BERITA TERKINI   Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos turun 10 sen - MOF | Harga RON95 dan RON97 tanpa subsidi masing-masing turun 15 sen dan 20 sen bagi tempoh 13 hingga 19 Ogos - MOF | IPU lebih 200: 108 buah sekolah di Serian ditutup - JPBN Sarawak | Program Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 berjaya menarik sumbangan penajaan RM48.63 juta daripada 139 rakan strategik - Fahmi | Pelan tambah baik kawalan keselamatan lapangan terbang dibentang kepada Jemaah Menteri minggu depan - Saifuddin | 

MIDA, Invest Hong Kong Perbaharu Kerjasama, Galak Pelaburan Dua Hala Malaysia-Hong Kong

KUALA LUMPUR, 12 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Invest Hong Kong (InvestHK) hari ini memperbaharui memorandum persefahaman (MoU), dengan menetapkan hala tuju bersama bagi meneroka peluang pelaburan baharu di seluruh ASEAN, Greater Bay Area dan tanah besar China.

Menurut MIDA dalam kenyataan hari ini, MoU berkenaan mengemas kini perjanjian asal yang dimeterai pada 2014, dengan mempertimbangkan bidang kerjasama baharu serta keutamaan kedua-dua ekonomi yang semakin berkembang.

Pembaharuan MoU itu  dimeterai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid dan Ketua Pengarah Promosi Pelaburan InvestHK Alpha Lau, disaksikan oleh Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin dan Setiausaha Perdagangan dan Pembangunan Ekonomi Kerajaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong Algernon Yau.

Ad Banner

Majlis itu diadakan di Seminar Perniagaan dan Makan Tengah Hari “Hong Kong: Your Strategic Springboard to Chinese Mainland and Malaysia” di sini.

Sementara itu, Sikh Shamsul Ibrahim dalam ucapannya berkata, melalui MoU yang diperbaharui itu, MIDA akan bekerjasama dengan InvestHK untuk menggalakkan pelaburan, menghubungkan perniagaan, meneroka perkongsian baharu serta memperkukuh rantaian bekalan antara Malaysia dan Hong Kong.

Menurutnya sejak 1980 hingga Mac 2026, hampir 1,000 projek pengilangan yang melibatkan penyertaan Hong Kong telah diluluskan di Malaysia, dengan pelaburan melebihi RM60 bilion atau kira-kira US$15.5 bilion.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Projek-projek ini dijangka mewujudkan hampir 197,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Pada 2025, Hong Kong adalah sumber ketiga terbesar pelaburan pembuatan yang diluluskan di Malaysia, dengan projek bernilai RM12.4 bilion atau kira-kira US$3.1 bilion.

“Bagaimanapun, di sebalik angka itu, mesej yang lebih penting adalah pelabur dari Hong Kong memilih Malaysia, dan hubungan ini semakin berkembang di luar daripada sektor pembuatan. Inilah bentuk hubungan pelaburan yang ingin kami perkukuhkan,” katanya.

Sementara itu, menurut Sim, Hong Kong berperanan sebagai penghubung antara China dan seluruh dunia, dengan menawarkan perkhidmatan bank bertaraf dunia, sistem perundangan yang kukuh, pasaran yang telus serta persekitaran perniagaan antarabangsa.

Beliau berkata Hong Kong turut mempunyai pemahaman yang unik mengenai tanah besar China berikutan persamaan bahasa dan budaya serta jaringan perniagaan yang luas.

“Seperti Hong Kong, Malaysia adalah gerbang anda ke Asia Tenggara. Jika sesebuah syarikat dari tanah besar China mahu berkembang ke rantau ASEAN, yang mempunyai pasaran melebihi 680 juta penduduk, Malaysia adalah rakan ideal anda.

“Malaysia menawarkan infrastruktur yang stabil, sokongan kerajaan yang kukuh, tenaga kerja berkemahiran dan pelbagai bahasa serta akses strategik ke kesemua 10 negara ASEAN.

“Oleh itu, apabila tanah besar China, Hong Kong dan Malaysia bekerjasama, kita mewujudkan satu rantaian ekonomi yang lengkap,” katanya.

Lau pula berkata kerjasama itu akan membantu perniagaan Malaysia berkembang ke peringkat antarabangsa melalui Hong Kong.

“Sudah tentu, dengan bantuan saya, kami akan membantu syarikat Hong Kong dan China meneroka peluang bernilai tinggi di seluruh Malaysia serta memanfaatkan Malaysia sebagai pangkalan yang lebih luas untuk pengembangan ke ASEAN,” katanya.

-- BERNAMA