BERITA TERKINI   Permintaan puncak harian mencapai 21,949 megawatt pada 9 September, iaitu 4.7 peratus lebih tinggi berbanding purata Ogos - Akmal Nasrullah | Kenaikan harga arang batu memberi kesan secara langsung kepada kos penjanaan elektrik - Akmal Nasrullah | Sumber bahan api utama menunjukkan tekanan harga yang lebih tinggi pada September berbanding Ogos, khususnya minyak mentah dan LNG - Akmal Nasrullah | Kerajaan pastikan rantaian bekalan domestik terus berfungsi, bekalan keperluan asas mencukupi dan tekanan kos global tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat - Akmal Nasrullah | Krisis bekalan global telah beralih kepada fasa mengurus risiko ekonomi yang dijangka berterusan daripada fasa mengurus kejutan sementara - Akmal Nasrullah | 

Dagangan Sabah 2025 Cecah RM105.5 Bilion, Kekal Lebih RM100 Bilion Untuk Tahun Keempat -- DOSM

KOTA KINABALU, 3 Ogos (Bernama) -- Jumlah dagangan Sabah berada pada paras RM105.5 bilion pada 2025 kekal di atas paras RM100 bilion untuk tahun keempat berturut-turut di sebalik ketidaktentuan ekonomi global, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Jabatan itu menyatakan jumlah dagangan negeri berkenaan susut 2.1 peratus berbanding tahun sebelumnya, namun kekal berdaya tahan.

DOSM memaklumkan, jumlah dagangan Sabah mencecah RM118.0 bilion pada 2022 sebelum menyusut kepada RM105.0 bilion pada 2023, melonjak semula kepada RM107.8 bilion pada 2024 dan mengecil kepada RM105.5 bilion pada 2025.

Ad Banner

“Di sebalik ketidaktentuan ekonomi global yang berterusan, prestasi dagangan negeri ini terus menunjukkan daya tahan yang luar biasa,” jelas DOSM dalam satu kenyataan hari ini.

Sabah mencatatkan lebihan dagangan sebanyak RM9.9 bilion pada 2025, berkurang sebanyak 33.3 peratus daripada RM14.9 bilion pada 2024.

Eksport turun sebanyak 5.9 peratus kepada RM57.7 bilion daripada RM61.3 bilion dipacu oleh permintaan global yang lebih lemah terhadap beberapa komoditi utama.

Ad Banner

Import bagaimanapun menokok 2.8 peratus kepada RM47.8 bilion daripada RM46.4 bilion.

Petroleum mentah kekal sebagai eksport terbesar Sabah iaitu pada paras RM17.1 bilion, menyumbang 29.7 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport diikuti minyak sawit sebanyak RM16.8 bilion.

Eksport gas asli cecair (LNG) berkembang 2.0 peratus kepada RM4.6 bilion manakala produk petroleum ditapis merupakan kategori import terbesar di negeri tersebut iaitu pada paras RM4.8 bilion.

Semenanjung kekal sebagai rakan dagang terbesar Sabah dengan menyumbang sebanyak RM49.6 bilion atau 47.1 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan negeri berkenaan.

China merupakan rakan dagang kedua terbesar dengan nilai RM10.4 bilion diikuti Thailand (RM4.4 bilion), Korea Selatan (RM4.2 bilion) dan Jepun (RM4.0 bilion).

Eksport ke negara-negara ASEAN berjumlah RM11.2 bilion dengan Filipina menjadi destinasi terbesar pada paras RM3.9 bilion sekali gus menyumbang 34.5 peratus daripada keseluruhan eksport Sabah ke blok serantau berkenaan.

Mengikut sektor, perlombongan merupakan penyumbang terbesar kepada eksport dengan nilai RM23.2 bilion diikuti oleh pertanian sebanyak RM22.1 bilion dan pembuatan pada paras RM12.3 bilion.

Mengikut kegunaan akhir, barangan perantaraan menyumbang bahagian import terbesar pada paras RM17.5 bilion manakala import barangan penggunaan dan barangan modal masing-masing meningkat 13.2 peratus dan 9.1 peratus.

-- BERNAMA