BERITA TERKINI   iQIYI dan penerbit mohon maaf, setuju tarik sementara drama 'Madu atau Racun' untuk disunting semula - CEO FINAS | Operasi pembenihan awan di Sarawak: Kelompok awan dikesan ketika ini tidak sesuai untuk operasi berkenaan - Fahmi | Sambutan Hari Malaysia diteruskan di BCCK, namun acara luar bangunan dibatalkan susulan keadaan jerebu - Fahmi | Petronas bersedia untuk mengekalkan pengeluaran minyak dan gas Malaysia hampir 2.0 juta boe/h hingga 2028 - tengku Muhammad Taufik | Kerjasama AirAsia dengan Pegasus Airlines akan membuka akses ke 160 destinasi merentasi 56 negara melalui rangkaian gabungan kedua-dua syarikat penerbangan itu | 

PKS Logistik Perlu Lebih Banyak Sokongan Dalam Ketidaktentuan Geopolitik -- Pakar Maritim

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2027 perlu memberi keutamaan sokongan serta bantuan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem logistik, kata seorang penganalisis.

Hal ini bagi membantu mereka mengharungi ketidaktentuan geopolitik, mengguna pakai kecerdasan buatan (AI) serta memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

Ad Banner

Penganalisis industri maritim Nazery Khalid berkata pemain logistik yang lebih kecil lebih terdedah kepada kejutan luaran kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan dan sokongan institusi yang dinikmati oleh pemain industri yang lebih besar.

Jelasnya, pemain industri logistik sudah terkesan teruk akibat gangguan di Teluk dan ketidaktentuan yang menjejaskan aliran perkapalan di tengah-tengah peningkatan risiko geopolitik dan geoekonomi.

“Namun sudah tentu kerajaan tidak mungkin dapat membantu semua orang, bukan?” katanya kepada Bernama.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Nazery menjelaskan bahawa perkara ini menjadikan Belanjawan 2027 yang dijadualkan dibentangkan di Parlimen pada 9 Oktober, penting untuk mengenal pasti dan memberi keutamaan kepada masalah paling kritikal yang boleh mengganggu rantaian bekalan Malaysia.

“Sekarang, apa yang penting ialah menentukan keutamaan bagi mengenal pasti bidang yang menjadi titik masalah serius yang begitu menimbulkan banyak kesukaran dan mengganggu rantaian bekalan pada tahap tertentu.

“Kita tidak mahu perdagangan kita terjejas terlalu teruk, begitu juga keperluan tenaga yang sememangnya amat penting untuk menggerakkan ekonomi, turut terjejas,” katanya.

 

SOKONGAN TIDAK SEMESTINYA DALAM BENTUK KEWANGAN

 

Nazery memberitahu sokongan kerajaan kepada pemain pelabuhan dan logistik tidak semestinya dalam bentuk bantuan kewangan sebaliknya dasar yang memudah cara juga memainkan peranan penting.

“Sebagai contoh, bagi pelabuhan kita yang mahu memperluas tapak hijau, proses kelulusan tanah perlu dipercepat supaya dapat segera melaksanakan rancangan masing-masing,” katanya.

Beliau menyatakan pengembangan pelabuhan yang sedang dilaksanakan sebagai satu daripada bidang yang boleh mendapat manfaat daripada proses kelulusan yang dipermudah bagi membantu pemain industri mempercepat pelaksanaan rancangan pembangunan mereka.

Nazery berkata perhatian yang lebih besar perlu diberikan khususnya kepada PKS yang terlibat dalam ekosistem pelabuhan dan logistik kerana mereka mungkin antara yang paling terjejas teruk akibat ketidaktentuan luaran.

“Terdapat juga keperluan untuk kerajaan membantu pemain logistik dalam kalangan PKS yang pada saya akan paling teruk terjejas kerana mereka tidak mempunyai sumber kewangan yang kukuh.

“PKS juga tidak mempunyai bentuk sokongan seperti yang diterima oleh pemain besar seperti Westport, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan sebagainya yang mendapat sokongan pemegang saham institusi yang kukuh,” katanya.

Beliau memaklumkan pemain yang lebih kecil memerlukan bantuan untuk mengikuti perkembangan perubahan dalam industri termasuk penggunaan teknologi baharu dan keperluan kelestarian.

“Sebagai contoh, dalam aspek penggunaan AI dan sebagainya, sudah tentu PKS yang terlibat dalam ekosistem pelabuhan dan logistik memerlukan banyak bantuan dari segi penggunaan AI serta mematuhi prinsip ESG,” katanya.

Nazery menjelaskan PKS juga memerlukan bantuan dalam mengharungi persekitaran operasi global yang semakin tidak menentu dan berubah-ubah.

“Mereka, lebih daripada mana-mana pihak lain memerlukan pelbagai bentuk bantuan.

“Sokongan institusi, malah bantuan kewangan, mungkin dalam bentuk geran dan sebagainya. Jadi, saya fikir sudah tentu PKS akan melihat perkara-perkara seperti ini sebagai antara senarai harapan mereka untuk belanjawan akan datang,” katanya.

-- BERNAMA