BERITA TERKINI   Kerajaan masih berbincang anjur kembali F1 di Sepang, perlu diteliti termasuk kos - PM Anwar | UiTM disaran menubuhkan Jabatan Kuantum, pastikan negara mempunyai kepakaran mendepani kemajuan semasa - TPM Ahmad Zahid | GP Bahrain di Malaysia 2026 yang ditangguhkan akan bermula 4.33 petang - Formula 1 | Empat termasuk seorang bayi maut dalam kemalangan babitkan tiga kenderaan di Lebuhraya Timur Barat dari Kelantan ke Gerik - Bomba | Permulaan perlumbaan GP Bahrain di Malaysia 2026 ditangguhkan - Formula 1 | 

Malaysia Turut Terkesan Krisis Selat Hormuz, Namun Impak Lebih Terkawal - Johari

IPOH, 20 Ogos (Bernama) -- Malaysia dijangka turut menerima tempias krisis yang menjejaskan laluan strategik Selat Hormuz, namun impaknya tidak seteruk negara yang bergantung sepenuhnya kepada import minyak dan gas.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata gangguan terhadap sektor tenaga di Selat Hormuz boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan global serta pelbagai sektor industri, termasuk di Malaysia.

Beliau berkata meskipun Malaysia merupakan pengimport bersih minyak, negara masih mengekalkan kedudukan sebagai pengeksport bersih gas, sekali gus membantu mengimbangi kesan terhadap ekonomi domestik.

Ad Banner

"Selat Hormuz berkait rapat dengan sektor tenaga. Apabila sektor tenaga terjejas, kesannya akan dirasai oleh semua industri.

"Malaysia ialah pengimport bersih minyak, tetapi kita masih pengeksport bersih gas. Sebab itu kita akan menerima tempias seperti negara lain, namun kesannya tidak seteruk negara yang tidak mempunyai sumber minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Invest in Perak Day 2026, di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Johari mengulas kemungkinan kesan terhadap Malaysia susulan kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menyatakan hasrat untuk mengisytiharkan Selat Hormuz sebagai wilayah AS, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kestabilan laluan perdagangan tenaga global.

Selat Hormuz merupakan antara laluan perkapalan paling penting di dunia, dengan sebahagian besar eksport minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) global melalui kawasan itu. Sebarang gangguan terhadap laluan berkenaan lazimnya memberi tekanan kepada harga tenaga dan rantaian bekalan antarabangsa.

-- BERNAMA