Keuntungan Bersih Dutch Lady Naik Kepada RM38.17 Juta Pada Suku Kedua
KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Keuntungan bersih Dutch Lady Milk Industries Bhd (Ducth Lady) bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun, 2026, meningkat kepada RM38.17 juta berbanding RM23.39 juta pada suku kedua 2025.
Hasil bagi suku dalam tinjauan meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM386.55 juta berbanding RM375.60 juta sebelumnya.
Syarikat itu memaklumkan bahawa pertumbuhan hasil itu sebahagian besarnya didorong oleh jualan yang lebih tinggi dalam rangkaian susu cair terasnya, dilancarkan semula dengan identiti pek baharu pada suku tersebut.
“Momentum kukuh dalam saluran luar premis serta sumbangan positif daripada inovasi, terutamanya Dutch Lady Omega 3*6 dan rangkaian Dutch Lady Tealive yang baru dilancarkan, turut menyokong prestasi kami, menurut Dutch Lady satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu seterusnya menyatakan bahawa prestasi jualan yang kukuh itu menunjukkan daya tahan portfolio terasnya, momentum berterusan daripada inovasi produk dan kejayaan perolehan akaun baharu dalam saluran luar premis.
Selain itu, menurut Ducth Lady, ia telah berjaya menyiapkan peralihan penuh operasi pengeluarannya ke Kilang Pembuatan dan Pusat Pengedaran IR4.0 baharunya di Bandar Enstek.
“Perkembangan ini menggariskan komitmen jangka panjang Dutch Lady terhadap kecemerlangan operasi, ketahanan rantaian bekalan, dan inovasi sebagai tindak balas kepada keperluan pengguna yang sentiasa berkembang.
“Perluasan kapasiti strategik itu meningkatkan kecekapan operasi and membuka peluang untuk mengukuhkan kedudukan Dutch Lady dalam industri tenusu Malaysia,” menurut syarikat itu.
Menurut Dutch Lady, susulan pembayaran balik sebanyak US$15.1 juta, baki pinjaman antara syarikat yang belum dijelaskan telah berkurangan kepada US$7.0 juta (RM28.5 juta) setakat suku kedua 2026, mencerminkan penjanaan tunai yang kukuh, perbelanjaan modal jauh lebih rendah dan pergantungan berkurangan kepada pinjaman, serta mengekalkan mudah tunai mencukupi.
-- BERNAMA