Pertumbuhan Ekonomi Malaysia Dijangka Melebihi 5.0 Peratus Pada 2026 - Penganalisis
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berkemungkinan kembali mencatatkan pertumbuhan melebihi 5.0 peratus tahun ini, disokong oleh eksport yang kukuh dan perbelanjaan domestik yang berdaya tahan, menurut MBSB Investment Bank Bhd.
Bank pelaburan itu menjangkakan perbelanjaan domestik kekal berdaya tahan, disokong oleh pasaran buruh yang stabil, peningkatan pendapatan dan pendekatan dasar kerajaan.
Ia termasuk pemindahan tunai dan subsidi bersasar, yang telah membantu mengawal tekanan harga susulan peningkatan harga tenaga global.
Menurutnya, jumlah ketibaan pelancong yang lebih tinggi dijangka terus menyokong prospek penggunaan.
“Kami sedang menyemak semula unjuran pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) 2026 (kini pada 4.5 peratus) berikutan prestasi pertumbuhan KDNK yang lebih kukuh berbanding jangkaan pada suku kedua (S2) 2026, yang meningkat kepada 5.8 peratus tahun ke tahun (S1 2026: 5.4 peratus tahun ke tahun),” katanya dalam satu nota penyelidikan hari ini.
Bagaimanapun, MBSB Investment Bank berkata ia masih berwaspada bahawa risiko pertumbuhan menyusut boleh muncul terutamanya daripada faktor luaran.
“Gangguan bekalan yang berterusan dan berpanjangan boleh menyebabkan tekanan kos meningkat.
“Permintaan akhir daripada pasaran domestik dan luaran juga boleh menjadi lemah di tengah-tengah tekanan inflasi yang lebih tinggi,” katanya.
Tambahnya, peraturan perdagangan yang lebih ketat boleh memberi kesan kepada permintaan luaran, terutamanya daripada Amerika Syarikat.
Pada masa sama, Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga) menjangkakan ekonomi Malaysia lebih 5.0 peratus tahun ini, melebihi julat ramalan semasa iaitu 4.5-5.0 peratus.
Jelasnya, bacaan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pembuatan, yang kekal melebihi ambang pengembangan 50 mata, menandakan pertumbuhan berterusan dalam aktiviti pembuatan, menyokong sumbangan positif kepada pertumbuhan KDNK Malaysia pada suku ketiga 2026.
PMI pembuatan kekal tidak berubah pada 50.7 pada Julai berbanding Jun, menunjukkan bahawa sektor itu memasuki separuh kedua 2026 dengan kedudukan yang stabil walaupun terdapat ketidaktentuan geopolitik yang berterusan dan halangan luaran.
Menurut Kenanga, pesanan baharu yang berdaya tahan mengukuhkan hujah bagi semakan menaik kepada unjuran pertumbuhan KDNK suku ketiga.
Bagaimanapun, tambahnya, keyakinan perniagaan yang lebih lemah, yang susut ke paras terendah dalam tempoh tiga bulan, dan penurunan dalam pekerjaaan sebanyak 0.2 peratus tahun ke tahun pada Julai, menunjukkan pengeluar kekal berhati-hati di tengah-tengah risiko geopolitik yang berterusan.
-- BERNAMA