Bursa Malaysia Ditutup Rendah Susulan Pengambilan Untung
KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini berikutan pelabur mengambil keuntungan selepas pasaran meningkat semula baru-baru ini, dengan saham sektor telekomunikasi dan perindustrian mendahului penurunan itu, kata penganalisis.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 11.02 mata kepada 1,737.15 berbanding 1,748.17 semasa ditutup pada Rabu.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka meningkat 1.48 mata kepada 1,749.65, yang juga merupakan paras tertinggi harian, sebelum mencecah paras terendah 1,733.38 pada sesi dagangan petang.
Di pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 575 berbanding 567 manakala 573 kaunter tidak berubah, 1,028 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung dagangan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 3.24 bilion unit bernilai RM2.90 bilion daripada 3.89 bilion unit bernilai RM3.80 bilion pada Rabu.
Pengarah Strategi Pelaburan dan Ekonomi IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata di peringkat serantau, ekuiti Asia ditutup rendah apabila momentum kenaikan yang dipacu sektor teknologi pada sesi sebelumnya mula reda, sekali gus mendorong pelabur meraih keuntungan selepas pemulihan saham berkaitan semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI) baru-baru ini.
Beliau berkata di peringkat global, walaupun sentimen geopolitik semakin baik, minat belian kekal sederhana apabila pelabur mengambil pendekatan berhati-hati menjelang laporan senarai gaji bukan ladang Amerika Syarikat (AS) yang akan dikeluarkan pada Jumaat, yang menjadi petunjuk penting yang boleh mempengaruhi jangkaan terhadap hala tuju dasar monetari Rizab Persekutuan (Fed).
"Perkembangan ke arah potensi perjanjian antara AS-Iran serta harga minyak mentah yang lebih rendah telah membantu mengurangkan kebimbangan terhadap inflasi manakala pengambilan pekerja sektor swasta AS yang lebih lemah daripada jangkaan mengukuhkan jangkaan bahawa pasaran buruh adalah sederhana," katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut dua sen kepada RM10.80, Public Bank dan CIMB Group masing-masing turun empat sen kepada RM5.23 dan RM7.97, Tenaga Nasional menyusut 18 sen kepada RM14.48 manakala IHH Healthcare naik satu sen kepada RM8.33.
Antara saham aktif, Malaysian Resources Corp meningkat tiga sen kepada 34 sen, Zetrix AI naik dua sen kepada 71 sen, dan JCY International menokok enam sen kepada 47 sen manakala Steel Hawk susut empat sen kepada 14 sen dan Tanco tidak berubah pada 25.5 sen.
Malaysian Pacific Industries mendahului kaunter untung dengan kenaikan 72 sen kepada RM47.66, diikuti UWC yang melonjak 31 sen kepada RM6.79, IJM Corp meningkat 17 sen kepada RM2.66 dan Theta Edge naik 16 sen kepada 71 sen.
Kaunter paling rugi menyaksikan Nestle susut RM1.20 kepada RM101.30, Hong Leong Industries menyusut 34 sen kepada RM17.68, Press Metal Aluminium rendah 32 sen kepada RM7.99, Petronas Gas berkurangan 26 sen kepada RM17.18 dan United Plantations rendah 20 sen kepada RM34.20.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 46.49 mata kepada 12,856.02, Indeks FBM Top 100 menyusut 51.66 mata kepada 12,685.28, Indeks FBM Emas Shariah rendah 41.09 mata kepada 12,691.54, Indeks FBM ACE susut 1.51 mata kepada 5,037.75 manakala Indeks FBM Mid 70 meningkat 48.10 mata kepada 18,326.06.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 49.32 mata kepada 20,519.85, Indeks Perladangan susut 46.15 mata kepada 9,464.55, Indeks Tenaga berkurangan 1.82 mata kepada 762.41 manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian rendah 2.46 mata kepada 187.78.
Jumlah dagangan di Pasaran Utama menyusut kepada 1.60 bilion unit bernilai RM2.58 bilion daripada 1.92 bilion unit bernilai RM3.40 bilion semalam.
Jumlah dagangan waran menyusut kepada 1.13 bilion unit bernilai RM146.50 juta berbanding 1.29 bilion unit bernilai RM174.29 juta sebelum ini.
Jumlah dagangan di Pasaran ACE susut kepada 498.42 juta unit bernilai RM175.55 juta daripada 658.35 juta unit bernilai RM224.84 juta semalam.
Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 162.001 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (314.03 juta), pembinaan (141.06 juta), teknologi (372.09 juta), perkhidmatan kewangan (58.49 juta), hartanah (273.33 juta), perladangan (24.28 juta), amanah pelaburan hartanah (17.19 juta), dana tertutup (67,400), tenaga (55.10 juta), penjagaan kesihatan (71.22 juta), telekomunikasi dan media (34.90 juta), pengangkutan dan logistik (49.32 juta), utiliti (30.40 juta), dan amanah perniagaan (100).
-- BERNAMA