BERITA TERKINI   Penempatan PDRM di pasukan Keselamatan Penerbangan dikenal pasti sebagai langkah penambahbaikan segera di lapangan terbang - Fahmi | MITI cari pendekatan terbaik bagiĀ cadangan levi EV untuk imbangiĀ keperluan infrastruktur pengecasan dengan kepentingan awam - Johari Ghani | PM Anwar arah KESUMA segera uruskan 15,000 permohonan pekerja asing bagi penuhi keperluan tenaga kerja -- Fahmi | MAG diarah semak semula protokol saringan latar belakang, kesihatan juruterbang dan pembantu - Fahmi | 

BAC Akan Labur US$150 Juta Bagi Kemudahan Pembuatan Di Nilai

NILAI, 5 Ogos (Bernama) -- Syarikat penyedia penyelesaian penyejukan mampan dan penyingkiran haba BAC memulakan pembinaan kemudahan pembuatan baharunya di Nilai dengan pelaburan yang dirancang berjumlah US$150 juta (US$1 = RM4.09) bagi memperkukuh keupayaan pembuatan, kejuruteraan dan inovasi serantaunya, selain mewujudkan sehingga 200 pekerjaan berkemahiran tinggi menjelang 2035.

Presiden BAC Don Fetzer berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam strategi pertumbuhan global jangka panjang syarikat itu, dengan pelaburan berkenaan mencerminkan komitmen BAC terhadap negara ini serta rancangan untuk mengembangkan operasi pembuatannya di rantau Asia Pasifik (APAC).

Menurutnya kemudahan baharu itu dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran, menambah baik kecekapan rantaian bekalan serta memenuhi keperluan pelanggan dalam sektor pusat data, industri dan infrastruktur komersial di seluruh rantau APAC.

Ad Banner

“Pelaburan ini mengukuhkan komitmen kami untuk memperluas operasi pembuatan, mengukuhkan keupayaan inovasi serta menyokong pelanggan di seluruh dunia dengan penyelesaian penyejukan mampan yang memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang,” katanya.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan susulan majlis pecah tanah kemudahan baharu itu di sini hari ini, BAC dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) memaklumkan projek berkenaan akan dibangunkan di tapak berkeluasan 7.36 hektar, melibatkan dua fasa.

“Fasa pertama yang disasarkan siap menjelang akhir 2027 merangkumi kemudahan pembuatan berkeluasan 30,000 meter persegi serta pejabat kejuruteraan dan pembuatan serantau manakala fasa kedua akan memberi tumpuan kepada penubuhan pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta peningkatan teknologi pembuatan,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Menurut kedua-dua pihak, kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 dan akan mengeluarkan rangkaian produk BAC termasuk menara penyejuk litar tertutup, penyejuk adiabatik, sistem penyejukan hibrid serta penyelesaian penyejukan cecair menggunakan teknologi pembuatan termaju dan automasi.

Menurutnya pelaburan itu dijangka terus memperkukuh ekosistem pembuatan termaju Malaysia, dengan potensi menyokong sektor pertumbuhan tinggi termasuk pusat data dan elektronik termaju.

"Kemudahan itu juga akan menempatkan makmal pembangunan dan pengujian produk kawalan iklim terkini BAC di APAC, yang membolehkan pasukan kejuruteraan tempatan membangunkan dan mengesahkan teknologi penyejukan bersesuaian untuk iklim tropika dan aplikasi berketumpatan tinggi," menurut kenyataan itu. 

Menurutnya kemudahan di Nilai diwujudkan untuk mencapai pensijilan LEED Gold serta piawaian FM Approved, dengan menggabungkan ciri-ciri cekap tenaga bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau, selain menyokong aspirasi Malaysia menjadi hab pembuatan dan inovasi serantau.

Sementara itu, Naib Presiden Global merangkap Ketua BAC APAC Ted Lim berkata kemudahan baharu itu akan membolehkan BAC lebih dekat dengan pelanggan dan rakan kongsinya di rantau ini dengan memperkukuh keupayaan pembuatan, kejuruteraan dan teknikalnya di APAC.

“Kami dapat meningkatkan daya tindak balas, memperkukuh kerjasama serta menawarkan penyelesaian yang menyokong pertumbuhan pesat infrastruktur industri dan digital di rantau ini,” katanya.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA (Pembangunan Pelaburan) Zuaida Abdullah berkata pelaburan itu mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat terhadap Malaysia sebagai destinasi pembuatan bernilai tinggi dan mampan.

“MIDA kekal komited untuk memudah cara pelaksanaan projek berkualiti yang mengutamakan kemampanan alam sekitar serta kemakmuran ekonomi yang inklusif,” katanya.

-- BERNAMA