BERITA TERKINI   Kerajaan beri komitmen mansuhkan AUKU, RUU baharu dalam proses penggubalan dan dijangka dibentang di Parlimen tahun ini - PM Anwar | Mahasiswa harus diberi ruang sepenuhnya, tidak dikawal dengan undang-undang berlebihan - PM Anwar | Jerebu: Semua sekolah di daerah Kuching, Padawan, Serian dan Samarahan di Sarawak ditutup serta-merta hari ini dan esok - JPNS | Malaysia tolak pelaburan Pelabuhan Klang dalam gudang, aktiviti transit tanpa manfaat pekerjaan dan ekonomi - PM Anwar | Kerajaan terbuka untuk menambah baik SST, guna pakai beberapa komponen GST tetapi menolak cukai terhadap rakyat termiskin secara menyeluruh - PM Anwar | 

Pelabur REE Perlu Kongsi Teknologi, Terlibat Sepenuhnya Dalam Rantaian Bekalan - Johari

IPOH, 20 Ogos (Bernama) -- Pelabur yang berhasrat meneroka potensi unsur nadir bumi (REE) di negara ini perlu berkongsi teknologi mereka, selain bersedia terlibat secara langsung dalam keseluruhan rantaian bekalan merangkumi peringkat huluan, pertengahan dan hiliran.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata pendekatan itu adalah untuk memastikan Malaysia bukan sekadar mengeksport bahan mentah, sebaliknya meraih nilai faedah yang optimum daripada sumber mineral kritikal berkenaan.

"REE ini sangat tinggi permintaannya dan merupakan mineral kritikal yang sangat diperlukan dalam pembangunan apa sahaja teknologi dunia hari ini.

Ad Banner

"Tetapi untuk kita dapat faedah REE ini secara keseluruhan, pelabur yang datang mestilah membawa teknologi mereka, berkongsi dengan kita dan terlibat secara langsung daripada (peringkat) huluan, pertengahan dan (hingga) hiliran," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Invest In Peark Day 2026 yang dirasmikan Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

Johari berkata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memberikan fokus kepada pemprosesan peringkat pertengahan dan hiliran, manakala Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) menumpukan pada aktiviti peringkat huluan.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

"Kita akan belajar dari segi apakah perkara yang perlu kita ubah dari segi peraturan, undang-undang, dari segi ketersediaan teknologi yang kita juga perlu menjaga paten dan rahsia (perdagangan) rakan pelabur," katanya.

Terdahulu menerusi ucapannya Johari berkata Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MITI perlu membincangkan langkah bersama untuk terlibat secara langsung dalam aktiviti pertengahan dan hiliran, manakala kerajaan negeri terlibat sepenuhnya dalam aktiviti huluan.

Sementara itu, Saarani berkata kerajaan negeri tidak mahu tergesa-gesa dalam membangunkan industri REE, sebaliknya memberi tumpuan kepada pemilihan pelabur yang berkeupayaan serta komited untuk memindahkan kepakaran.

Mengulas mengenai status pelaburan REE di Perak, beliau berkata kira-kira 75 peratus daripada komitmen pelaburan yang diluluskan telah berjaya direalisasikan, manakala baki pelaburan yang diterima masih dalam fasa proses pelaksanaan.

"Apabila kita dah ada komitmen pelaburan itu, kita hendak semua komitmen itu akan dapat direalisasikan, tetapi biasanya memerlukan masa," katanya.

-- BERNAMA