BERITA TERKINI   PM Anwar adakan lawatan kerja ke Brunei pada 21-22 Ogos bagi hadiri Rundingan Pemimpin Tahunan ke-27 - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | Malaysia-Brunei dijangka memeterai MoU kerjasama pengurusan bencana - Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei | PM Anwar bakal buat pengumuman penting negara pada 30 Ogos dan 16 Sept ini | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | PM Anwar arah siasatan terhadap anak syarikat Khazanah, kesan aspek pelanggaran tatakelola | 

Niaga Hadapan MSM Ditutup Lebih Tinggi Bagi Sesi Keempat Berturut-turut

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih tinggi pada Khamis, meneruskan kenaikan bagi sesi keempat berturut-turut.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata pasaran disokong oleh harga minyak kacang soya yang lebih kukuh di Lembaga Perdagangan Chicago (CBOT) dan kebimbangan mengenai bekalan pada masa hadapan. 

Ad Banner

Beliau berkata MSM terus menunjukkan momentum meningkat, dengan harga berpotensi mencecah RM5,000 setan.

“Sentimen pasaran kekal disokong dengan baik oleh harga minyak kacang soya yang lebih tinggi dan kebimbangan berterusan berkaitan cuaca terhadap pengeluaran.

“Pengukuhan dalam eksport baru-baru ini juga telah menambah kepada momentum harga yang positif,” kata Ng kepada Bernama. 

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Katanya, harga MSM dijangka mencapai paras sokongan melebihi RM4,900 dengan paras rintangan dilihat pada RM5,050.

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group yang berpangkalan di Mumbai, Anilkumar Bagani berkata niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives kekal disokong oleh momentum kenaikan dalam niaga hadapan minyak sayuran China dan harga tenaga yang lebih kukuh. 

Beliau menambah bahawa kebimbangan mengenai potensi berlakunya kekurangan bekalan turut menyokong harga, terutamanya cadangan mandat biodiesel B50 oleh Indonesia dan risiko penurunan pengeluaran yang dikaitkan dengan El Niño.

“Sentimen pasaran terus disokong pembelian oleh China minggu ini, selain prospek perubahan permintaan daripada minyak bunga matahari kepada minyak sawit di tengah-tengah gangguan di pelabuhan Laut Hitam,” kata Bagani kepada Bernama. 

Pada penutup, kontrak September 2026 meningkat RM80 kepada RM4,734 setan, Oktober 2026 menambah RM78 kepada RM4,872 setan, dan November 2026 mengukuh RM68 kepada RM4,961 setan.

Kontrak Disember 2026 menokok RM53 kepada RM5,025 setan, Januari 2027 meningkat RM37 kepada RM5,070 setan dan Februari 2027 naik RM24 kepada RM5,095 setan.

Jumlah dagangan menyusut kepada 124,014 lot daripada 142,285, manakala kepentingan terbuka menambah kepada 338,827 kontrak berbanding 336,503 sebelumnya. 

Harga MSM fizikal bagi September Selatan meningkat sebanyak RM80 kepada RM4,720 setan. 

-- BERNAMA