BERITA TERKINI   Penempatan PDRM di pasukan Keselamatan Penerbangan dikenal pasti sebagai langkah penambahbaikan segera di lapangan terbang - Fahmi | MITI cari pendekatan terbaik bagi cadangan levi EV untuk imbangi keperluan infrastruktur pengecasan dengan kepentingan awam - Johari Ghani | PM Anwar arah KESUMA segera uruskan 15,000 permohonan pekerja asing bagi penuhi keperluan tenaga kerja -- Fahmi | MAG diarah semak semula protokol saringan latar belakang, kesihatan juruterbang dan pembantu - Fahmi | 

Malaysia Berpotensi Muncul Antara 30 Ekonomi Terbesar Dunia - Abdul Wahid

KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Bernama) -- Malaysia berpotensi menjadi antara 30 ekonomi terbesar dunia sekiranya pertumbuhan tahunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominalnya mengatasi negara-negara lain sekurang-kurangnya dua mata peratusan, menurut Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Beliau ialah Pengerusi Cypark Resources Bhd, IOI Corporation Bhd, WWF-Malaysia dan MySDG Foundation selain berkhidmat sebagai Pengerusi Bersama Sunway Bhd serta Pro-Canselor Universiti Sains Islam Malaysia.

Abdul Wahid berkata Malaysia kini berada pada kedudukan ke-35 manakala Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berada pada kedudukan ke-30 mempunyai saiz ekonomi kira-kira 20 peratus lebih besar berbanding Malaysia.

Ad Banner

“Negara-negara yang berada di hadapan kita akan terus berkembang,” katanya ketika berucap pada Persidangan Wisdom Malaysia 2026 di sini hari ini.

Beliau berkata keadaan itu bermakna Malaysia perlu berkembang pada kadar lebih pantas bagi mengecilkan jurang  itu dan memasuki kelompok 30 ekonomi terbesar dunia.

Abdul Wahid berkata negara-negara yang lebih tinggi daripada Malaysia akan terus berkembang manakala ekonomi sedang pesat membangun yang kini berada di bawah Malaysia, termasuk Filipina dan Bangladesh, turut berhasrat mencapai pertumbuhan lebih pantas.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Oleh itu, untuk berpotensi berada dalam kedudukan 30 atau lebih baik, kita perlu mengatasi kadar pertumbuhan negara-negara lain sekurang-kurangnya dua mata peratusan dari segi nominal,” katanya.

Beliau berkata pada masa ini ekonomi Malaysia memaparkan prestasi baik walaupun berdepan cabaran global, dengan mencatatkan pertumbuhan kira-kira lima peratus dalam nilai sebenar.

“Dari segi nominal, ekonomi Malaysia berkembang sekitar tujuh peratus. Bagaimanapun, kita perlu mengekalkan momentum pertumbuhan ini bagi mencapai sasaran kelompok 30 ekonomi terbesar dunia,” katanya.

Menurut Abdul Wahid, pencapaian sasaran itu memerlukan negara untuk terus memperkenalkan dasar yang sesuai bagi menarik lebih banyak pelaburan daripada sumber asing dan domestik.

Persidangan Wisdom Malaysia 2026 kali kedua yang dianjurkan Kerjaya One PLT, menjadi platform bagi pemimpin industri semasa dan bekas pemimpin industri untuk berkongsi ilmu, pengalaman serta pandangan mereka dengan golongan pemimpin, pemimpin baharu dan kumpulan profesional.

Persidangan itu merangkumi sesi perkongsian mengenai kepimpinan, kemahiran menilai dan kajian kes transformasi, selain sesi soal jawab dan rangkaian kerjasama bagi membolehkan peserta mendapat pandangan yang praktikal daripada penceramah.

-- BERNAMA