BERITA TERKINI   Sebanyak RM1.29 juta disalurkan bagi penyelenggaraan Institusi Pendidikan Islam Melaka tahun ini - PM Anwar | Kerajaan MADANI terus imbangi keperluan semua kaum dan aliran pendidikan tanpa meminggirkan mana-mana pihak - PM Anwar | BNM, People’s Bank of China memperbaharui perjanjian pertukaran mata wang dua hala untuk tempoh 5 tahun, dari 2026 hingga 2031, dengan saiznya ditingkatkan kepada 220 bilion renminbi (RM130 bilion) daripada 180 bilion renminbi (RM110 bilion | Selain penyediaan dana oleh GLC dan GLIC, syarikat pertengahan diperkasa melalui pembangunan kapasiti, pementoran dan akses pembiayaan - Amir Hamzah | Malaysia tidak perlu wujudkan dana pelaburan baharu, sebaliknya perkukuh hubungan antara ekosistem pembiayaan sedia ada - Amir Hamzah | 

Kerajaan Perkasa Kekayaan Bumiputera Melalui Tabungan, Pelaburan Dan Kemahiran

PUTRAJAYA, 7 Ogos (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkasakan kekayaan isi rumah bumiputera, khususnya dalam kalangan kumpulan B40 dan M40, menerusi usaha meningkatkan tabungan, memperluas peluang pelaburan serta membangunkan kemahiran bagi meningkatkan pendapatan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata usaha meningkatkan penglibatan bumiputera dalam pemilikan kekayaan merupakan antara keutamaan kerajaan yang dilaksanakan melalui pelbagai mekanisme, termasuk membina keupayaan usahawan dan memperkukuh simpanan persaraan.

"Usaha meningkatkan penglibatan bumiputera merupakan satu aspek penting bagi kerajaan. Kita berusaha meningkatkan peluang melalui pelbagai mekanisme untuk membina usahawan.

Ad Banner

"Bagi mereka yang bekerja dalam sektor formal dan tidak formal, usaha kita adalah untuk meningkatkan tabungan supaya mereka mempunyai simpanan yang mencukupi apabila bersara," katanya pada sidang media Laporan Tahunan GEAR-uP 2026 di sini hari ini.

Amir Hamzah berkata kerajaan turut menyediakan pelbagai instrumen pelaburan menerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), termasuk Amanah Saham Bumiputera (ASB), bagi membolehkan bumiputera memperoleh pulangan pelaburan yang lebih baik.

Beliau berkata bagi mereka yang bekerja dalam sektor formal dan mencarum kepada KWSP, usaha meningkatkan tabungan adalah penting bagi memastikan mereka mempunyai simpanan yang mencukupi apabila mencapai usia persaraan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

“Bagi mereka yang bekerja dalam sektor formal dan mencarum kepada KWSP, usaha kita adalah untuk meningkatkan tabungan yang ada supaya mereka mempunyai simpanan yang mencukupi apabila tiba usia persaraan.

“Di bawah PNB, kita mewujudkan dana seperti ASB yang memberi peluang kepada bumiputera untuk melabur bagi memperoleh pulangan lebih baik, sekali gus meningkatkan keupayaan kewangan mereka,” katanya.

Selain itu, Amir Hamzah berkata kerajaan turut memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran individu bagi membantu meningkatkan pendapatan, sekali gus memperkukuh keupayaan mereka untuk menambah simpanan dan membuat pelaburan.

"Bagi individu, kita meningkatkan latihan kemahiran untuk menambah peluang dan daya saing mereka supaya berpeluang mendapatkan pekerjaan yang lebih baik.

"Apabila mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik, mereka mempunyai lebihan dana dan kita mengajar mereka cara melaburkan semula dana yang ada. Dengan itu, kekayaan mereka akan meningkat," katanya.

Laporan Kemajuan GEAR-uP 2026 yang diterbitkan hari ini mendedahkan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) institusi pelaburan berkaitan Bumiputera, iaitu Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji dan dana Amanah Saham Bumiputera (ASB), kini berjumlah RM292.1 bilion.

Laporan sama turut mendedahkan lebih 70 peratus pemegang unit utama dalam instrumen kewangan berkenaan terdiri daripada isi rumah M40 dan B40.

-- BERNAMA