Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Rendah
Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah pada Isnin, menjejaki harga minyak kacang soya dan minyak mentah yang lebih lemah di tengah-tengah konflik di Asia Barat yang semakin reda.
Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata kebimbangan terhadap peningkatan pengeluaran dan paras bekalan dalam beberapa minggu akan datang turut dilihat memberi kesan kepada sentimen jangka pendek.
“Kami melihat paras sokongan melebihi RM4,550 setan, dan paras rintangan pada RM4,700 setan,” katanya kepada Bernama.
Ketika ini, minyak mentah Brent menyusut sebanyak 5.19 peratus pada US$83.37 setong.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Sathia Varqa berkata harga MSM ditutup lebih rendah, memadamkan keuntungan tengah hari apabila data anggaran menunjukkan saham pada akhir Julai dijangka meningkat untuk bulan keempat berturut-turut.
“Pengeluaran dan eksport dijangka meningkat. Data sebenar daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia dijangka dikeluarkan pada 10 Ogos,” katanya.
Dalam pada itu, pada penutup kontrak Ogos 2026 susut RM43 kepada RM4,488 setan, September 2026 berkurang RM15 kepada RM4,589 setan, dan Oktober 2026 merosot RM14 kepada RM4,629 setan.
Kontrak November 2026 susut RM11 kepada RM4,664 setan, Disember 2026 turun RM7 kepada RM4,697 setan, dan Januari 2027 merosot RM5 kepada RM4,727 setan.
Jumlah dagangan melonjak kepada 80,947 lot daripada 64,096 lot pada Jumaat, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 304,293 kontrak daripada 301,947 kontrak sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Ogos Selatan berkurang RM10 kepada RM4,520 setan.
-- BERNAMA