Bakal Disenaraikan Di Pasaran ACE, GTA Holdings Sasar Kumpul RM71.75 Juta Daripada IPO
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Penyedia perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) enjin pesawat GTA Holdings Bhd menyasarkan untuk mengumpul sebanyak RM71.75 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO).
Syarikat itu dijadual disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 8 Sept 2026.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Nonee Ashirin Mohd Radzi berkata IPO itu akan menyokong beberapa inisiatif strategik yang dirangka bagi memperkukuh platform operasi syarikat dalam jangka panjang.
“Hasil daripada IPO itu akan digunakan untuk membangunkan kemudahan operasi baharu, mengembangkan perkhidmatan MRO helikopter ke Timur Tengah melalui peluang terpilih, memperluas keupayaan MRO kami kepada gear pendaratan, roda dan brek selain menyokong keperluan modal kerja serta perbelanjaan penyenaraian.
“Kami juga berhasrat meningkatkan keupayaan teknikal, memperluas pangkalan pelanggan dan capaian geografi, membangunkan tenaga kerja dan mengeratkan hubungan sedia ada dengan pengeluar peralatan asal (OEM) dan membina hubungan dengan pengeluar baharu pada masa akan datang,” katanya semasa berucap pada majlis pelancaran prospektus GTA di sini hari ini.
Menurut prospektus itu, daripada jumlah hasil berkenaan, sebanyak RM25 juta atau 34.84 peratus akan digunakan untuk mewujudkan kemudahan operasi baharu, RM10 juta (13.94 peratus) bagi memperluas aktiviti MRO helikopter di Timur Tengah, dan RM5.90 juta pula untuk pengembangan MRO gear pendaratan, roda dan brek.
"Lebihan sebanyak RM24.15 juta (33.66 peratus) akan digunakan untuk keperluan modal kerja am termasuk keperluan operasi harian manakala RM6.70 juta (9.34 peratus) untuk menampung perbelanjaan penyenaraian," menurutnya.
IPO itu melibatkan terbitan sebanyak 329 juta saham GTA, yang terdiri daripada 205 juta saham biasa baharu yang ditawarkan kepada orang awam dan 124 juta saham sedia ada pada harga terbitan 35 sen sesaham.
Dengan modal saham diperbesarkan sebanyak 1.29 bilion saham, jumlah permodalan pasaran GTA semasa penyenaraian dijangka mencecah kira-kira RM451.97 juta.
Permohonan bagi tawaran runcit dibuka hari ini dan akan ditutup pada 5 petang, 26 Ogos 2026.
Hong Leong Investment Bank Bhd adaalah penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi IPO berkenaan.
-- BERNAMA