Hasil Sektor Perkhidmatan Naik 11.2 Peratus Kepada RM714.7 Bilion Pada Suku Kedua 2026 - DOSM
KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Sektor perkhidmatan berkembang 11.2 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, dengan hasil mencecah RM714.7 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Dalam kenyataan hari ini, DOSM berkata prestasi kukuh itu disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta aktiviti perdagangan yang lebih kukuh.
“Peningkatan perbelanjaan isi rumah dan mobiliti semasa musim perayaan dan cuti sekolah pertengahan tahun merangsang aktiviti dalam perdagangan borong dan runcit, makanan dan minuman (F&B), penginapan serta pengangkutan dan penyimpanan, menghasilkan limpahan positif kepada perkhidmatan berkaitan pengguna dan pelancongan.
"Pada masa yang sama, aktiviti pembiayaan dan insurans menyokong transaksi perniagaan dan isi rumah, manakala perkembangan aktiviti pusat data dan telekomunikasi meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan digital," kata jabatan itu.
DOSM berkata perdagangan borong dan runcit, F&B serta penginapan mencatat pertumbuhan tertinggi sebanyak 12 peratus, dengan hasil mencecah RM542.2 bilion pada suku berkenaan.
"Aktiviti perdagangan borong dan runcit turut mendapat manfaat daripada perkembangan pasaran automotif, termasuk pelancaran model baharu, promosi jualan dan peningkatan penghantaran kenderaan elektrik (EV) import menjelang perubahan dasar berkaitan EV pada Julai 2026.
"Pada masa yang sama, peningkatan perjalanan domestik dan antarabangsa memberikan sokongan tambahan kepada aktiviti F&B dan penginapan," katanya.
Segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan terus mencatat pertumbuhan kukuh pada suku kedua 2026, berkembang 9.3 peratus kepada RM99.2 bilion.
DOSM berkata dalam subsektor maklumat dan komunikasi, prestasi disokong perkhidmatan telekomunikasi dan komputer yang masing-masing berkembang 3.9 peratus dan 3.7 peratus.
"Perkembangan aktiviti pusat data yang mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 43.1 peratus tahun ke tahun, berserta pembangunan rangkaian 5G dan infrastruktur telekomunikasi terus menyokong permintaan terhadap perkhidmatan berkaitan digital dan ketersambungan," menurut jabatan itu.
Subsektor pengangkutan dan penyimpanan mengekalkan momentum positif dengan pertumbuhan 9.4 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026, selaras dengan peningkatan aktiviti pelancongan dan permintaan domestik.
Hasil lebih tinggi dicatat dalam perkhidmatan pos dan kurier, pengangkutan darat serta pengangkutan udara yang masing-masing berkembang 11.5 peratus, 11.0 peratus dan 9.3 peratus.
Dari segi suku tahunan, hasil sektor perkhidmatan meningkat 4.9 peratus berbanding suku pertama 2026.
Pertumbuhan itu didorong segmen perdagangan borong dan runcit, F&B serta penginapan yang meningkat 5.8 peratus; segmen maklumat dan komunikasi serta pengangkutan dan penyimpanan yang berkembang 2.5 peratus; segmen perkhidmatan profesional, hartanah serta pentadbiran dan sokongan yang meningkat 2.1 peratus.
Di samping itu, serta segmen kesihatan swasta, pendidikan swasta, seni, hiburan dan rekreasi serta aktiviti perkhidmatan persendirian dan lain-lain yang meningkat 0.01 peratus.
Pendapatan e-dagang berjumlah RM338.0 bilion pada suku kedua 2026, dengan pertumbuhan sebanyak 2.9 peratus tahun ke tahun.
Dari segi perkembangan pasaran buruh, jumlah pekerja dalam sektor perkhidmatan meningkat sebanyak 2.3 peratus tahun ke tahun kepada 4.7 juta orang.
Peningkatan ini disokong terutamanya oleh subsektor pengangkutan dan penyimpanan dan perkhidmatan persendirian dan lain-lain aktiviti yang masing-masing mencatatkan pertumbuhan bilangan pekerja sebanyak 4.3 peratus dan 3.6 peratus, kata DOSM.
-- BERNAMA