinya benar-benar layak berada di situ.

“Pada awalnya memang sukar. Anda rasa tertekan dan tidak cukup bagus. Saya hampir mahu berputus asa kerana tekanannya tinggi. Bekerja dengan orang Jerman bermakna semuanya mesti tepat. Mereka tidak suka kesilapan,” katanya.

Namun lama-kelamaan, beliau menyedari kekuatan utamanya bukan sekadar kemahiran teknikal.

Jika ramai jurulatih Eropah menggunakan pendekatan lebih terus dan tegas, Admi Shahrul menggabungkan ketepatan teknikal dengan nilai mesra, sopan dan hormat yang mencerminkan didikannya.

Pendekatan itu mendapat sambutan pelanggan dari seluruh dunia dan menjadi antara kekuatan utamanya sebagai jurulatih.

Kepentingan pencapaiannya benar-benar dirasai apabila pelanggan antarabangsa mula memanggilnya bukan dengan namanya, tetapi berdasarkan negara asalnya.

Mereka yang sukar mengingati nama “Admi” hanya memanggilnya “Mr Malaysia”.

“Sejak itu, saya sedar saya sebenarnya seperti seorang duta untuk negara. Mereka mungkin tidak ingat Admi, tetapi mereka ingat Malaysia. Saya sentiasa cuba mengangkat dan mempromosikan Malaysia di mata dunia,” katanya.

Hari ini, tanggungjawab itu menyebabkan beliau banyak menghabiskan masa di luar negara, mengendalikan program pemanduan Porsche di Eropah, Asia dan rantau lain.

“Kadang-kadang, saya hanya berada di negara ini sekitar tiga hingga empat bulan setahun. Kebanyakan masa saya dihabiskan di luar negara bagi menjalankan tugasan,” katanya sambil menambah bahawa jadual kerja yang begitu padat tidak mungkin dapat dilalui tanpa sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarganya.

Bagi Admi Shahrul, isterinya Natasya Idha Mohd Dahlan merupakan tonggak sokongan terbesar dalam perjalanan kerjayanya. Bekas jurutera itu mengambil keputusan meninggalkan sektor korporat bagi memberi tumpuan kepada keluarga serta membesarkan anak-anak mereka.

Kini, ketika suaminya sering berada di luar negara, Natasya mengusahakan perniagaan bakeri dari rumah dengan membekalkan produk bakeri kepada pusat Porsche tempatan

 

Membina asas industri permotoran negara

 

Pengalaman bertahun-tahun sebagai pelumba, jurulatih dan bekerja bersama Porsche di seluruh dunia membentuk pandangan Admi Shahrul mengenai cabaran industri permotoran Malaysia.

Baginya, cabaran terbesar bukan kekurangan bakat, tetapi kurangnya pemahaman bahawa sukan permotoran ialah sebuah industri profesional.

“Sukan permotoran bukan sekadar mempunyai kereta laju dan memandunya. Anda perlu memahami aspek mekanikal, keselamatan dan juga perniagaan. Anda perlu tahu cara menjual diri dan memasarkan diri supaya penaja berkata, ‘Baik, kita boleh letakkan nama kita di sini’,” katanya.

Beliau mengakui pada awal kerjayanya, beliau kurang gemar tampil di media atau menghadiri acara awam kerana lebih selesa membiarkan prestasi di litar berbicara.

Namun kini, beliau melihat tanggungjawab itu sebagai sebahagian daripada profesionalisme.

Sebagai pengarah teknikal Toyota Gazoo Racing Vios Challenge, beliau sering berdepan peserta yang kurang memahami peraturan teknikal dan sukan.

“Maklumat kini berada di hujung jari. Kita perlu mendidik mereka yang mahu menyertai sukan permotoran. Tetapi ia bukan hanya mengenai pelumba. Ia melibatkan jurutera, kru teknikal dan pembekal — keseluruhannya ialah sebuah industri. Itulah yang perlu kita bina dari akar umbi,” katanya.

Menurutnya, pembangunan ekosistem permotoran memerlukan kesabaran dan kesinambungan.

“Kelemahan kita ialah kita menanam benih hari ini tetapi mahu ia tumbuh esok. Orang bersemangat untuk satu, dua atau tiga tahun, kemudian tiada kesinambungan. Kita perlu meletakkan orang yang betul di tempat yang betul jika mahu berkembang,” katanya.

 

Tiada formula mutlak kejayaan

 

Walaupun menjadi rakyat Malaysia pertama dan satu-satunya individu Melayu menyertai pasukan jurulatih elit global Porsche, Admi Shahrul mengakui beliau masih sukar menjawab satu soalan yang sering ditanya - bagaimana orang lain boleh mengikuti jejaknya?.

“Saya tiada jawapan yang pasti. Pintu itu terbuka. Saya masuk. Saya mengambil peluang itu. Itu sahaja,” katanya.

Bagi beliau, kejayaan bukan hanya bergantung kepada persediaan, tetapi juga kebijaksanaan mengenal pasti peluang apabila ia hadir.

 

Ukuran kejayaan Admi Shahrul

 

Apabila ditanya bagaimana beliau mahu dikenang suatu hari nanti, Admi Shahrul terdiam seketika.

Katanya, soalan itu bukan sesuatu yang pernah difikirkannya secara mendalam.

“Saya tidak pernah fikir mahu dikenang. Saya cuma mahu orang mengingati saya sebagai seorang manusia yang baik. Itu sahaja matlamat saya.

“Saya tidak mencari populariti atau apa-apa perkara seperti itu. Tetapi jika orang mengingati saya begitu, itu sudah lebih daripada mencukupi,” katanya.

-- BERNAMA