BERITA TERKINI   Kelompongan yang wujud termasuk berkaitan kemiskinan dan akses bantuan mesti ditangani segera - PM Anwar | Masyarakat India tidak akan dipinggirkan dalam agenda pembangunan negara Kerajaan MADANI - PM Anwar | 

IKEA Malaysia Lantik Takesehi Murai Sebagai Pengarah Runcit Negara

KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- IKEA Malaysia melantik Takeshi Murai sebagai pengarah runcit negara, berkuat kuasa hari ini, menggantikan Malcolm Pruys, yang menerajui perniagaan Malaysia itu sejak September, 2022.

Syarikat itu memaklumkan bahawa pelantikan tersebut dibuat ketika ia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya, dengan tumpuan pada tawaran produk mampu milik, pengalaman pelbagai saluran yang lebih kukuh dan memperluaskan jangkauan.

“Pencapaian penting Murai yang pertama adalah pembukaan IKEA Kuching pada Disember, 2026, kedai pertama IKEA di Sabah dan Sarawak dan kedai bersaiz kecil pertamanya,” menurut kenyataan itu.

Ad Banner

Kedai bersaiz kecil merujuk kepada cawangan IKEA bersaiz lebih kompak berbanding gudang besar tradisional.

Murai yang mempunyai hampir dua dekad pengalaman di IKEA, serta di cawangan di Asia dan Eropah, menyertai syarikat itu di Osaka, Jepun, pada 2008 sebelum memegang peranan kepimpinan runcit dan pasaran di Jepun, Sweden dan Finland.

Beliau berpindah ke Malaysia pada 2024 sebagai pengurus IKEA di Batu Kawan, menyelia operasi runcit dan pengalaman pelanggan, seterusnya mengambil alih tanggungjawab menguruskan beberaoa cawangan IKEA di Lembah Klang.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Murai berkata pemahaman mengenai cara hidup rakyat Malaysia akan terus menjadi asas untuk memastikan IKEA memenuhi keperluan mereka dalam peranan baharunya, memandangkan syarikat itu mencari lebih banyak cara untuk menjadikan produk dan pengalamannya mampu milik serta mudah diakses di kedai dan saluran digitalnya.

“Membuka cawangan IKEA di Kuching akhir tahun ini adalah bahagian penting dalam perjalanan syarikat ini. Buat pertama kalinya, kami akan membawa pengalaman kedai fizikal IKEA ke Sabah dan Sarawak, lebih dekat kepada pelanggan yang telah mengenali dan membeli-belah bersama kami selama bertahun-tahun.

“Saya teruja dengan apa menanti di hadapan dan peluang untuk terus mengembangkan IKEA Malaysia bersama rakan sekerja, pelanggan dan komuniti, katanya.

Sementara itu, Pruys berkata beliau berbangga dengan cara IKEA Malaysia terus berkembang mengikut keperluan pelanggannya sepanjang tempoh perkhidmatannya selama empat tahun.

“Ketika IKEA Malaysia melangkah ke babak seterusnya, saya percaya perniagaan itu berada pada kedudukan kukuh untuk terus berkembang dengan cara yang relevan, mudah diakses dan bermakna. Takeshi mengenali IKEA, beliau mengenali Malaysia dan paling penting, beliau memahami bahawa segala yang kita lakukan bermula dengan ramai orang dan cara mereka menjalani kehidupan di rumah, katanya.

-- BERNAMA