Malaysia Mampu Catat Pertumbuhan KDNK Lebih 5 Peratus Pada 2026 - Pakar Ekonomi
Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 19 Ogos (Bernama) -- Ekonomi Malaysia berpotensi berkembang lebih daripada lima peratus pada 2026, disokong prestasi kukuh pada separuh pertama tahun ini, perdagangan global yang kekal berdaya tahan serta peningkatan pelaburan langsung asing (FDI), khususnya dalam sektor pusat data, semikonduktor dan kecerdasan buatan (AI).
Pakar ekonomi Williams Business Consultancy Sdn Bhd Dr Geoffrey Williams berkata jangkaan pertumbuhan melebihi lima peratus itu bukan sesuatu yang terlalu optimistik, memandangkan momentum ekonomi semasa.
Beliau berkata dalam keadaan tiada gangguan besar, kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia lazimnya berada antara 4.5 dan lima peratus, namun peningkatan ketara dalam perdagangan dan FDI, terutama berkaitan pusat data, semikonduktor dan AI, berpotensi mengangkat pertumbuhan melepasi paras tersebut.
"Kita melihat perdagangan global kekal kukuh, manakala pertumbuhan global juga lebih tinggi daripada yang dijangkakan pada awal tahun," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada LogiSYM Malaysia 2026, sebuah simposium terkemuka mengenai logistik dan rantaian bekalan yang memberi tumpuan kepada pendigitalan, di sini hari ini.
Williams berkata prestasi ekonomi yang kukuh pada separuh pertama tahun ini turut menyediakan asas yang lebih teguh bagi pertumbuhan sepanjang 2026.
Menurut beliau, dasar kerajaan yang mengekalkan harga petrol dan diesel pada paras stabil meskipun harga minyak global meningkat telah membantu mengurangkan kebimbangan pengguna dan perniagaan terhadap tekanan kos.
"Prestasi kukuh pada separuh pertama tahun ini sebahagiannya disokong oleh dasar kerajaan untuk mengekalkan harga petrol dan diesel.
"Ini bermakna pengguna dan perniagaan tidak terlalu bimbang mengenai kesan kenaikan harga minyak global, sekali gus menyokong pertumbuhan," katanya.
Williams berkata sekiranya ekonomi berkembang pada kadar biasa pada separuh kedua tahun ini, Malaysia berkemungkinan mencapai atau melepasi paras atas unjuran pertumbuhan kerajaan antara empat hingga lima peratus.
"Saya percaya pertumbuhan akan sedikit melebihi lima peratus, dan itu sesuatu yang baik kerana tiada faktor tertentu yang dijangka memperlahankan ekonomi pada separuh kedua tahun ini," katanya.
Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi 2026 dan berpandangan pertumbuhan ekonomi negara berkemungkinan berada sekitar lima peratus.
Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata sebarang semakan terhadap unjuran lazimnya dibuat semasa pembentangan Belanjawan 2027.
"Kita telah mencatat pertumbuhan yang melebihi jangkaan kita sejak tiga suku tahun lalu," katanya seperti yang dipetik.
Williams berkata prospek pertumbuhan Malaysia turut disokong keadaan perdagangan global yang lebih baik daripada jangkaan walaupun ketidaktentuan geopolitik masih berterusan.
Beliau berkata unjuran pertumbuhan perdagangan global bagi 2026 telah meningkat kepada 3.5 peratus daripada 2.8 peratus sebelum ini, manakala pertumbuhan tahun depan dijangka meningkat kepada 4.3 peratus berbanding unjuran terdahulu sebanyak 3.8 peratus.
Menurut beliau, sektor perniagaan dan rantaian bekalan global kini lebih tangkas dalam menghadapi kejutan berulang, manakala aktiviti berkaitan teknologi yang kukuh membantu mengimbangi kelemahan dalam sektor ekonomi tradisional.
-- BERNAMA