Niaga Hadapan KLCI Dijangka Didagangkan Lebih Tinggi Minggu Depan
Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 29 Ogos (Bernama) -- Niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka didagangkan lebih tinggi minggu depan, sejajar dengan pasaran tunai, kata seorang penganalisis.
Pengarah Strategi Pelaburan dan ahli ekonomi negara IPPFA Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata indeks utama itu dijangka mencatat aktiviti dagangan yang agak rendah minggu depan berikutan minggu dagangan yang lebih singkat susulan cuti umum pada Isnin.
“Prestasi kukuh saham teknologi Amerika Syarikat berpotensi mendorong sesetengah pelabur mengalihkan tumpuan kepada pasaran global, sekali gus menyebabkan aktiviti dagangan lebih sederhana.
“Pelabur juga akan memberi perhatian kepada ucapan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Kevin Warsh pada simposium Jackson Hole bagi mendapatkan petunjuk mengenai hala tuju dasar monetari Fed, khususnya berkaitan inflasi, kadar faedah dan hasil bon Perbendaharaan Amerika Syarikat,” katanya.
Bagi minggu yang berakhir hari ini, niaga hadapan FBM KLCI ditutup bercampur-campur.
Berdasarkan perbandingan Jumaat ke Jumaat, kontrak Ogos 2026 susut 19.5 mata kepada 1,722.0 mata, kontrak September 2026 turun 20 mata kepada 1,700.0 mata, kontrak Disember 2026 merosot 14.5 mata kepada 1,705.5 mata, manakala kontrak Mac 2027 berkurangan 14 mata kepada 1,688.5 mata.
Jumlah dagangan mingguan melonjak kepada 219,976 lot daripada 41,237 lot pada minggu sebelumnya, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 54,810 kontrak daripada 48,670 kontrak pada akhir minggu lalu.
Bagi pasaran tunai, FBM KLCI susut 10.60 mata kepada 1,725.88 mata daripada 1,736.48 mata pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA